Followers

Friday, April 15, 2005

Cara Iran tangani penagihan dadah

Setelah sekian lama cuba menangani masalah penagihan dadah dengan pendekatan pemulihan, kini ada pendekatan harm reduction (pengurangan bahaya). Pendekatan yang agak baru bagi Malaysia ini telah lama digunakan di negara-negara lain.
Apa itu harm reduction? Secara mudah, ia merujuk kepada semua usaha untuk mengurangkan bahaya atau risiko. Dari segi ini, memakai tali pinggang keledar juga adalah satu bentuk pengurangan bahaya.
Pada 20 - 24 Mac lalu, berlangsung The 16th International Conference on the Reduction of Drug Related Harm di Belfast, Ireland Utara. Penulis berkesempatan menghadirinya dengan penajaan dari Majlis AIDS Malaysia. Persidangan ini disertai oleh hampir semua negara di dunia, termasuklah negara-negara Islam yang telah melaksanakan pendekatan ini. Salah satu negara yang dianggap berjaya ialah Iran.
Penglibatan Iran dalam pengurangan bahaya ini masih baru iaitu lebih kurang dua tahun, Walaupun begitu, kejayaan yang dicapainya amat memberangsangkan sehingga penganjur persidangan mengkhususkan satu sesi perbincangan untuk memperkatakan tentang pengalaman Iran dalam konsep pengurangan bahaya. Pada sesi tersebut, tujuh orang wakil Iran membentangkan pengalaman masing-masing.
Dengan jumlah penduduk seramai 68 juta orang, 3.7 juta daripadanya ialah penagih dadah dan 2.5 juta daripada jumlah itu merupakan penagih yang bermasalah. Mereka melaporkan bahawa kadar pertambahan penagih dadah di negara tersebut ialah lapan peratus setahun - tiga kali ganda lebih besar daripada kadar pertumbuhan penduduknya.
Menurut Mohsen Vazirian terdapat 9,800 kes HIV/AIDS di sana dan 95 peratus ialah lelaki. Kira-kira 51 peratus dari angka ini merupakan penagih dadah yang menyuntik dadah ke badan mereka. Namun, wakil Kementerian Kesihatan ini berpendapat angka sebenar penghidap HIV/AIDS di Iran ialah antara 30 - 40 ribu orang.
Pada tahun 1997 pindaan telah dilakukan terhadap Undang-Undang Kawalan Dadah di Iran dan natijahnya, para penagih yang sedang mendapatkan rawatan tidak lagi ditangkap. Ini telah mengurangkan bilangan banduan dalam penjara mereka. Pada tahun 2004, lebih daripada 120,000 orang penagih mendapatkan rawatan di klinik-klinik tetapi kebanyakannya mengamalkan pendekatan abstinent (menjauhi dadah). Namun, kaedah ini didapati tidak berkesan dan kerana itulah pendekatan pengurangan bahaya menjadi fokus mereka kini.
Mereka juga telah membuat kajian mengenai sikap masyarakat terhadap program ini. Kesannya didapati 45 peratus masyarakat umum merasakan program ini berkesan dalam menangani masalah dadah di negara tersebut. Kajian yang sama mendapati bahawa sikap masyarakat bergantung kepada tahap pendidikan mereka. Lebih tinggi ilmu seseorang itu, lebih positif sikapnya terhadap pengurangan bahaya.
Melalui Needle and Syringe Programme, jarum dan alat suntikan dibekalkan kepada penagih bagi mengelakkan mereka mengguna semula jarum serta bahan suntikan terpakai. Walaupun program ini menimbulkan banyak kontroversi - malah di negara bukan Islam pun - Iran tetap melaksanakannya dengan sokongan para ulama mereka.
Mereka juga ada Methadone Maintenance Programme. Dalam program ini, klinik-klinik khusus didirikan dan para penagih akan berkunjung ke klinik-klinik ini pada setiap hari untuk mendapatkan satu dos methadone secara oral. Dari sebuah klinik pada tahun 2002, kini mereka mempunyai 18 klinik seumpama ini dengan 2,500 orang `pesakit'.
Para pemimpin agama di Iran menerima dan menyokong pendekatan pengurangan bahaya ini. Bagi mereka, masalah penagih adalah masalah yang berkait dengan kesihatan. Maka, mereka serahkan kepada kebijaksanaan para doktor untuk `menyembuhkan' para penagih itu. Mereka berpegang kepada dua prinsip Islam iaitu `Jangan memudaratkan diri dan jangan memudaratkan orang lain' dan `Bertoleransi dengan darar kecil bagi mengelakkan darar yang lebih besar'.
Dalam kes penagih dadah, jika mereka telah memudaratkan diri, janganlah pula memudaratkan orang lain. Begitu juga, methadone dilihat sebagai darar kecil bagi mengelakkan darar yang lebih besar (virus HIV/AIDS).
Umum maklum bahawa bilangan penagih dadah di Malaysia juga begitu tinggi. Majoriti mereka juga mengambil dadah secara suntikan. Inilah yang menyumbang kepada sebahagian besar angka pesakit HIV/AIDS di negara kita. Apakah kita masih akan terus berharap kepada pendekatan pemulihan yang memakan belanja yang besar tetapi keberkesanan yang begitu kecil sekali? Atau kita mahu mengikut jejak langkah Iran dengan menggunakan pendekatan pengurangan bahaya dalam menangani masalah ini?
Pengalaman negara-negara yang melaksanakannya mendapati bahawa methodone lebih produktif. Bayangkan kesan pendekatan ini kepada produktiviti negara kita bila para penagih tidak perlu berkurung di Pusat Serenti atau di penjara. Bayangkan kesannya kepada kadar jenayah curi di negara ini. Bayangkan kesannya kepada bilangan penghuni penjara kita. Mungkin juga pendekatan ini akan dapat mengurangkan kos memulihkan seorang penagih yang sekarang ini memakan belanja lebih RM3,000 setahun

1 comment:

Anonymous said...

saya agak setuju dgn pendekatan terbaru ini...umumnya malaysia masih menggunakan pendekatan pemulihan sperti tough and rugged dikebanyakan pusat2 pemulihannya.cuma satu pendekatan terbaru sprti terapi kekeluargaan 'therapeutic community' telah digunakan di 5 buah pusat pemulihan di negara kita untuk tujuan melihat keberkesanan nya.sejauh mana keberkesananya ialah..agak baik berbanding cara lama.tapi ia masih mengeluarkan belanja yg bukan sedikit jumlahnya.jadi..adalah wajar bg saya pendekatan yg dilakukan di negara iran diadaptasikan di sini dgn lebih meluas..hehe jimat kos blanja dan berkesan sebagaimana yg telah negara iran buktikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...