Followers

Thursday, August 24, 2006

Usah kibarkan bendera lusuh

SEDIH sebenarnya setiap kali melihat Jalur Gemilang dikibarkan dalam keadaan lusuh warnanya, malah di sesetengah tempat ia koyak rabak.

Sudahlah cara ia dikibarkan tidak betul, lebih menyakitkan mata premis Jalur Gemilang itu dikibarkan sangat cantik dan bersih, dipendekkan kata, keadaan begitu berlawanan.
Ada pula di kalangan kita yang mengibarkan bendera pada Bulan Kemerdekaan, kemudian dibiarkannya dimakan hujan dan panas sehinggalah sambutan merdeka tahun hadapan.
Walaupun ada pejabat dan premis menetapkan individu tertentu menaik dan menurunkan bendera, tetapi bilangannya amat kecil sekali.

Sekadar pertanyaan di manakah semangat kita terhadap bendera negara kita sendiri?
Bendera Malaysia diisytiharkan sebagai Jalur Gemilang pada 30 Ogos 1997, pukul 11.58 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sejarah Jalur Gemilang bermula apabila akhbar The Malay Mail mengelolakan pendapat umum terhadap tiga reka bentuk yang terpilih di peringkat akhir pertandingan mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949.

Pada 28 November 1949, majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya Johor yang bernama Mohamad bin Hamzah.
Reka bentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 23 Februari 1950.

Pada 19 Mei 1950, kerajaan British telah meluluskan reka bentuk bendera tersebut, sama seperti Jalur Gemilang sekarang.

Cuma bezanya pada masa itu ia mempunyai 11 jalur merah putih.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan secara rasminya pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri oleh semua raja-raja Melayu dan wakil kerajaan British.

Itulah sejarah bermulanya Jalur Gemilang yang kita kibarkan pada hari ini.
Bendera berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara.

Pujangga pernah berkata, “bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Walau bagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian.”
Bagaimanapun sejauh mana kita menghargai bendera Jalur Gemilang sebagai suatu lambang kewujudan dan kedaulatan negara kita?

Sejauh mana pula pengetahuan dan sikap kita mengenai hak mengibarkan bendera, cara-cara mengibar, susunan pengibaran Jalur Gemilang dan juga cara menghormati bendera?
Ini kerana masih ramai yang teringat untuk mengibarkan Jalur Gemilang hanya apabila tiba musim Bulan Kemerdekaan sahaja.

Tiada usaha untuk mengibarkan bendera negara dan negeri pada hari-hari biasa selain sambutan kemerdekaan. Itupun setelah ditegur oleh pihak kerajaan.
Kebanyakan daripada kita sama ada di jabatan kerajaan, pihak swasta, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang perseorangan mengibarkan Jalur Gemilang di atas tiang sejak dari mula bendera itu dipasang sehingga bendera itu usang, reput dan lusuh.

Justeru tindakan perlu diambil oleh pihak yang berkuasa untuk mengeluarkan suatu garis panduan dan rujukan seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada jabatan kerajaan, pihak swasta, sekolah dan orang ramai sendiri bertujuan memberikan kefahaman dan penyeragaman pengibaran Jalur Gemilang.

Tujuannya adalah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik, perasaan bangga, menghormati, memuliakan serta cinta dan taat setia kepada negara.
Penghormatan kepada bendera kita seharusnya dijadikan iltizam setiap warganegara untuk mendaulatkan negara.

Walaupun mungkin ada yang berpendapat itu soal remeh, namun pandangan orang luar akan membuat tafsiran bahawa rakyat negara ini tidak ada semangat patriotik dan cinta terhadap negara.

Ini sedikit sebanyak mencalarkan imej negara.
Sekadar contoh, pujian harus diberikan kepada Hotel Naza Melaka kerana telah memperkenalkan inisiatif sendiri dalam kaedah mengibar dan menurunkan Jalur Gemilang.
Sudah menjadi rutin harian sejak beberapa tahun dahulu pekerjanya mengibarkan Jalur Gemilang pada waktu pagi dan menurunkannya tepat pukul 7 petang.

Penghormatan dan kaedah pengibaran Jalur Gemilang hotel ini sepatutnya menjadi contoh kepada premis perniagaan dan jabatan kerajaan.

Dalam pada itu, Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera dikibarkan dan diturunkan di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat biasa dan di sekolah-sekolah mengikut waktu bermula kelas
pertama dan menurunkannya selepas kelas terakhir tamat.

Namun arahan ini masih ramai yang tidak mematuhinya.

Eloklah dicadangkan waktu pengibaran Jalur Gemilang mengikut amalan tradisi dalam Angkatan Tentera Malaysia iaitu dikibarkan mulai pukul 7 pagi dan diturunkan pada pukul 7 petang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...