
"Saya melakukannya kerana minat. Tidak pula saya mahu lama dalam bidang ini, tetapi saya tahu ada sesuatu yang ingin saya perjuangkan. Itulah yang membawa saya untuk terus mengharungi dunia seni," imbas Ella.Ketika gejolak usia muda meronta, penyanyi yang menyambut ulang tahun kelahiran setiap 31 Julai itu, nekad memulakan langkah di bidang seni. Bersama The Boys, Ella melayarkan bakat hingga terhasil album pertama mereka pada 1986."Susah untuk meyakinkan emak dan ayah. Barangkali kerana masih muda ketika itu, mereka berat untuk melepaskan saya bergerak sebagai penyanyi. Bimbang barangkali kerana tanpa pegangan yang kuat, mudah hanyut dibawa arus glamour."Itu cabaran awal dan alhamdulillah, saya membuktikan kepada mereka dunia hiburan tidak pernah mengubah diri saya. Keikhlasan saya akhirnya hadir bersama restu ibu bapa. Saya berdiri teguh berkat doa mereka," katanya.Ella - A Journey Beyond adalah epilog paling bermakna yang merakamkan perjalanan seninya selama 20 tahun. Album kompilasi, satu penghormatan terhadap kerjaya seni yang bertapak seawal 1984.Sebagai wanita, Ella memiliki segala-galanya. Kemasyhuran, kecantikan, kesenangan - tiada apa yang kurang dalam dirinya. Namun, pada usia bakal mencecah 39 tahun, dia terus sendiri. Ella tidak sepi, walaupun tanpa lelaki bergelar suami. Anehnya Ella tetap tenang, tidak pernah melatah apabila persoalan mengenai jodoh diajukan. Tetapi orang di luar nampaknya lebih ingin mengetahui bila dia akan mengakhiri zaman gadisnya."Apa yang dapat saya katakan ialah saya tidak mampu meramal masa depan. Semua itu urusan Allah. Jadi, tidak perlulah gusar mengenai jodoh saya. Hal peribadi biar saya saja yang tahu," katanya.Ella bersyukur kerana ibunya begitu memahami. Dia tidak pernah mendesak, jauh sekali merungut. Urusan jodoh dia menyerahkan sepenuhnya kepada Ella untuk menentukan sendiri masa depan. "Tetapi, hati ibu mana yang tidak bimbang melihat anak gadisnya masih sendiri. Saya tahu, jauh di sudut hati, dia teringin melihat saya bersanding. Insya-Allah, tiba masanya saya akan mengakhiri zaman gadis."Tahu tak, saya sebenarnya begitu bersalah kerana kesibukan saya memaksa Jojie menunda tarikh perkahwinannya. Cukup bersalah," katanya mengenai kakak kesayangannya yang sudah menjadi tunangan kepada seorang ahli perniagaan.
Hari Ibu yang disambut 8 Mei lalu membuakkan rindu yang tebal dalam diri Ella terhadap ibunya. Tidak seperti tahun terdahulu, Ella dan adik beradiknya riang menyambut hari istimewa di sisi ibunya.Tetapi, Hari Ibu lalu dia sepi kerana ibunya berada jauh di perantauan. Sejak lebih sebulan lalu, emaknya berada di London kerana menziarahi kakak Ella yang menetap di kota Inggeris itu."Walaupun jauh setiap minggu saya pasti menghubunginya. Ada saja yang kami bualkan. Memang emak tidak minta apa-apa. Tetapi, sebagai anak saya begitu ingin menyediakan sesuatu yang istimewa untuknya."Saya sudah menyiapkan sebuah lukisan untuk dihadiahkan apabila dia pulang nanti. Sesuatu yang tidak pernah saya berikan kepadanya selama ini," kata Ella, memaklumkan dia sudah mula menyimpan koleksi lukisannya sendiri."Sekadar simpanan, tidak mungkin saya menjualnya. Malah, saya menyimpan impian untuk membuka sebuah galeri kelak. Bukan galeri besar, biasa-biasa saja demi memenuhi minat saya terhadap lukisan," katanya.Catatan menarik untuk Ella
Ella adalah dewi rock yang tak tertanding - Loloq.
Dia anak seni dan rakan seperjuangan yang tak tahu erti penat dalam industri ini. Semoga jasanya dihargai - Bandi (Amuk).
Biarpun ramai penyanyi yang ingin menjadi sepertinya, tiada siapa dapat menandingi Ella - Ziana Zain.
Namanya dalam senarai tak bisa dipadam lagi - M Nasir.

No comments:
Post a Comment