Followers

Friday, January 17, 2014

PEMBUNUH KEJAM TIGA BERADIK DITANGKAP POLIS


Semalam pihak polis telahpun berjaya menahan suspek yang membunuh tiga beradik di Alor Setar, Kedah pada November 2013. Rujuk kes tersebut disini ( KLIK )

Setelah lebih sebulan tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Langgar dekat sini ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kejam, polis akhirnya berjaya menahan dua remaja lelaki semalam yang disyaki suspek utama kes pembunuhan tersebut.

Polis dipercayai telah menemui bukti bahawa tiga beradik itu telah dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah rumah kosong di Kampung Gelam di sini dan cuba merogol mangsa berumur 14 tahun namun gagal.

Kedua-dua suspek dipercayai membawa ketiga-tiga beradik itu ke kawasan sawah padi di Alor Senibong dan sekali lagi cuba merogol mangsa namun mangsa cuba melarikan diri dan tindakan itu menyebabkan suspek membunuh mangsa.


Dua adik mangsa yang berumur 12 dan tiga tahun yang menyaksikan kejadian itu disyaki ditolak oleh suspek ke dalam sungai dan dibiarkan mati lemas.

Penangkapan dua suspek ini dilakukan setelah ayah mangsa bermimpi didatangi oleh arwah anaknya dan memberitahu nama suspek. Ayahnya kemudian membuat laporan polis, dan pihak polis segera membuat siasatan terhadap suspek.

"Saya bermimpi arwah (Nor Syafikah Nadia) datang dengan wajahnya berseri-seri dan suruh cari 'budak' ini jika ingin tahu pembunuh mereka".

Demikian pengakuan Rusdi Rani, 39, bapa kepada tiga beradik iaitu Nor Syafikah Nadia, 14; Nur Izzati Husna, 12; dan Puteri Nurul Akma, 3; dari Alor Semela, Jalan Langgar di sini yang dibunuh kejam sekali gus menjadi petunjuk kepada penangkapan dua suspek lelaki dalam kes pembunuhan itu semalam.

Rusdi berkata, pada malam Selasa lalu dia bermimpi arwah anak sulungnya itu datang seolah-olah memberi petunjuk untuk membantu menyelesaikan kes pembunuhan mereka.

"Dalam mimpi saya, Nor Syafikah Nadia datang dalam keadaan yang berseri-seri dan tersenyum kepada saya lalu beritahu kepada saya petunjuk untuk membantu selesaikan kes pembunuhan mereka.

"Arwah kata pada saya dalam mimpi itu, abah kalau nak selesai cepat kes adik, angah, along pergi cari budak ini sambil memberitahu nama lelaki tersebut dan saya terus beritahu polis mengenai hal ini," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Semela di sini hari ini.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga yang lain tidak pernah lupa membaca surah Yasin dan menunaikan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah agar membantu menyelesaikan kes pembunuhan anak mereka.

"Sejak hari kejadian kami tidak putus-putus berdoa agar pembunuh anak saya berjaya ditahan polis dan akhirnya doa kami dimakbulkan.

"Kami berharap pembunuh ini dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang telah dia lakukan terhadap keluarga kami," jelasnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...