Followers

Friday, January 24, 2014

HAPUSKAN PENIAGA TAMAK


SEJAK akhir-akhir ini, segelintir rakyat Malaysia ke hadapan dalam hal mempertahankan dan mendapatkan hak.

Misalnya, hak sama rata untuk semua agama dan hak individu dibawa sampai ke peringkat antarabangsa, kononnya dasar dan polisi kerajaan sedia ada tidak betul.

Yang menghairankan, golongan ini tidak pula mempertahankan hak rakyat Malaysia ditahan di negara luar hanya kerana ingin mengajar anak mereka bersolat.

Apabila hak individu bercanggah dengan hak Allah SWT, maka hak Allah SWT wajib diberikan keutamaan tertinggi. Di negara Barat, undang-undangnya keterlaluan kerana terlalu mengagung-agungkan hak sama rata dan hak individu mengatasi kepatuhan manusia ke atas Allah SWT.

Golongan yang sama juga tidak pula mempertahankan hak seorang guru mualaf untuk memakai tudung. Bagi golongan yang kononnya menguar-uarkan hak asasi individu, mereka sebenarnya hanya mempertahankan kepentingan mereka sahaja dan bukannya hak manusia sebenar yang sah di sisi Allah SWT.

Begitu juga, tiada pula kedengaran golongan yang sama mempertahankan hak majoriti rakyat agar tidak dimanipulasikan oleh sikap segelintir ahli perniagaan yang tamak haloba. Yang kedengaran, apabila harga barangan naik, institusi kerajaan diserang habis-habisan.

Memang benar, terdapat kelemahan penguatkuasaan, tetapi sekiranya segelintir ahli perniagaan yang tamak haloba ini lebih berperikemanusiaan dan bertimbang rasa serta beretika, maka perkara ini tidak akan berlaku. Harga barangan dan perkhidmatan tidak akan naik begitu tinggi sekali.

Bagilah apa alasan sekalipun, yang nyata majoriti rakyat mengetahui segelintir ahli perniagaan yang tamak haloba ini sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati. Ini sudah menjadi rahsia terbuka.

Tujuannya, selain untuk mengaut keuntungan tinggi, mereka sebenarnya mempunyai muslihat tertentu untuk menjatuhkan imej institusi kerajaan yang berteraskan Melayu Islam ini. Mudah sahaja, naikkan harga barangan dan perkhidmatan, rakyat akan marah kepada kerajaan. Bukannya susah sangat pun.

Bayangkan harga sayur di Thailand begitu murah berbanding di Malaysia kerana negara berkenaan menguasai teknologi pertanian sehingga dapat mengeluarkan hasil tani secara besar-besaran.

Apabila hasil pertanian dapat dikeluarkan secara besar-besaran, kita tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada import makanan. Risiko turun naik mata wang asing dapat dikurangkan pada tahap paling minimum.

Tidak salah jika Dasar Buku Hijau yang pernah dilaksanakan suatu ketika dulu diperkenalkan semula dengan memberi nafas baru berasaskan keperluan rakyat Malaysia yang jumlahnya semakin bertambah berbanding dahulu.

Terlalu bergantung kepada negara asing akan menyebabkan negara kita tidak begitu selamat sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diduga. Lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

Dengan memberi keutamaan terhadap pertanian, bukan sahaja mampu menstabilkan harga makanan bahkan paling utama, negara kita berada dalam keadaan bersedia pada bila-bila masa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...