Sebagai sebuah gajet berskrin sentuh berbilang, telefon pintar Palm Pre hadir dengan papan kekunci QWERTY gelongsor vertikal penuh dan aselerometer. Palm Pre yang dilengkapi kemudahan WiFi ini juga disertakan dengan Sistem Pengesanan Global (GPS), Bluetooth 2.1 dan sokongan stereo serta memori simpanan sebesar lapan gigabait.
Dengan paparan seluas 3.1 inci dan beresolusi 320x480, paparan skrin sentuh menjangkaui sehingga ke pusat butang (bahagian gesture). Bahagian ini diwujudkan untuk melancarkan sebarang aplikasi pada gajet ini.
Ia turut dilengkapi kamera 3.0 megapiksel bersama flash LED dan perisian DSP. Gajet yang memiliki sokongan USB 2.0 pada kadar kepantasan tinggi ini juga direka bagi keselesaan tangan pengguna.
Pada berat 135 gram, saiz Palm Pre adalah lebih kecil daripada sebuah iPhone dan telefon bimbit lain yang ada di pasaran ini.
Sistem Operasi (OS) Palm Web sumber terbuka ini membolehkan maklumat dan gaya hidup pengguna yang sibuk diselaraskan dengan hanya satu sentuhan jari.
Antara muka pengguna (UI) skrin rumah memiliki widget aplikasi suai padan yang beroperasi di bawah paparan. Hanya satu sentuhan jari pada widget, aplikasi tersebut akan muncul.
Menariknya, satu komponen penting dalam Web OS adalah keupayaannya menyelarikan maklumat daripada pelbagai sumber ke dalam satu aplikasi.
Aplikasi Buddylist dalam Web OS pula membolehkan semua kenalan dalam pelbagai akaun sosial seperti mesej segera (AIM dan GChat) akan muncul dalam satu senarai.
Papan kekunci gelongsor QWERTY itu juga akan memudahkan pengguna mencari maklumat pada gajet atau dalam Internet. Jika maklumat yang dicari tidak sepadan dengan yang ada dalam gajet, maka pencarian akan dibuat dalam Internet.
Palm Web OS ini didatangkan dengan aplikasi pemberitahuan yang membolehkan pengguna melaksanakan tugasan tanpa sebarang gangguan. Satu pemberitahu kecil akan muncul di bawah skrin setiap kali pengguna menerima e-mel atau mesej segera (IM).
Selain teknologi OS yang boleh dibanggakan, sebuah pengecas tanpa wayar berteknologi tinggi, Touchstone juga diperkenalkan.
No comments:
Post a Comment