Followers

Thursday, November 28, 2013

RUMAH MELAYU TRADISIONAL - BAHAGIAN 4


Ruang didalam rumah melayu tradisional dahulu mempunyai bebrapa ruang. Ruang hadapan dipanggil ruang lelaki. Ianya mempunyai ruangan tertentu seperti serambi, anjung, rumah tangga, lepau atau lembur. Disini, biasanya tempat berkumpul tetamu yang datang ke rumah.

Bahagian tengah rumah atau pasis adalah untuk kaum wanita dan juga tempat tidur suami isteri dan anak perempuan. Bahagian pasis merupakan ruang diperuntukkan bagi kaum wanita menjalankan berbagai bagai kegiatan dalaman.

Bahagian dibelakang sekali dikenali sebagai bahagian dapur atau bahagian aktif. Ianya adalah ruangan memasak, mempunyai para untuk menyimpan barangan dapur, jemuran ataupun pelantar.

Rumah melayu berbentuk limas moden pula sudah mempunyai ruangan khas seperti ruang makan, ruang tamu, bilik tidur suami isteri dan bilik tidur untuk anak anak.

Pada zaman dahulu, pembinaan rumah mengambil masa yang lama. Ada yang mencecah bertahun. Namun ada juga yang cepat kerana semuanya bergantung kepada kedudukan kewangan tuan empunya rumah. Zaman dahulu, untuk membina rumah, tukang rumah harus masuk ke dalam hutan untuk mencari kayu. Kayu ditebang menggunakan kapak, beliung atau gergaji. Kayu yang ditebang akan dibawa keluar dengan cara menariknya melalui gajah, kerbau ataupun dihanyutkan melalui sungai. Proses mencari kayu, menyediakan peralatan dan membawa keluar dari hutan membuatkan rumah hanya dapat disiapkan lebih kurang dua atau tiga tahun.

Atap rumah dibuat daripada daun cucuh, nipa mahupun rembia. Daun daun ini dirintis dari pelepahnya, kemudian disirat dan dijadikan kepingan atap. Atap rumbia atau bertam dapat digunakan selama 2 atau 3 tahun. Apabila berlaku kebocoran, ianya akan ditukar dengan atap baru. Proses ini dipanggil menyisir atap. Pembuat atap biasanya dikalangan kaum wanita kerana mereka lebih teliti dan kemas didalam mengikat atap. Manakala kaum lelaki tugasnya mencari dan mengambil bahan bahan tersebut. Pokok rumbia biasanya terletak dikawasan paya manakala pokok nipah tumbur meliar dikawasan tebing sungai. 

Atap ijuk diperbuat daripada rerambut yang terdapat pada batang pokok enau atau kabung. Bagi rumah rumah pembesar atau raja, mereka menggunakan atap kayu.  Kayu yang digunakan adalah jenis kayu belian. Atap jenis ini dipanggil atap sirip.

Seiring peredaran zaman, atap bertam, ijuk atau rumbia diganti dengan atap zink. Diantara tahun 19000 sehingga 1941, adalah satu kemegahan kepada rumah orang melayu jika mereka menggunakan atap zink. Atap genting yang diperbuat dari tanah liat telah digunakan di negeri Terengganu dan Kelantan sejak dahulu lagi. 

Dibahagian bumbung bagi sesetengah rumah melayu, mereka akan membuat ruang berlantai yang dipanggil loteng atau peran. Ianya digunakan sebagai tempat menyimpan barang ataupun tempat tidur bagi anak gadis.

Tapak Rumah
Orang melayu dahulu percaya kepada perkara perkara ghaib dan khurafat. Untuk memilih tapak rumah, selain daripada keadaan topografi, mereka juga percaya warna tanah dan lokasi memainkan peranan penting untuk tuah atau nasib baik.

Dari segi kepercayaa, tanah lapang kurang mendapat gangguan makhluk halus. Tanah yang rendah arah ke utara dan tinggi arah ke selatan dipercayai baik untuk tapak rumah kerana tuan rumah tidak selalu diserang penyakit, kehidupan keluarga akan sentiasa gembira.

Tanah yang rendah ke arah matahari naik dan tinggi ke arah matahari jatuh juga dipercayai sesuai. Tanah yang berwarna hijau, kuning dipercayai membawa rezeki yang berlipat ganda. Tanah yang merah, putih ataupun bermacam warna juga dipercayai baik.

Manakala tanah tinggi ke arah utara dan rendah ke selatan akan cuba dijauhi kerana membawa nasib buruk kepada mereka yang tinggal di rumah berkenaan. Tanah yang tinggi ke arah matahari naik dan rendah ke arah matahari jatuh juga dikatakan tidak sesuai.

Tanah paya atau gambut dimana air sentiasa bertakung juga tidak sesuai untuk tapak rumah. Mereka percaya disitu tempat berkumpul segala syaitan dan rumah juga akan lebih cepat rosak. Tanah yang berbonggol, retak, berlubang lubang atau mempunyai busut juga dipercayai mempunyai hantu puaka.

Mengikut adat, pasangan muda yang baru berkahwin akan membina rumah baru dibelakang rumah ibu bapa mereka. Ini sebagai tanda menghormati orang orang tua.

