Apabila membicarakan soal Islam Hadhari, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan sejauh mana penerimaan masyarakat Cina di negara ini. Islam Hadhari akan menemui kebuntuan sekiranya kita gagal menterjemahkan atau memberikan kefahaman mengenainya kepada orang bukan Islam khasnya masyarakat Cina.
Agama Islam bukanlah sesuatu yang baru kepada orang Cina. Kaitan antara agama Islam dan orang Cina amat rapat. Menurut Morris Rossabi, Islam telah sampai ke China beberapa dekad selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Begitu juga dengan pengaruh Islam yang dibawa oleh Cheng Ho sehingga kini masih bertapak dalam hati masyarakat Cina. Cheng Ho adalah seorang sida istana Dinasti Ming, juga seorang ahli pelayaran yang mahir dan panglima yang cekap. Menurut Victor Purcell, pelayarannya yang pertama adalah di Malaysia dan Indonesia dalam melebarkan lagi kekuasaan China ketika itu. Beliau dikatakan telah tiba di Melaka dalam tahun 1408.
Beliau juga dikenali sebagai Sam-po-Kong. Sehingga ke hari ini Cheng Ho masih disembah oleh kebanyakan masyarakat Cina. Di Penang, terdapat patung Sam-po-Kong yang diukirkan khas menjadi penyembahan masyarakat Cina. Ini bererti bahawa pengaruh Islam kepada masyarakat Cina telah lama bertapak. Malangnya, ketokohan Cheng Ho ini tidak diuar-uarkan oleh orang Islam sendiri.
Sebaliknya, pengkaji-pengkaji Cina bukan Islam lebih berminat membuat kajian tentang Cheng Ho tanpa mengaitkan sumbangan Islam yang telah dilakukannya.
Akibatnya, Islam tidak bertapak di hati masyarakat Cina. Persepsi mereka terhadap Islam juga tidak melihat dalam konteks suatu yang positif.
Dalam memahami masyarakat Cina, kita perlu mengetahui bahawa mereka adalah masyarakat yang bertamadun.
Tamadun mereka yang telah bertapak lebih daripada 4,000 tahun dahulu atau 2,000 Sebelum Masihi.
Pengaruh peradaban dan ketamadunan ini telah bertapak dalam hati masyarakat Cina sejak turun-temurun. Orang Cina memang bangga dengan tamadun mereka. Namun, walaupun China kaya dengan sejarah Islamnya, sehingga hari ini ia masih disalahfahamkan.
Sebab itu, kita dapati amat sukar untuk orang Cina menerima hakikat jika anaknya mengambil keputusan memeluk Islam berbanding memeluk agama lain. Menurut Lee Kam Hing dan Tan Chee-Beng, memeluk Islam bermakna telah dimelayukan, makna tiada lagi identiti kecinaan.
Inilah proses sosialisasi politik yang telah berlaku sekian lama dan agak kurang langkah diambil untuk memperbetulkan salah faham ini. Hasilnya, tidak sampai satu peratus orang Cina memeluk Islam di Malaysia. Yang jelas, prejudis pula semakin menebal.
Negatif
Lebih malang lagi, Islam selalu digambarkan dalam media massa sebagai agama yang negatif, mundur, menentang perubahan dan pemodenan. Memburukkan lagi keadaan dengan tindakan segelintir badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu Islam yang sengaja memutarbelitkan ajaran sehingga menyebabkan agama ini disalahfahamkan oleh bukan Islam.
Misalnya, isu serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke atas sebuah kelab malam di ibu negara. Adakah tindakan itu betul atau tidak? Kenapa ramai sangat yang menentang tindakan amar makruf nahi mungkar ini, sedangkan ia adalah isu semua agama?
Begitu juga isu samak yang tidak ditangani dengan betul. Peristiwa menyamak salah sebuah restoran di Kuala Lumpur dengan menggunakan air lumpur pekat adalah sesuatu yang amat merugikan dakwah dan imej Islam di negara kita. Sedangkan banyak pendekatan berhikmah boleh diambil dengan mengambil kira pandangan mazhab lain.
Pendek kata, apabila persepsi ini telah bertapak dalam sanubari masyarakat Cina, akhirnya sesuatu perkara yang baik dalam Islam yang ingin disampaikan kepada mereka - tidak kesampaian.
Masyarakat Cina tidak boleh disalahkan apabila timbul kekeliruan ini kerana di kalangan orang Islam sendiri, terlampau banyak kekeliruan yang didedahkan.
Dalam konteks politik, Pas secara terang menolak konsep Negara Islam dan Islam Hadhari yang diutarakan oleh UMNO. Keadaan ini memburukkan lagi imej Islam pada kaca mata orang Cina.
Islam manakah yang betul dan perlu diikuti?
Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Islam Hadhari bukanlah program untuk memujuk orang bukan Islam supaya menerima dasar tersebut. Ataupun mahu menunjukkan bahawa agama Islam lebih baik dan mesra, tetapi sebenarnya Islam adalah agama yang memang sesuai dengan peredaran zaman. Islam Hadhari adalah sebagai satu cara untuk kerajaan mentadbir negara demi kepentingan dan kebaikan masyarakat berbilang kaum.
