Followers

Wednesday, December 24, 2014

KENAIKAN HARGA MINYAK PERMAINAN AMERIKA SYARIKAT


ISU harga minyak yang mengalami penurunan secara mendadak masih menjadi topik utama perbincangan dalam kalangan penganalisis ekonomi. Bayangkan hanya kerana harga minyak turun ia memberi implikasi ekonomi kepada banyak negara. Terdapat berita yang menyatakan bahawa penurunan harga minyak disebabkan kerana agenda tersirat oleh kuasa Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tekanan terhadap Rusia. Umum mengetahui kedua-dua negara ini sentiasa “berperang” meskipun selepas era Perang Dingin.

Adakah ini penyebab utama penurunan harga minyak? Terdapat juga pandangan mengatakan bahawa punca utama penurunan harga minyak dek kerana persaingan di antara pengeluar-pengeluar minyak dunia. Tidak ramai yang mengetahui bahawa komoditi yang cukup penting ini juga ada alternatifnya. Minyak yang selalu digunakan oleh kita merupakan minyak konvensional yang disebut sebagai minyak bumi.

Minyak sebegini juga ada pesaingnya yang mana dikenali sebagai minyak syal. Minyak muka bumi dikuasai oleh 12 negara yang menjadi anggota dalam Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Mengikut rekod, 40 peratus minyak dunia dikeluarkan oleh negara-negara OPEC. Sebanyak 13 peratus minyak dunia dikeluarkan oleh anggota utama OPEC, iaitu Arab Saudi. Keputusan mesyuarat negara-negara OPEC pada bulan lepas untuk mengekalkan pengeluaran minyak dunia sudah cukup menggambarkan persaingan di antara negara-negara pengeluar minyak untuk menguasai pasaran minyak dunia.


Lebih-lebih lagi, AS sedang mengalami peningkatan dalam pengeluaran industri minyak syal dan cuba berusaha untuk menguasai pengeluaran minyak dunia. Deposit terbesar minyak syal berada dalam penguasaan AS. Sayugia diingatkan bahawa pada 2008, harga minyak meningkat pada tahap tertinggi hampir AS$150 setong. Kenaikan harga minyak dunia pada masa itu merancakkan industri minyak syal. Ini kerana kos pengeluaran minyak syal adalah mahal maka keuntungan hanya boleh dijana apabila harga minyak dunia berada pada tahap yang tinggi.

Jika tidak kerana harganya yang mahal, sudah tentulah minyak syal ini sudah dikeluarkan secara besar-besaran sejak dahulu lagi. Ini kerana minyak syal bukanlah baharu. Ia sudah lama ditemui. Cuma tidak dikeluarkan secara besar-besaran berbanding minyak bumi yang lebih cekap dari segi kos pengeluarannya. Namun, krisis harga minyak yang terlalu tinggi pada 2008 membuka peluang kepada AS untuk meningkatkan pengeluaran minyak syal. Ini boleh menjejaskan penguasaan negara-negara OPEC terutamanya Arab Saudi ke atas pasaran minyak dunia.

Jadi, cara terbaik untuk mengekang peningkatan pengeluaran minyak syal oleh AS dan sekali gus mencantas AS daripada menguasai pasaran minyak dunia adalah dengan cara mengeluarkan minyak muka bumi dengan kadar yang banyak. Ini dikukuhkan lagi apabila Rusia sendiri telah menyatakan pendirian tidak akan memotong pengeluarannya pada tahun hadapan menggambarkan terdapat usaha secara berterusan di antara negara-negara pengeluar minyak bumi untuk membunuh industri minyak syal yang dimonopoli oleh AS.

Dengan harga minyak yang semakin menurun, maka, pengeluar dan syarikat minyak syal akan mengalami kerugian kerana tidak dapat menampung kos modal dan perbelanjaan untuk mengeluarkan minyak tersebut kepada pembeli.

Kesannya akan lebih parah lagi jika harga minyak dunia kekal berada pada paras terendah dalam tempoh jangka masa panjang. Kerugian besar akan dialami oleh pemain-pemain industri minyak syal dan akhirnya boleh menyebabkan mereka memberhentikan pengeluaran minyak syal.

Apakah iktibar yang boleh diambil oleh negara dan rakyat Malaysia? Iktibar utamanya sudah tentulah menunjukkan bahawa penguasaan pengeluaran sesuatu produk merupakan kuasa yang cukup penting dalam menentukan harga produk berkenaan. Secara umumnya, penguasaan pengeluaran dengan cara menguasai pasaran juga boleh membunuh pesaing-pesaing lain. Secara spesifiknya, banyak bidang ekonomi di Malaysia sewajarnya diberikan keutamaan dengan cara mengeluarkan sesuatu produk secara besar-besaran. Misalnya, dalam sektor pertanian, pengeluaran produk-produk pertanian yang berkualiti tinggi bukan sahaja boleh mengurangkan import barangan makanan tetapi juga boleh meningkatkan eksport pertanian ke negara-negara lain.

Sesuatu yang cukup menarik apabila kerajaan mengumumkan untuk menubuhkan Majlis Eksport bagi mengambil peluang penurunan mata wang ringgit berbanding dolar AS ekoran penurunan harga minyak. Sememangnya ini merupakan satu strategi yang cukup baik untuk meningkatkan ekonomi negara. Namun, kesannya adalah lebih baik lagi jika kerajaan juga menubuhkan Majlis Import bagi tujuan mengurangkan import negara dengan cara mengoptimumkan pengeluaran produk-produk domestik negara. Ada di antara produk-produk tempatan atau domestik seperti pertanian boleh dikeluarkan di Malaysia secara besar-besaran.

Selain pertanian, usaha kerajaan untuk meningkatkan jumlah hartanah di Malaysia juga boleh mengurangkan tekanan harga ke atas pembeli rumah. Umum mengetahui, penguasaan secara kartel dan monopoli mendorong pemain-pemain industri hartanah mengenakan harga rumah yang tidak masuk akal kepada pembeli. Kerajaan secara berterusan perlu meningkatkan jumlah hartanah yang berharga murah dan berkualiti tinggi melalui agensi berkenaan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah.

Jumlah pengeluaran hartanah yang banyak boleh mengurangkan penguasaan pasaran pemain industri hartanah dan tekanan peningkatan harga hartanah kepada rakyat Malaysia. Strategi sebegini menyerlahkan kuasa pengeluar yang sewajarnya digunakan oleh kerajaan untuk mendatangkan kebaikan terhadap rakyat Malaysia. - UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...