SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.
Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.
Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.
Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.
Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.
Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.
Sumber: Utusan Malaysia
Teruknya kemalangan ini. Rasanya inilah kemalangan melibatkan bas ekspres terburuk sejak hari raya tempohhari. Nampak sangat bas itu terlalu laju sampai boleh melambung ke laluan sebelah. Kalau tak, masakan bas yang besar dan berat boleh tercampak begitu. kalau kereta memang boleh diterima akal.
Salam takziah buat keluarga mangsa.
No comments:
Post a Comment