Followers

Friday, June 03, 2005

Haramkan iklan arak di pawagam, media

Saudara Pengarang,

BARU-BARU ini saya membawa anak saya yang bersekolah rendah tahun lima menyaksikan filem Star Wars episode III di KLCC, Kuala Lumpur.
Tidak selesa saya kerana beberapa iklan arak turut ditayangkan. Kenapa iklan arak dibenarkan sebelum penayangan filem Star Wars yang ditonton oleh ramai kanak-kanak?
Malaysia dianggap sebagai negara Islam, bahkan mempengerusikan OIC sekarang, tapi iklan arak dibenarkan sama ada di pawagam atau dalam akhbar. Sebaliknya iklan rokok sudah lama diharamkan.
Ini keadaan yang agak janggal kerana rokok, walaupun disahkan sebagai memudaratkan kesihatan, ia tidak haram seperti arak dari segi hukum.
Ada ulama yang cuba memfatwa rokok itu haram, tapi ada pula ulama lain yang menganggapnya sekadar makruh. Sebaliknya arak adalah larangan yang nyata dalam al-Quran.
Saya percaya para pelawat dari lain-lain negara Islam akan menyedari kejanggalan ini dan menyimpan tanda tanya.
Apakah alasan membenarkan iklan arak, tapi mengharamkan iklan rokok? Adakah kita mencontohi Barat yang telah mengharamkan iklan rokok, tetapi tidak iklan arak?
Barangkali, apabila negara-negara Barat mengharamkan iklan arak, kita juga akan terhegeh-hegeh mengambil langkah yang sama.
Dalam banyak hal, ternyata orang Asia sentiasa mengekori langkah Barat. Kita tiada jatidiri dan pendirian kukuh.
Kini Kementerian Kesihatan mahu memberi tumpuan pula kepada kempen anti arak. Tentulah langkah pertama yang patut dijalankan ialah mengharamkan iklan arak.
Pada pandangan saya, mengharamkan iklan arak di pawagam dan lain-lain media, adalah langkah yang lebih murni daripada memainkan lagu Negaraku di pawagam.
Tanyalah pendapat orang ramai, majoriti tidak menyokong lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan filem kerana pasti ramai yang tidak akan berdiri. Tetapi saya percaya majoriti menyokong iklan arak diharamkan.
Iklan-iklan arak di pawagam bertemakan gaya hidup yang amat memikat generasi muda.
Mereka yang minum arak digambarkan sebagai orang-orang yang berjaya dalam karier, lelaki macho yang menawan wanita, tangkas dan berselera terkini. Ini semua boleh mempengaruhi remaja, terutama kanak-kanak untuk mencuba minum arak.
Sesuai dengan laungan Islam Hadhari, tolonglah haramkan iklan arak. - SUKA TEH TARIK, Ampang, Selangor.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...