Followers

Wednesday, December 24, 2014

BERSARA MISKIN


SELEPAS bersara, bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan ‘gaji’ bulanan sebanyak RM208 bagi menanggung kehidupan seharian selama 20 tahun atau 240 bulan termasuk terpaksa melunaskan hutang pinjaman kereta, perumahan, pinjaman peribadi, keperluan diri sendiri dan keluarga.

Lebih teruk lagi sekiranya masih terpaksa menanggung anak-anak yang sedang belajar, melunaskan saki-baki hutang perkahwinan hebat ‘wedding of the year’, kos tinggi rawatan perubatan secara ‘pakej’ - kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Keadaan yang menyesakkan nafas ini secara khususnya banyak melibatkan majoriti pekerja swasta, berbeza dengan rakan penjawat awam lain yang mampu menarik nafas lega kerana masih mempu­nyai talian hayat duit pencen.

Menurut statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak 69 peratus pencarumnya yang berusia 54 tahun pada 2013 mempunyai simpanan hari tua di bawah RM50,000 dan lebih tragik lagi apabila majoriti daripada mereka menghabiskan simpanan itu dalam tempoh antara tiga dan lima tahun sahaja.

Bukan secara sengaja penulis memilih tempoh sehingga 20 tahun tetapi ia bersebab kerana hasil kajian terkini purata jangka hayat penduduk negara ini ialah 75 tahun, iaitu kira-kira 20 tahun selepas bersara pada usia 55 tahun.

Oleh itu, amat beruntung bagi pesara yang turut mempunyai simpanan hari tua selain daripada KWSP, sekurang-kurangnya mampu menampung sedikit-sebanyak keperluan hidup. Persoalannya, ramai dalam kalangan penduduk negara ini beranggapan bahawa simpanan KWSP adalah mencukupi, justeru tidak memerlukan simpanan lain.

Situasi ini sebenarnya amat kritikal kerana sekiranya apabila mencapai usia 50-an baharu tersedar, semuanya agak terlambat untuk melakukan sesuatu. Melainkan langkah awal dilakukan pada seawal usia 30-an, namun yang menjadi masalahnya ramai golongan muda ini kebanyakannya tidak terfikir untuk merancang awal sebagai persediaan menghadapi hari tua masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP bagi pengurusan perancangan dan strategi, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias memaklumkan bahawa 23 peratus daripada pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan asas kira-kira RM196,000 yang bermakna jika dibahagikan kepada 240 bulan, jumlah bulanan yang bakal diperoleh ialah kira-kira RM800.

Namun jumlah itu akan menjadi realiti sekiranya pencarum sanggup menahan seketika nafsu dan memilih untuk membuat pengeluaran bulanan. Bagi yang memilih pengeluaran semua sekali atau sebahagian - lain pula ceritanya.

“Masalah ini bukannya berlaku terhadap pencarum KWSP sahaja tetapi turut melibatkan majoriti kumpulan rakyat lain, contohnya daripada statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit mencatatkan daripada 200,000 pelanggannya, 10 peratus daripada menghadapi masalah kewangan kritikal.

“Persepsi bahawa simpanan da­lam KWSP sudah memadai adalah silap. Secara formulanya, 30 peratus daripada pendapatan bulanan perlu dijadikan sebagai simpanan, tetapi ramai yang tidak sanggup melakukannya kerana kekangan tuntutan lain yang ditambah lagi faktor luaran seperti inflasi.

“Kaedahnya seperti mudah iaitu apabila dapat gaji, sebanyak 30 peratus diagihkan untuk simpanan dan selebihnya barulah dibelanjakan, namun apa diamalkan oleh majoriti penduduk ialah dapat gaji, ditolak untuk perbelanjaan dan bakinya barulah disimpan, itu pun jika ada,” katanya di sini baru-baru ini.

Sedikit maklumat untuk dimanfaatkan bersama, jumlah pengeluaran simpanan KWSP pada suku ketiga tahun ini mencecah RM8.5 bilion dengan 413,827 permohonan diluluskan. Pengeluaran fleksibel umur 55 tahun kekal sebagai pengeluaran tertinggi dengan RM1.7 bi­lion berbanding RM1.53 bilion pada suku tahun sama tahun lalu iaitu kenaikan sebanyak 11 peratus.

