Followers

Saturday, September 02, 2006

Apabila Gerai Kotor

KAWAN saya itu bersungguh-sungguh mengajak saya makan bersamanya di restoran kegemarannya itu. “Pelayan-pelayan di situ amat mesra,” katanya. “Makanan yang dipinta pun dihidangkan dengan segera. Apa sahaja dikehendaki semuanya ada.”

Saya bingung untuk menolak pelawaan kawan saya itu, khuatir perasaannya tersinggung lantaran seorang sahabat karib yang telah lama tidak berjumpa.
Masih jelas terbayang dalam kepala saya betapa kotornya tempat penyediaan makanan di bahagian belakang restoran-restoran seperti itu di beberapa buah bandar kecil yang pernah saya kunjungi dahulu.

Pada masa itu saya tidak ada banyak pilihan tempat makan atas beberapa sebab yang mendesak.

Setiap kali saya bertugas di luar kawasan, saya mengalami perkara yang serupa sehingga sukar hendak melupakan perkara-perkara yang saya lihat ketika itu.
Bahan-bahan mentah dan yang telah dimasak, yang belum diadun sebagai makanan siap, terletak di atas lantai bersebelahan tandas! Lalat dan langau merta-rata mengerumuni makanan itu.

Lipas-lipas merayap-rayap di celah-celah bahan-bahan makanan mentah yang berselerak lintang-pukang dengan berbagai barang dan alatan.

Di sebahagian lantai terlihat debu tepung yang telah bertukar warna kelabu dan kekuningan. Plastik-plastik pembungkus dan kotak-kotak buruk berselerak merata-rata. Semuanya kelihatan kotor dan berbau busuk. Jijik.

Pekerja-pekerja di dapur tampak lesu dan pakaian mereka lusuh dan kotor. Ada yang menguli tepung, ada yang membasuh beras, ada yang sedang memasak gulai dan ada yang sedang menggoreng daging ayam.

Sambil bekerja ada yang merokok dan ada yang tergaru-garu dan mengesat peluh, kemudian meneruskan kerja mereka tanpa mencuci tangan lagi. Ada yang berkuku panjang dan hitam.

Saya berasa mual.

Saya perhatikan paras tandas di restoran itu lebih tinggi daripada lantai di mana barang-barang tersebut diletakkan! Tandasnya juga terlalu kotor dan berbau busuk. Najis pengguna sebelum saya tidak dipam. Pamnya pun tidak berfungsi.

Kepala paipnya yang patah diikat dengan getah tiub semborono sahaja; air meleleh berterusan! Dinding dan bumbung tandasnya bersawang-sawang. Lantainya penuh kotoran lumpur bekas tapak kasut. Saya terus lari keluar, terbantut untuk “berbicara”. Terasa bagaikan hendak muntah!

Pintu belakang kedai itu terbuka dan kelihatan di bahagian belakang kedai beberapa ekor kucing berkeliaran di tompok-tompok sampah mencari-cari sisa-sisa makanan. Rupa-rupanya dari sinilah punca datangnya kucing-kucing yang mengganggu pelanggan-pelanggan tatkala mereka menjamu selera.

Bau busuk longkang belakang menusuk-nusuk ke hidung! Alangkah terkejutnya saya apakala terlihat di tepi-tepi longkang kedai itu terdapat beberapa ekor tikus sebesar kucing menyelinap mencari-cari makanan tanpa takut dengan kehadiran saya mahupun kucing-kucing di situ.

Saya terus beredar ke bahagian depan restoran itu dan duduk. Seorang pembantu restoran datang membersihkan meja. Kain pembersih yang digunakan telah bertukar warna kepada kelabu kehitam-hitaman. Selepas dibersihkan, meja itu semakin bertambah berminyak, bukannya kering dan bersih.

Pekerja yang itu juga, apakala menerima pesanan pelanggan lain, tanpa membasuh tangannya, terus sahaja mengambil makanan yang telah siap dimasak dari dalam sebuah bekas dan memasukkannya ke dalam pinggan.

Makanan kering dipegangnya dengan tangannya sahaja, bukan dengan alat. Diambilnya camca dan garpu lalu dikesat-kesatnya dengan tangan dan ibu jarinya, diletakkan ke dalam pinggan itu, dan segera dihidangkannya.

Di restoran itu juga berbagai lauk-pauk diletakkan di atas meja secara terdedah. Ada pelanggan-pelanggan dengan teman/rakan-rakan masing-masing bercakap-cakap sambil tunduk memilih-milih lauk-lauk yang terhampar itu. Alangkah tercemarnya makanan tersebut dari pancutan air liur mereka!

Sesekali apakala pembantu restoran tertentu berlalu di sebelah saya, saya terpaksa menutup hidung kerana tidak tertahan bau busuk pakaiannya menusuk ke tengkorak saya.
Saya mula terasa amat mual. Tiba-tiba seorang pelanggan yang sedang makan di situ melambai-lambai tangannya kepada pembantu restoran di situ sambil berteriak dengan perasaan penuh kepuasan, “Hello, ini,” sambil menuding jarinya ke pinggannya, “tambah satu lagi!” “Baik tuan,” jawab pekerja itu, lantas menyediakan makanan yang dipinta tanpa membasuh tangannya terlebih dahulu. Sebentar tadi dia kelihatan mengangkut masuk barang-barang dari sebuah van.

Pengalaman di restoran-restoran di bandar kecil itu menyebabkan saya terasa berat hati untuk menerima pelawaan kawan itu. Tetapi akhirnya saya akur juga. Bagaimanapun saya merasa lega apabila mendapati restoran yang diperkenalkan oleh kawan saya itu tidaklah seperti yang pernah saya alami dahulu.

Ia menarik, bersih dan kakitangannya juga berdisiplin. Settingnya tidak begitu formal; hanya sekadar orang biasa tidak teragak-agak untuk bertandang.

Tetapi ia mampu dikunjungi eksekutif tinggi dan orang-orang kenamaan tanpa mencacatkan status mereka. Memang jarang benar terdapat restoran seperti ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...