Followers

Monday, May 12, 2008

Berita Dari Kampung

BENTONG: Akibat dituduh merogol pelajar bawah umur, seorang bapa parah manakala isterinya cedera selepas dibelasah tiga lelaki yang bertandang ke rumah mereka di Batu Satu, dekat sini, ketika pasangan itu sedang berehat sambil menonton televisyen, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, Mohd Asra Izwan, 26, didatangi kumpulan lelaki itu ketika dia berada di rumah bersama isteri dan seorang anak lelakinya.

Sebelum kejadian, seorang daripada tiga lelaki terbabit menghubungi mangsa bertanyakan alamat sebenar rumah mangsa dan ketika itu dia dikatakan tidak mengenali pemanggil.

Oleh itu, mangsa menanti ketibaan ketiga-tiga ‘tetamu jahat’ itu di tepi jalan kerana bimbang mereka akan tersesat jalan.

Tidak sampai sejam kemudian, mangsa dihampiri sebuah Perodua Kancil yang dinaiki ketiga-tiga lelaki terbabit yang kemudiannya bertindak terus menyerangnya tanpa bertanyakan sesuatu.

Isteri mangsa, Siti Anum Mohd Rodzi, 24, yang terdengar bunyi pergaduhan di luar rumahnya cuba membantu suaminya tetapi dia turut dipukul.

Harian Metro difahamkan, kejadian terbabit tercetus apabila mangsa dituduh merogol seorang pelajar bawah umur yang masih menuntut di sebuah sekolah menengah, di sini dan seorang daripada tiga lelaki terbabit dipercayai bapa kepada gadis itu.

Ketika membelasah, ketiga-tiga lelaki berkenaan turut bertanyakan kepada mangsa benarkah dia pernah merogol seorang pelajar sebelum ini dan mangsa terpaksa mengaku kerana bimbang akan terus dibelasah.

Berikutan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian memaklumkan kepada polis yang bergegas ke lokasi kejadian dan menahan penyerang berkenaan manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Bentong (HB).


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...