Followers

Wednesday, March 04, 2015

ORANG MELAYU MAMPU BERSATU ANDAI DIBUANG PENYAKIT WAHAN


KELMARIN genap 69 tahun lalu, orang Melayu berhim­pun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dari 1 hingga 4 Mac 1946 bagi menyatakan tentangan terhadap penubuhan Malayan Uni­on.

Mereka menentang tipu helah British yang cuba mempengaruhi raja-raja supaya menandatangani perjanjian menyatukan negeri-ne­geri Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang di bawah Malayan Uni­on dan ditadbirkan sebagai jajahan takluk British.

Dalam perhimpunan yang dihadiri wakil 41 pertubuhan Melayu lahirnya cadangan supaya ditubuhkan UMNO sebagai platform untuk orang Melayu bernaung di bawah satu wadah politik.

Berpegang kepada slogan ‘Hidup Melayu’, perjuangan UMNO mula digerakkan sehingga akhirnya Malayan Union dibubarkan dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948.

Perjuangan UMNO diteruskan selepas itu dengan kerjasama parti-parti bukan Melayu bagi memerdekakan tanah air dan kemudian tumpuan beralih kepada agenda pembangunan yang antara matlamat utamanya memastikan Melayu tidak ketinggalan berbanding kaum lain.

Setelah satu tempoh cukup panjang, akhirnya perhimpunan serupa diadakan buat kali kedua dengan nama Malam Perhimpunan Perpa­duan Melayu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Sama seperti perhimpunan pertama yang telah mencetuskan banyak gagasan-gagasan hebat, maka perhimpunan kali kedua telah me­lahirkan pelbagai idea-idea baharu dengan matlamat menggerakkan renaisans Melayu.

Perkataan yang bermaksud kebangkitan semula bertujuan menjadikan Melayu bangsa termaju yang disegani di mata dunia. Perkataan lain yang membawa maksud hampir serupa termasuk hijrah, transformasi dan islah.

Perhimpunan yang diadakan bukan diisi dengan retorik politik seperti yang cuba digambarkan oleh portal berita propembangkang yang semaksimum mungkin mahu menggagalkan kebangkitan semula orang Melayu.

Cukup unik apabila penganjur utama, Majlis Perundingan Melayu (MPM) tidak mahu menggunakan perkataan ‘kaum’ bagi merujuk kepada orang Melayu sebaliknya memilih merujuknya sebagai satu ‘bangsa’.

Ini selaras dengan pendirian mereka bahawa bangsa Melayu bukanlah etnik kerdil yang hanya wujud di Malaysia. Sebaliknya telah zaman berzaman ia wujud sebagai rumpun bangsa di rantau Melayu-Polynesia termasuk orang Maori di New Zealand.


Semangat ribuan belia dan vete­ran Melayu untuk menghadiri perhimpunan tersebut ketika ‘cuaca panas’ walaupun pada waktu malam, memang dikagumi kerana mereka tidak diberi sebarang la­yanan istimewa. Tiada makanan percuma yang disediakan dan mereka tidak dibayar tambang untuk hadir.

Turut menerima layan serupa ialah pemimpin kerajaan, peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta golongan profesional.

Ada yang menempuh perjalanan beratus kilometer untuk ke lokasi itu semata-mata bagi menjayakan agenda utama perhimpunan iaitu menghidupkan semula perpaduan dan menyemarakkan kembali kehebatan Melayu.

Antara mereka ialah seorang pak cik yang memperkenal dirinya de­ngan nama ‘Pak Teh Man’ dari Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu yang sempat penulis temui pada perhimpunan itu. Dia yang berusia 68, datang ke ibu negara bersama-sama rakan-rakannya dengan menaiki lima bas.

Semangat sama dikongsi Mohd. Rizal Shukri, 23, pelajar Ijazah Perubatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Dia yang sempat ditemu ramah Bernama berharap orang Melayu dapat mengetepikan perbezaan fahaman politik demi perpaduan bangsa itu.

Para hadirin yang ditemui juga setuju dengan amanat yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Me­layu tidak harus lagi bergantung atau meminta-meminta daripada kerajaan sebaliknya memulakan inisia­tif sendiri bagi memajukan bangsa itu.

Apa yang saya boleh buat atas nama orang Melayu? Apa yang saya boleh menyumbang? Itulah ungkapan yang sepatutnya sentiasa di­sebut oleh Melayu.


Mereka boleh memberikan sumbangan bermakna sama seperti ikon-ikon Melayu hebat termasuk Datuk Mokhtar Dahari (sukan), Tan Sri P. Ramlee (filem), Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood (misi kemanusiaan), Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari (usahawan) dan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gabenor bank wanita).

Sejajar dengan amanat itu, orang Melayu telah mencetuskan beberapa inisiatif tidak melibatkan kerajaan yang telah dilancarkan ketika perhimpunan berkenaan.

Antaranya Tabung Pendidikan 1Bilion oleh Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) Malaysia. Dana yang dikutip daripada 600,000 alumni UiTM akan digunakan bagi membiayai aktiviti pendidikan, kebajikan dan penyelidikan oleh bangsa Melayu.

Turut dilancarkan ialah Koperasi Majlis Perundingan Melayu Berhad oleh MPM dengan sasaran mendapatkan pelaburan sejuta ahli. Koperasi itu diuruskan oleh Amanie Corporate Advisor Sdn. Bhd.

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) pula memperkenalkan pro­gram Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) bagi menggalakkan sesebuah isi rumah menjalankan perniagaan dengan berkongsi dalam satu pemilikan ekuiti saham.

1K1S bertujuan menghimpunkan semua harta seperti tanah dan rumah yang dimiliki oleh sesebuah keluarga dan ditukarkan dalam sijil saham bagi diagih-agihkan dalam sesebuah perniagaan yang dijalankan.

Turut dilancarkan ialah Program Melayu 2050 dengan kerjasama Institut Perkembangan Minda (Inmind) dan UiTM dengan matlamat melahirkan bangsa Melayu yang lebih hebat.


Selaras dengan titah Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah yang merasmikan perhimpunan pertama supaya aspek keagamaan jangan diketepikan dalam sebarang bentuk perjuangan, maka perhimpunan kali ini turut memberikan tumpuan menegakkan maqasid syariah.

Ia merujuk usaha bagi merea­lisasikan objektif hukum Islam yang meliputi lima perkara iaitu agama, kehidupan, zuriat, ilmu dan harta. Antaranya cadangan supaya diperkasa agama Islam dengan penubuhan Kementerian Penyelara­san Hal Ehwal Islam.

Semoga perhimpunan ini akan membangkitkan lagi semangat bang­sa Melayu untuk menjadi hebat, bermaruah dan berkat. Akhir­nya, sama-samalah kita mengha­yati pantun yang dibaca pengacara majlis, Ally Iskandar yang menyim­pulkan matlamat utama gerakan renaisans Melayu.

Buai laju-laju,
Sampai pucuk sena,
Melayu boleh maju,
Hingga terajui dunia.

1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Oh ya, di sana anda bisa dengan bebas mendowload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...