Followers

Thursday, January 03, 2013

Permulaan Tirai 2013

Tirai 2012 baru sahaja berlabuh dan tirai bagi 2013 kini baru sahaja dibuka. Rasanya masih belum terlambat untuk aku ucapkan "Selamat Tahun Baru" kepada anda semua. Harap segala peristiwa manis yang berlaku pada tahun 2012 itu akan sentiasa dikenang manakala yang tak elok itu dijadikan sebagai pengajaran supaya tidak lagi melakukan kesilapan yang disama di tahun ini.

Menjelang tahun baru ini, aku pasti ramai di antara kita masih lagi meneruskan rutin yang sama seperti ditahun tahun yang sudah. Bagi yang belajar, terkejar kejar menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan yang diamanah dan meluangkan masa bersama rakan rakan ? Dan bagi mereka yang bekerja dan berkahwin pula akan melakukan perkara yang sama setiap hari. Terperangkap didalam kesesakan lalu lintas, menguruskan persekolahan anak anak, tergesa gesa membereskan kerja yang datang setiap hari. Sehinggakan ada yang tidak lagi dapat menikmati betapa indahnya hidup ini akibat terlalu menurut rutin kehidupan.

Ada pepatah mengatakan "wake up and smeel the roses". Inilah perkara yang semakin ramai melupakan. Terlalu mengejar tugasan harian sehingga tidak lagi mengambil tahu hal sekeliling. Dalam kehidupan ini, ada masanya kita perlu berhenti sejenak, dan menikmati apa yang ada disekeliling kita.


Pada ambang tahun baru, usai saja menyambut pesta, aku dan rakan rakan bergerak ke Bukit Ampang. Menikmati pemandangan Kuala Lumpur yang indah diwaktu malam. Dan dikala azan subuh berkumandang, kedengaran alunan azan bagaikan bersahut sahutan diantara masjid dan surau yang ada. Dikala itu, terasa begitu indahnya alam ciptaan tuhan ini. Dengan suasana nyaman awal pagi, melihat keindahan mentari pagi terbit memberikan sinarannya. Dan juga merasakan betapa kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan segala rahmat yang telah diberikanNya kepadaku.

Tiada salahnya rutin harian yang kita jalani selama ini. Cuma lebih baik jika ia diimbangi dengan rehat dan melihat keindahan kehidupan ini. Apa guna jika mempunyai harta yang berkepuk ibarat "kapal di laut gudang di darat" sedangkan diri menanggung tekanan yang berat. Sehingga akhirnya merosakkan kesihatan sendiri.

Hargailah kehidupan dan raikannya dengan insan yang tersayang. Usah biarkan diri terlepas segala momen yang mengembirakan. Hidup ini hanya sekali. Usah biarkan ianya berlalu tanpa disedari..

1 comment:

shaFazie said...

cntik....
aku pnh naik ctue 1skli je..tapi siang lah ..:D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...