BAS Mini disebut juga lipas kudung atau BMW (Bas Mini Wilayah) menghidupkan Kuala Lumpur pada awal 1980-an hingga 1998. Ketika itu jalan raya dikuasai oleh 1,200 bas mini milik 320 pengusaha yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 7,000 pemandu dan konduktor.
Bas mini adalah nadi Kuala Lumpur. Bas mini menjadi pilihan utama kerana tambangnya murah, pantas walaupun terpaksa berhimpit-himpit. Beberapa hentian seperti Bangkok Bank, Bus Stand Kelang, Kota Raya sangat dikenali oleh warga Kuala Lumpur.
Ketika itu Kuala Lumpur sudah sesak dengan kenderaan, terutama waktu puncak awal pagi dan lewat petang hingga malam. Bas mini adalah segala-galanya selain bas Tong Fong, Sri Jaya dan Selangor Omnibus. Selepas era bas mini yang dikatakan punca kesesakan, apa perubahan di Kuala Lumpur? Masih sesak malah lebih sesak. Jadi, di mana silapnya sistem pengangkutan awam kita?
Kini kesesakan di Kuala Lumpur mencapai ke tahap “gila”. Banyak pihak menyalahkan mereka yang tidak menggunakan pengangkutan awam. Meletakkan kesalahan kepada pemilik kenderaan tanpa melihat akar masalah bukan perkara baru.
Masalahnya liputan pengangkutan awam tidak menyeluruh. Ada stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang tidak ada tempat meletak kereta dan tidak ada bas perantara. Contohnya Stesen Chan Sow Lin.
Sebab-sebab beginilahyang memaksa orang memandu sendiri ke pusat bandar dan berlaku kesesakan.
Suatu ketika dulu ada kempen “tumpang kereta”. Alasannya banyak kereta yang masuk ke Kuala Lumpur hanya membawa seorang iaitu pemandu. Maka kalau sebuah kereta membawa empat orang, secara teori ia sudah mengurangkan empat kereta di atas jalan. Bagaimanapun cara ini tidak pratikal dan akhirnya tidak berjaya. Masalah pokoknya sistem pengangkutan awam, bukan orang tidak mahu menumpang kereta atau sengaja suka-suka membawa kereta ke tempat kerja.
Mengikut statistik, Malaysia merupakan negara yang paling banyak penduduknya memiliki kereta iaitu 20 juta kereta bagi 28 juta orang. Ini nisbah tertinggi berbanding negara seperti Amerika Syarikat (AS) atau Jerman.
Lebih merumitkan masalah kesesakan di Kuala Lumpur apabila ada birokrat diserang idea. Tetapi idea yang dilontarkan hanya sesuai di atas kertas sahaja misalnya melarang motosikal masuk ke pusat bandar. Mereka cuba menafikan bahawa kesesakan disebabkan sistem pengangkutan awam. Maka tidak banyak perubahan sejak era bas mini hingga monorel dan LRT yang lebih moden. Kajian menyeluruh kelemahan pengangkutan awam perlu segera dilakukan. Dari situ kita boleh nampak ruang-ruang untuk diperbetulkan. Idea-idea borikrat di kerusi empuk lebih banyak kelakar daripada seriusnya.
Misalnya tidak lama dulu ada birokrat yang membuat “lawak” supaya warga Kuala Lumpur berbasikal ke tempat kerja. Ini memperlihatkan birokrat yang tidak menghayati masalah ditanggung oleh rakyat.
Warga Kuala Lumpur bukan sengaja mahu meredah kesesakan setiap kali pergi dan balik dari tempat kerja. Memandu kenderaan sendiri adalah menanggung belanja yang berganda. Belanja bahan api, tol dan bayaran meletak kereta mengambil sebahagian besar daripada pendapatan isi rumah. Tetapi mereka tidak ada pilihan untuk mengurangkan belanja apabila sistem pengangkutan awam tidak boleh membantu.
