Followers

Wednesday, March 04, 2015

BUDAYA ILMU PERLU MENJADI TERAS DALAM BANGSA MELAYU


Orang Melayu disaran menanamkan budaya membaca bagi memenuhi ilmu di dada supaya mereka tidak ketinggalan dengan bangsa-bangsa lain.

Naib Canselor Universiti Tek­nologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar, berkata, sikap suka membaca perlu dimiliki oleh orang Melayu kerana dengan membaca akan menjadikan mereka memiliki tahap pemikiran sangat tinggi dan ilmu pengetahuan luas.

“Otak ibarat sebuah pedang, semakin diasah akan semakin tajam. Jika tidak diasah akan tumpul juga akhirnya.

“Dengan adanya sikap suka membaca, sudah pasti akan menampilkan orang Melayu yang lebih berfikiran kreatif dan mempunyai imaginasi tinggi kerana akal sentiasa aktif,” katanya ketika dihubungi di Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Melayu yang diadakan pada 28 Februari 2015 di Stadium Bukit Jalil menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju pada abad ke-21 dan menjadi kuat, hebat serta bermaruah.

Dalam amanat yang kelima, Najib berkata, perlu untuk memberi penekanan terhadap usaha melatih dan mendidik orang Me­layu sebagai peneraju yang berilmu, berpe­ngetahuan, berkemahiran tinggi, berdaya saing, kreatif, inovatif, berwawasan serta berfikiran global, namun dalam masa sama, berpaksikan kepada adat resam dan budaya Melayu.

Selain itu, Sahol Hamid berkata, dengan adanya dunia teknologi serba canggih hari ini, orang Melayu tidak perlu lagi mengusung buku ke sana ke mari, malah dengan hanya satu ‘klik’ sahaja sudah boleh mendapat bahan bacaan.

“Apa lagi yang hendak dicari jika semuanya sudah di hujung jari? Tiada alasan lagi untuk membazir masa,” katanya.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, kemudahan untuk pendidikan semuanya sudah disediakan oleh kerajaan cuma terletak kepada kesungguhan anak Melayu sendiri sama ada mahu meneruskan pendidikan ke peringkat seterusnya atau tidak.

“Ramai anak Melayu yang miskin mahu meneruskan pengajian. Cuma ada di antara mereka yang malas untuk mendapatkan maklumat tentang biasiswa atau kemudahan yang disediakan terhadap mereka.

“Pelajar miskin di luar bandar juga mampu mencapai kejayaan, justeru rebutlah peluang yang terbuka luas,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...