Ahli yang memilih untuk mengeluarkan simpanan KWSP melalui pengeluaran penuh umur 55 tahun pada tempoh sama juga meningkat sebanyak 2.74 peratus kepada RM1.63 bilion dengan 40,931 permohonan diluluskan berbanding RM1.60 bilion pada suku ketiga tahun lalu.

Isunya di sini ialah perlunya ke­sedaran merancang kewangan sejak daripada awal lagi, tidak dapat tidak, langkah ini amat perlu dilakukan, melainkan kerajaan mem­punyai satu pelan mapan jaringan keselamatan kebajikan sosial terutama bagi warga emas bekas kakitangan swasta atau yang be­kerja sendiri.

Sehubungan itu, kurikulum khu­­sus mengenai perancangan kewangan perlu dijana sejak daripada peringkat akar umbi lagi, termasuk diwajibkan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Kesedaran tentang kelebihan menabung perlu kembali dirakyatkan, perbelanjaan mengikut keperluan perlu dimantapkan.

Persepsi dalam kalangan ge­ne­rasi muda yang menganggap pelan perancangan untuk masa tua tidak ‘cool’ perlu dibuang sejauh mungkin, kerana kumpulan sasar inilah yang sepatutnya menyibukkan diri kerana mereka bakal menjadi orang tua.

Mentaliti zon selesa yang terlalu mengharapkan bantuan ‘Fama’ (Father Mother) perlu dikikis kerana tidak selamanya semua daripada kita mampu ditanggung, ditambah lagi sesuatu yang bakal berlaku pada masa hadapan juga tidak semua daripada kita mampu menekanya dengan tepat.

“Bagi generasi ‘burger’ pada masa ini atau generasi Y setiap kali mendapat bonus atau gaji, benda pertama yang terlintas da­lam fikiran ialah membeli atau ‘up grade’ gajet terkini seperti te­lefon dan tablet, lagi canggih dan hebat lagi ‘cool’, dan kebanyakannya proses ini mampu menjangkau hingga beribu-ribu ringgit,” kata Tunku Alizakri.

Menyedari mengenai situasi ti­dak menyenangkan yang mungkin jarang disedari oleh sebahagian besar penduduk negara ini, ter­utamanya pencarum KWSP, agensi itu melaksanakan inisiatif yang pertama di dunia apabila memperkenalkan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang dilancarkan secara tidak rasmi pada 1 Julai lalu.

Melalui RAS, Tunku Alizakri memaklumkan bahawa para ahli akan diberikan khidmat nasihat percuma dan panduan tentang bagaimana mereka boleh membuat keputusan penting berkaitan simpanan KWSP agar wang mereka boleh bertahan lebih lama sepanjang tempoh persaraan, termasuk pilihan untuk membantu mengurus dan meningkatkan simpanan mereka.

“Khidmat ini adalah percuma, segala maklumat akan dirahsiakan. Apa yang paling penting, RAS tidak memberikan cadangan terutamanya dalam hal-hal berkaitan pelaburan atau mempromosikan sebarang khidmat yang ditawarkan oleh pihak ketiga,” katanya.

Projek perintis RAS pada masa ini dilaksanakan di ibu pejabat KWSP Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, ia bakal diperluaskan pada tahun hadapan di enam lagi bandar utama termasuk memperkenalkannya di 67 cawangan seluruh negara, bergantung kepada maklum balas yang diterima kelak.

Untuk maklumat lanjut ber­kenaan RAS, ahli boleh melayari laman web, www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 (dari 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat). Ahli juga boleh mengunjungi cawangan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur atau Jalan Gasing, Petaling Jaya, untuk mendapatkan khidmat nasihat secara percuma. - SUMBER

2 comments:

zarul farhana said...

mcm mana masa depan negara nanti.. semua brg naik..

Wak Lat said...

Salam. Hee thanks for sharing bro.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...