Followers

Monday, January 20, 2014

SEJARAH BURUH PAKSA PERLU DIKETENGAHKAN


MUNGKIN ramai generasi muda hari ini tidak mengikuti atau mengetahui tentang filem Bridge On River Kwai keluaran Amerika Syarikat (AS) pada 1957, namun filem yang mengisahkan tentang sekumpulan tahanan perang tentera British yang dijadikan 'hamba' dan 'buruh paksa' merupakan sebuah filem hebat dalam kalangan generasi lama.

Filem itu mengisahkan penderitaan ribuan tahanan yang didera sebagai buruh paksa untuk menyiapkan landasan kereta api yang dikenali sebagai 'landasan maut' dari Thailand ke Burma (kini dikenali Myanmar) yang terletak di Sungai Mae Klong di Thailand.

Pembinaan landasan sepanjang 415 kilometer yang merangkumi 60 stesen bermula dari Nong Pladuk di daerah Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzayat bermula pada Oktober 1942 itu berlaku semasa zaman pemerintahan Jepun.

Mengikut catatan sejarah, selepas Jepun menakluk Tanah Melayu pada Februari 1942, mereka merencanakan projek pembinaan landasan kereta api sejauh 415 kilometer dari Thailand ke Burma bagi merealisasikan misi penting tentera Jepun untuk menakluki negara India melalui Burma.

Kira-kira 68,000 tahanan perang British, Australia, Amerika, New Zealand dan Belanda, manakala 200,000 orang lagi buruh paksa dari India, China dan orang Melayu dari Tanah Melayu terlibat dalam pembinaan projek landasan maut itu.

Dari Tanah Melayu sahaja dianggarkan 72,000 rakyat Malaya dikerah untuk menyiapkan landasan maut tersebut, dan daripada jumlah itu hanya 30,000 orang sahaja selamat pulang ke tanah air, manakala selebihnya dilaporkan meninggal dunia dan hilang.

Mengikut rekod Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946, hanya 30,000 buruh terbabit berjaya pulang semula ke tanah air mereka terdiri daripada 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Tahanan perang itu dipaksa oleh tentera Jepun menjadi buruh paksa dengan tenaga dan kudrat mereka diperah sepenuhnya siang dan malam untuk menyiapkan projek tersebut.


Sepanjang 'bertugas', mereka dilayan dengan teruk dan hanya diberi makan sekali sehari serta tinggal secara beramai-ramai.

Akibat teruk didera, ramai yang meninggal dunia dan dijangkiti pelbagai penyakit termasuk taun, malaria, cirit birit dan juga keletihan.

Tahanan perang itu dipaksa menebang pokok-pokok besar, membersih kawasan laluan landasan, meneres lereng-lereng bukit, menimbus kawasan rendah, menyusun landasan, mengangkut rel kereta api dan mengangkut batu-batu serta membina jambatan hanya menggunakan kudrat mereka, tanpa bantuan peralatan dan jentera.


Pada sebelah malamnya pula mereka ditempatkan di rumah panjang seperti bangsal beratapkan daun sagu atau nipah dan berlantaikan buluh. Setiap bangsal memuatkan kira-kira 100 orang.

Tentera Jepun akan memantau 'kerja-kerja' yang mereka lakukan dan jika mereka didapati melakukan 'kesalahan', lambat atau letih, mereka akan dipukul dengan buluh, rotan atau ditampar.

Buruh paksa yang meninggal dunia pula, mayat mereka diisi ke dalam guni dan ditanam di merata-rata tempat. Ada juga mayat yang dibakar atau dihanyutkan ke sungai.

Kini, biarpun peristiwa hitam itu telah berlalu selama beberapa dekad, namun tragedi itu akan mengingatkan kita betapa bahayanya jika negara kita diceroboh kuasa asing, dan kita akan lebih menghargai keamanan dan kebebasan.

2 comments:

Anonymous said...

tapi kata ramai sejarahwan, Jepun ni bagus. Kalau tidak karena banyak disabotaj oleh British dan Berikat, penjajah jepun lagi baik dan lebih terkedepan dalam memajukan negara. Mereka kan terkenal sbb effisyen.

Cth kat terengganu, 3tahun jepun disini mereka dah siapkan satu jalan utama dan satu jeti, tu pun dalam keadaan kucar kacir sebab selalu disabotaj. Harapkan raja dan sultan, entahlah.

Anonymous said...

Kat terengganu dan pahang dulu, Jepun ni bangsa ketiga terbesar di sini selepas melayu dan cina..

Sekarang, bangsa ketiga terbesar adalah bangla.. huhu.. maybe dorang lebih ramai dari India dah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...