Followers

Friday, April 01, 2005

Kedudukan akhlak dalam pengukuhan budaya

SALAH satu prinsip ketamadunan ialah wujudnya keutuhan budaya serta ketinggian akhlak sebagai identiti bangsa dan negara. Dalam usaha meningkatkan kemajuan negara, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai akhlak yang kukuh, murni dan luhur.
Penghayatan nilai-nilai akhlak yang tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga menjadikan bangsa itu terhormat lagi disegani.
Sejarah mencatatkan kecemerlangan tamadun Andalusia kerana meletakkan prinsip-prinsip akhlak dalam setiap bidang kehidupan yang merangkumi perundangan, kesenian, sastera selain budaya serta ekonomi dan politik.
Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti, sekali gus menyumbang ke arah kebudayaan tinggi dan cemerlang.
Peradaban Islam telah mewariskan banyak peninggalan yang seharusnya dikagumi dan menjadikannya sebagai satu-satunya peradaban yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dengan demikian, kemajuan ekonomi dan teknologi akan berjalan seiring dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum.
Bagaimanapun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia kini merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari.
Membiarkan masalah moral bermaharajalela secara tidak langsung mendekatkan kepada kehancuran sesuatu umat.
Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Rom yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat kepincangan moral yang berjangkit dalam masyarakat.
Tidak berbeza dengan tamadun Barat hari ini yang meletakkan kepentingan kebendaan dan duniawi semata-mata sebagai arah tuju hidup.
Realiti ini telah menyedarkan mereka betapa penting agama dalam menyelesaikan masalah moral yang mereka alami.
Para ulama berpendapat bahawa akhlak luhur itu merupakan pokok kepada segala kebaikan hidup di dunia dan akhirat, sebagaimana terangkum dalam doa Nabi s.a.w: Ya Allah, perbaiki agamaku yang menjadi pelindung urusanku, perbaiki duniaku yang menjadi tempat hidupku dan perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tempatku untuk memperbanyakkan kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai tempatku beristirehat daripada segala keburukan.
Al-Quran dan hadis juga meletakkan akhlak luhur sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan seperti bersikap lemah lembut, penyayang dan pemaaf.
Di samping itu, sunnah juga membawa saranan agar kita mengawal emosi, nafsu, serta memaafkan sesiapa sahaja tidak kira dalam apa jua situasi termasuk susah atau senang.
Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh al-Quran: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh. (Al-A'raf ayat 199).
Akhlak Islam adalah akhlak yang komprehensif; mencakupi akhlak ilmiah, individu, keluarga, sosial, politik dan ekonomi.
Akhlak ilmiah bermaksud tunduk kepada kebenaran, berlaku adil kepada orang lain, membebaskan diri daripada taklid dan unsur fanatik serta mencari hikmah di mana sahaja yang boleh didapati.
Akhlak individu pula merangkumi sifat malu dan rendah diri, menghargai masa serta sabar dalam pelbagai cubaan.
Tetapi akhlak keluarga lebih bersifat kecintaan antara suami dan isteri, saling memahami, kasih sayang kepada anak-anak, berbakti kepada orang tua dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Akhlak sosial dapat dijelaskan melalui pengamalan sifat-sifat jujur, amanah, adil dan ihsan. Akhlak politik pula lebih menjurus kepada menyampaikan kebenaran kepada penguasa yang zalim, musyawarah, menghormati pendapat kawan dan lawan, melindungi hak-hak manusia, bersikap toleransi terhadap pihak-pihak yang berbeza pendapat dan menghidupkan roh jihad dalam mempertahankan kemuliaan umat.
Sementara itu, dalam membicarakan akhlak ekonomi, manusia seharusnya memakmurkan bumi, menghidup dan menyuburkan tanah-tanah gersang, melibatkan diri dalam bidang pertanian dan perniagaan, menghindari riba, tidak bermewah-mewah, serakah mengumpulkan harta atau melakukan pengkhianatan.
Sangat jelas bahawa akhlak Islam itu mencakupi seluruh kehidupan.
Akhlak dalam Islam lebih bersifat sejagat kerana tidak terbatas kepada individu Islam sahaja tanpa melibatkan golongan bukan Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...