Kepercayaan
Pada zaman dahulu, bomoh atau pawang dipanggil untuk menilik tapak rumah. Cara menilik pula berlainan mengikut amalan bomoh terbabit. Ada yang menggunakan tempurung kelapa yang disi dengan air. Tempurung diletakkan ditengah tengah tapak rumah pada waktu senja dan ditutup dengan daun keladi. Pagi esoknya, pawang akan melihat air didalam tempurung berkenaan. Sekiranya air didalam tempurung berubah warna, maka tapak itu tidak sesuai dijadikan rumah. Ada juga jika air bertambah, maka tapak itu sesuai dibuat tapak rumah.

Selain itu, pawang juga akan menanam bijih besi berserta dengan jampi serapah untuk menghalau hantu puaka yang tinggal dikawasan tapak berkenaan.

Selain khidmat pawang, tuan rumah juga boleh menguji sendiri tapak rumahnya dengan mengambil 3 kepal tanah dari tapak rumahnya dan dibawa pulang. Pada malam semasa hendak tidur, maka sekepal tanah diletak di hujung kepala, sekepal diatas perut dan sekepal lagi dihujung kaki. Semasa tidur, dia hendaklah tidur dengan kepala mengarah ke arah matahari naik. Sebelum melelapkan mata, dia dikehendaki membaca Al Fatihah 3 kali, Qulhuallah sekali dan ayat Ya Anzalna sekali. Biasanya didalam tidur, dia akan mendapat alamat mimpi sama ada tapak rumah itu sesuai ataupun tidak.

Tukang Rumah
Untuk membina rumah, tuan rumah akan memanggil tukang rumah untuk membinanya. Selain itu ada juga yang dibina secara bergotong royong sesama saudara atau sekampung. bagi mereka yang kaya, mereka akan memanggil tukang rumah dari luar Ada yang datang dari Minangkabau, Perak, Pattani mahupun China. Selain tukang rumah, tukang ukir juga dipanggil untuk membuat ukiran tertentu pada rumah berkenaan. Selalunya yang menggunakan khidmat tukang ukir adalah mereka dari golongan kaya, bangsawan mahupun Raja.

Tukang rumah yang berpengalaman selalunya dihormati. Mereka dibayar dengan upah yang lumayan bersesuaian dengan bentuk rumah yang dibina. Rumah yang dibina menggunakan kayu bermutu tinggi, berukir dan sebagainya, dia akan mendapat upah yang lebih berbanding rumah biasa yang dibina.

Bulan Sesuai
Selain daripada tapak rumah, orang melayu dahulu juga percaya dengan bulan bulan tertentu. Pemilihan bulan yang baik amat penting untuk menjamin nasib yang baik buat mereka yang tinggal dirumah berkenaan. Bulan bulan yang dipercayi baik untuk mendirikan rumah adalah bulan Syaaban, Ramadhan, Zulhijah, Safar dan Rabiulakhir.

Bulan yang kurang baik pula adalah bulan Muharam, Rabiulawal, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syawal dan Zulkaedah. Menurut mereka, jika rumah didirikan pada waktu itu, tuan rmuah akan mendapat kesusahan, mendapat penyakit dan akan berlaku kematian yang kerap dikalangan ahli keluarga.

Selain bulan, hari juga memainkan peranan penting. Menurut beberapa orang pawang, hari yang baik untuk memulakan kerja adalah hari Ahad, Jumaat dan Khamis. Jika rumah dibina pada hari sabtu atau rabu, salah seorang tuan rumah akan meninggal dunia setelah rumah siap.

Bersih Tapak Dan Letak Kerja
Sebelum memulakan kerja, tapak rumah akan disemah. Pawang akan membaca mentera dan jamuan kepada hantu syaitan supaya mereka tidak mengganggu kerja dan keluarga yang akan tinggal di rumah berkenaan. Selesai bersemah, pawang akan berjalan ke sempadan tanah untuk memacak tanda sebagai tanda sempadan tapak rumah.

Tuan rumah pula akan membersihkan tapak rumah dan kemudian membakar segala ranting kayu dan sampah dibahagian tengah tapak sebagai tanda menghalau hantu jembalang dkawasan berkenaan.

Selesai membersihkan tapak, barulah tukang rumah mulakan kerja. Ini dipanggil "Meletak Kerja". Tugas utama adalah menandakan kedudukan tiang utama pada ibu rumah. Zaman dahulu tiang ditanam didalam tanah maka klubang perlu digali untuk menanam tiang. Namun sekarang tiang rumah dialas menggunakan batu atau simen. 


Lubang yang pertama dikorek adalah lubang tiang seri. Sebelum mengorek, orang yang mengerjakannya akan memberi salam dan berselawat. Semasa menggali, bayang bayang penggali tidak boleh mengenai lubang sebagai tanda pantang.

Selesai lubang tiang seri dikorek, barulah lubang lain dikorek. Biasanya rumah tradisional melayu mempunyai 12 batang tiang. Sebelum tiang seri dimasukkan kedalam tanah, pawang akan membaca jampi. Bijih besi, paku, beliung patah ataupun bahan lain dimasukkan. Ada juga yang menyimbah darah haiwan ke dalam lubang tiang seri ataupun memasukkan telur ayam.

Bersambung...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...