Di bandar-bandar besar di luar negara, pembangunan bererti melengkapkan dan melicinkan sistem pengangkutan awam. Kemudian barulah membangunkan kawasan-kawasan strategik sebagai pusat komersial, pejabat dan sebagainya. Tetapi di Kuala Lumpur bangunan pencakar langit lebih dahulu tumbuh sebelum sistem pengangkutan awam diperkasakan.
Mereka yang berkerja di Kuala Lumpur tetapi tinggal di Sungai Buluh, Rawang, Ampang atau Bangi tidak dapat menikmati kemudahan LRT. Jadi, apa pilihan mereka selain membawa kenderaan sendiri? Malah antara Kuala Lumpur dan Putrajaya juga setakat ini belum dihubungkan oleh satu sistem pengangkutan awam. Adakah cukup hanya dengan bas Rapid KL? Di mana LRT yang dirancangkan menghubungkan Kuala Lumpur dengan Putrajaya?
Banyak warga Kuala Lumpur berkerja dan berurusan di Putrajaya, begitu juga banyak warga sekitar Putrajaya yang berurusan di Kuala Lumpur. Katakan, apa lagi pilihan mereka selain menggunakan kenderaan sendiri?
Pada Jun lalu ditubuhkan sebuah lagi agensi iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010. Sebelum SPAD, ada 15 agensi dalam sektor pengangkutan. Ini menunjukkan betapa teruknya birokrasi dalam sektor pengangkutan. Sudah tentu berlaku banyak pertindihan antara satu agensi dengan yang lain. Ini juga membantutkan kelicinan sistem pengangkutan awam.
Dengan adanya agensi tunggal SPAD pembahagian tugas boleh dilakukan dengan lebih licin. Tetapi SPAD bukan sahaja perlu menekankan hal-hal penguatkuasaan dan pelesenan malah merangka strategi. SPAD kena mengakui bahawa cabaran utama ialah melakukan anjakan dalam sistem pengangkutan awam.
Warga Kuala Lumpur menaruh harapan sangat tinggi kepada kejayaan projek mega Transit Aliran Pantas (MRT) yang dianggar menelan belanja RM36.6 bilion. Pembinaannya bermula Julai depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020. Ini merupakan tren berkelajuan tinggi dan memberikan perkhidmatan di kawasan Greater KL yang meliputi kawasan seluas 279,327 hektar persegi.
MRT setidak-tidaknya mampu menyelesaikan sebahagian masalah kesesakan di Kuala Lumpur apabila orang ramai memilih pengangkutan awam. Kalau ini berlaku bermakna kita telah berjaya mengurangkan kadar pencemaran udara daripada penggunaan bahan api. Statistik dari Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008 menunjukkan peningkatan 35.8 peratus penggunaan bahan api dari tahun 2000 hingga 2008.
Penggunaan bahan ini ini dianggap tinggi kalau dibandingkan dengan AS yang meningkat sebanyak 28.5 peratus, Singapura (18 peratus) dan Jepun (24 peratus). Ini adalah kesan daripada kelemahan sistem pengangkutan awam. Jumlah kenderaan yang luar biasa menyumbang kepada pencemaran ini. Kerana itu kita kena meminjam model sistem pengangkutan awam yang cekap di bandar-bandar lain di dunia.
Salah satunya tentulah projek MRT kerana penduduk Greater KL kini berjumlah enam juta akan bertambah menjadi sepuluh juta tahun 2020. Mahu tidak mahu, kita terpaksa berfikir untuk jangka panjang bagi memastikan warga Kuala Lumpur pantas bergerak, selesa dan selamat dari pencemaran.
Sumber: Utusan Malaysia
4 comments:
,=====,o00o Ponn..Ponn.Ponn..
