Followers

Tuesday, September 19, 2006

Puasa meningkatkan ketakwaan

PUASA yang dilaksanakan mengikut sunah Rasulullah s.a.w. boleh menatijahkan ketakwaan. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: Hai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung daripada ibadat puasa iaitu untuk mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika hendak mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa itulah yang mengawal hati daripada merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati.

Orang yang dihadapkan ayat-ayat al-Quran ini memang sedar betapa tingginya maqam takwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya dalam neraca Allah.
Takwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai takwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada takwa. Ayat ini mengangkat takwa di hadapan mata mereka selaku matlamat gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Justeru apakah itu takwa? Dinyatakan di sini pendapat para ulama mengenai erti dan maksud takwa.

Takwa menurut bahasa bermaksud takut atau memelihara. Ada pun pada istilah terdapat takrifan yang diberi oleh ulama, antaranya:

Saidina Ali berkata: Taqwa adalah takut kepada Tuhan al-Jalil, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, reda dengan sedikit dan bersedia untuk hari akhirat.
Al-Nasr Abazi berkata: Takwa adalah apabila seseorang memelihara selain daripada Allah.
Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari berkata: Takwa menjauhkan apa yang menjauhkan kamu daripada Allah.

Zu al-Nun al-Misri berkata: Orang yang bertakwa ialah siapa yang tidak mengotorkan zahirnya dengan sebarang pertentangan dan batinnya dengan sebarang alamat sedangkan dia berdiri bersama Allah dengan penuh kesepakatan.

Ibn ‘Ataillah berkata: Bagi takwa zahir dan batin, zahirnya dengan menjaga had dan batasan dan batinnya dengan niat dan ikhlas.
Talq bin Habib berkata: Takwa ialah amal dengan ketaatan kepada Allah atas cahaya Allah.
Abu Hafs berkata: Takwa adalah pada perkara halal semata-mata dan bukan yang lain.
Abu al-Husein al-Zanjani berkata: Siapa yang modal hartanya takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.

Al-Wasiti berkata: Takwa ialah seseorang yang memelihara daripada takwanya, iaitu daripada melihat ketakwaannya.
Seterusnya dibincangkan faktor yang mencapai ketakwaan. Dr. ‘Aid al-Qarni berkata, terdapat dua faktor dalam meraih ketakwaan:
Pertama, merasakan pengawasan daripada Allah Zat yang Maha Esa lagi Maha Tunggal.
Kedua, melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan segala bentuk ketaatan.

Akhirnya penulis ingin mengemukakan natijah takwa dan faedah dengan menukilkan pendapat Imam al-Ghazali berkenaan kelebihan orang yang bertaqwa berdasarkan kepada firman Allah, melalui kitabnya Minhaj al-Abidin.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 186:
Maksudnya: Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
Ayat ini menunjukkan bahawa bersabar dan bertakwa adalah tanda kekuatan azam.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 120:
Maksudnya: Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun.

Ayat ini menunjukkan bahawa dengan bersabar dan bertakwa seseorang itu akan terselamat daripada sebarang tipu daya dan mudarat.

Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 128:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertakwa diberi pertolongan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Talaq ayat 2 dan 3:
Maksudnya: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertakwa diberi dua kelebihan iaitu pelepasan dan rezeki.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 70 dan 71: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu.
Ayat ini menunjukkan dengan bertakwa dan bercakap benar, amalan seseorang akan dielokkan.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 76:
Maksudnya: Maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertakwa dikasihi oleh Allah.
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 27:
Maksudnya: Hanyasanya Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.
Ayat ini menunjukkan bahawa penerimaan amalan oleh Allah hanya terbatas kepada orang yang bertakwa.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13:
Maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi Tuhan.

Firman Allah dalam surah Yunus ayat 63 dan 64: Maksudnya: (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat.
Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang beriman dan bertakwa diberitakan dengan berita gembira di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam surah Maryam ayat 72:
Maksudnya: Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa.
Ayat ini menunjukkan bahawa janji Allah untuk menyelamatkan orang yang bertakwa.

Firman Allah dalam surah al-Lail ayat 17:
Maksudnya: Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa.
Ayat ini menunjukkan orang yang bertakwa memperoleh keselamatan daripada azab.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 133:
Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Ayat ini menunjukkan bahawa Allah menyediakan syurga bagi orang yang bertakwa. Semoga kita menjadi orang-orang yang benar-benar bertakwa melalui ibadat terutama melalui puasa pada bulan Ramadan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...