Perlu ditegaskan bahawa 10 perkara Islam Hadhari bukan suatu perkara yang baru. Ini kerana semua nilai yang digariskan itu adalah prinsip umum yang terdapat dalam agama-agama lain juga. Oleh kerana masyarakat Cina percaya kepada ajaran Confucius, Buddha dan Toisme, maka pendekatan ini boleh digunakan dalam mengukur kepercayaan Cina terhadap agama mereka.
Pada keseluruhannya, kesemua perkara ini disentuh oleh Confucius dan Buddha. Ini bermakna bahawa prinsip-prinsip Islam Hadhari ini bukanlah suatu yang asing kepada masyarakat Cina. Tetapi penerangan perlu dibuat dalam memberikan kefahaman kepada mereka bahawa apa yang ingin dilaksanakan adalah nilai-nilai yang dikongsi bersama, bukan hanya terhad kepada orang Islam sahaja.
Berdasarkan soal selidik dan responden yang ditemui (dalam kajian penulis bagi penyelidikan peringkat Doktor Falsafah), kebanyakannya bersetuju bahawa 10 prinsip tersebut adalah nilai bersama dalam semua agama. Cuma sejauh manakah pelaksanaannya, itu yang masih dipertikaikan.
Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa 10 Prinsip Islam Hadhari relevan dan sesuai untuk semua golongan masyarakat dan bukannya untuk orang Islam sahaja bagi memacu kejayaan rakyat dan negara.
Beliau sendiri telah menerangkan kepada pimpinan MCA dan mereka tidak mempunyai masalah untuk menerima konsep tersebut.
Sejagat
Jelas, 10 perkara banyak diperkatakan oleh orang Cina apabila membincangkan soal tiga kuasa sejagat (sancai) iaitu: tian (syurga), di (bumi) dan ren (manusia). Ini bukan bermakna penulis hendak mengatakan kerajaan mengambil 10 prinsip ini daripada ajaran Confucius atau Buddha, tetapi apa yang ingin diketengahkan ialah nilai-nilai ini adalah nilai universal yang boleh dikongsi oleh segenap lapisan kaum di negara kita.
Dengan sebab itu, agenda atau program kerja Islam Hadhari sebenarnya bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi sasaran hendaklah sampai kepada orang bukan Islam terutamanya masyarakat Cina dalam mengubah persepsi mereka.
Mereka perlu disedarkan akan kepentingan hidup di bawah naungan Tuhan seperti yang banyak disebut oleh Confucius dan Buddha. Inilah hasil analisis soal selidik yang dijawab oleh responden. Islam Hadhari perlu menyedarkan mereka bahawa manusia perlu kembali kepada hidup beragama kerana itulah asas kejadiannya.
Ini bermakna segala perkara yang bertentangan dengan agama hendaklah didukungi secara bersama walaupun ia mungkin bertentangan dengan sistem demokrasi. Jangan biarkan demokrasi menghancurkan hidup beragama. Keruntuhan telah jelas berlaku dalam masyarakat Barat.
Justeru, sekiranya Islam Hadhari itu hendak juga dirujuk kepada istilah masyarakat madani yang juga merujuk kepada masyarakat bertamadun, maka mahu tidak mahu asas kasih sayang, saling hormat-menghormati, memang tidak boleh dielakkan. Justeru, umat Islam perlu menciptakan semula kegemilangan dengan mengetepikan fahaman politik.
Jika benar 10 prinsip Islam Hadhari mahu dilaksanakan berlandaskan kepada maqasid syariah, maka sudah tiba masanya umat Islam perlu mencipta kegemilangan tersebut. Kalau orang bukan Islam boleh menerima kesemua prinsip Islam Hadhari itu, kenapa kita sebagai umat Islam masih mempertikaikannya?
Mengambil kata-kata Prof. Khoo Kay Kim, yang mengatakan bahawa rata-rata masyarakat tidak faham konsep Islam Hadhari, apatah lagi orang bukan Islam. Sebab tidak ada penerangan bersungguh-sungguh yang dibuat. Orang bukan Islam hanya memahami beberapa perkara umum sahaja seperti tidak boleh minum arak, tidak boleh makan babi, sehingga perkataan babi pun takut digunakan dan digantikan dengan perkataan khinzir.
Bagaimanakah hendak melaksanakan Islam Hadhari, sekiranya orang bukan Islam tidak faham pengertiannya? Islam Hadhari hanya difahami dengan lebih lanjut setelah mereka sendiri mengikuti seminar yang dianjurkan oleh kerajaan dan NGO.
Kesempatan perlu digunakan sepenuhnya untuk mengubah persepsi ini melalui usaha-usaha serius yang perlu dipergiatkan terutama dalam media massa dan elektronik dalam pelbagai bahasa dan cara.
No comments:
Post a Comment