//__l_l_,\____\,__
l_---\_l__l---[]lllllll[]
_(o)_)__(o)_)--o-)_)___
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
" Antara kau dan aku
Blog ini sebagai pengantara”
http://firestartingautomobil.blogspot.com/
http://bukandoktorveterinar.blogspot.com/
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dalam Bajet Tahun 2011, Perdana Menteri memangku Menteri Kewangan telah membentangkan bahawa Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) akan dibina bermula pada tahun hadapan dan dijangka akan siap sebelum tahun 2020. Belanja untuk membina sistem MRT dianggar akan mencecah RM 40 bilion. Senario ini memanifestasikan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam di negara kita. Setakat ini hanya kira-kira 32% pengguna jalan raya tempatan menggunakan pengangkutan awam manakala di negara maju seperti Jepun dan negara-negara Eropah lebih daripada 70% pengguna jalan raya ialah penumpang pengangkutan awam. Dalam konteks ini, pengangkutan awam merupakan unsur utama bagi penduduk bandar-bandar besar di dunia. Untuk mencapai negara maju, semua pihak perlu sedar akan kepentingan pengangkutan awam kepada negara kita.
Kita sedia maklum bahawa salah satu kemaslahatan pengangkutan awam adalah dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam. Kesesakan lalu lintas merupakan duri dalam daging dan mimpi ngeri kepada penduduk bandar. Ketika pergi ke atau balik dari pejabat, mereka terpaksa berjam-jam di jalan raya akibat kesesakan lalu lintas. Sehubungan dengan itu, peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam dapat menarik lebih banyak penumpang sehingga penggunaan kenderaan sendiri akan berkurangan di jalan raya. Secara tidak langsung, kesesakan lalu lintas dapat diminimumkan. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa perlu menetap lintasan khas sebagai laluan kenderaan awam seperti bas dan teksi. Alat pengangkutan awam yang tidak mengalami kesesakan lalu lintas dapat menarik pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam. Walhasilnya, pembangunan dalam sistem pengangkutan awam di tanah air dapat membendung kesesakan lalu lintas yang semakin kronik.
Selain itu, pengangkutan awam yang bermutu turut memperkasakan industri pelancongan. Di rantau Asia Tenggara ini, industri pelancongan negara kita masih ketinggalan berbanding dengan negara Thailand dan Singapura. Salah satu sebab ialah pengangkutan awam di Bangkok dan Singapura sangat canggih dan memudahkan pelancong ke sesuatu destinasi. Sebaliknya sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih belum mencapai taraf negara maju. Di Hong Kong, Singapura dan Taiwan, penumpang hanya perlu membeli sekeping Kad Penumpang untuk menaiki MRT, bas malah Feri. Sistem pengangkutan yang canggih, selesa, mesra , bersih dan selamat dapat memberikan imej yang baik kepada pelancong ke negara kita. Malangnya, bas ekspres dan bas persiaran di negara kita sering terlibat dalam kemalangan yang dahsyat. Tambahan pula, sesetengah pemandu teks yang biadab dan meminta tambang yang berlebihan akan menjejaskan industri pelancongan di negara kita. Tegasnya, pengusaha pengangkutan jalan raya tanah air kita perlu meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kerana perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti dapat mendorong industri pelancongan negara kita.
KL + Selangor sumbangkan lebih 45/100 pendapatan negara Malaysia.
Jadi, memang Najib nak tumpu pada KL+Sel lah.
Tapi bebaloi ke kos 50b tu? Sebab, kalau buat landasan kereta api utara-selatan pun, kos lebih kurang je.
Untuk jana duit jangka panjang, ikut cara Dr Mahathir.
Nak jana duit jangka pendek, ikut cara Najib.
hehehe
afzainizam: wow!! panjangnya komen hehehe..tapi betul lah tu..kita tak boleh nak harapkan pada lrt dan komuter semata mata..nak harapkan bas rapid,langsung tak boleh pakai..jalanraya dah sesak..camner nak guna bas.
sophon: mrt ni penting juga terutama untuk penduduk lembah klang. mrt ini digunakan sebagai pengangkutan awam. sebagai contoh untuk penduduk pergi kerja setiap hari.
keretapi utara selatan hanya untuk pengguna yang mahu ke kampung atau melancong.
kalau untuk menjana ekonomi, keretapi utara-selatan adalah jawapannya. tapi kalau untuk kesejahteraan rakyat, itu adalah mrt.
betul betul betul...
Post a Comment