Followers

Monday, February 21, 2005

Penyakit Kelamin Berjangkit

PENYAKIT kelamin (sexual transmitted disease, STD) boleh dijangkiti tanpa mengira usia tua atau muda jika melakukan hubungan seks dengan pembawa. Ini kerana ia adalah penyakit yang dijangkiti melalui hubungan seks. Terdapat lebih 14 jenis penyakit yang boleh disenaraikan sebagai STD dan antaranya ialah gonorea, sifilis, herpes, hepatitis B, trikomoniasis dan HIV/Aids.
Ejen yang menyebabkan penyakit STD boleh terdiri daripada berbagai kuman iaitu bakteria, fungus, parasit dan virus. Kuman bakteria misalnya, boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti gonorea, sifilis, klamidia dan chankroid manakala fungus mengakibatkan jangkitan kandidiasis (kulat). Sementara, kuman parasit menyebabkan jangkitan trikomoniasis, kudis buta (scabies) dan kutu alat kelamin (pubic lice). Virus pula boleh menjadi punca jangkitan herpes, kondiloma (ketuat), hepatitis B serta HIV. Pakar Perubatan Keluarga, Prof Madya Dr Kwa Siew Kim, berkata sesiapa pun boleh mendapat penyakit STD, sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan, homoseksual atau heteroseksual. Malah, mereka yang masih belum berkahwin atau yang sudah berumahtangga juga boleh mendapat jangkitan penyakit itu. Beliau berkata, di antara tanda penyakit STD yang biasa ialah lelehan daripada alat kelamin, ulser (kudis) pada alat kelamin, bengkak celah kelengkang dan sakit pada ari-ari atau sewaktu kencing. Bagi kalangan wanita, di antara tanda yang lazim didapati ialah gatal di dalam faraj, kesakitan semasa hubungan seks, dan pendarahan di luar ketika haid. “Setiap penyakit STD berbeza begitu juga tanda seseorang pesakit dengan lain pesakit adalah berbeza-beza. Bagaimanapun, kebanyakan STD terutama yang dihidapi di kalangan wanita, tiada tanda (silent) seperti gonorea dan klamidia. “Kedua-dua jangkitan penyakit itu boleh merebak sehingga pada organ reproduktif dalaman (pelvic inflammatory disease). Akibatnya, organ rahim dan saluran tiub fallopio akan terlekat (adhesions) dan ini akan menjejaskan kesuburan wanita. Keadaan ini juga bahaya kerana boleh menyebabkan berlaku kandungan di luar rahim (ectopic pregnancy),” kata Dr Kwa ketika memberi ceramah kesihatan mengenai penyakit kelamin dan HIV anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dr Kwa berkata, lelaki juga mungkin tidak menunjukkan tanda bagi sesetengah penyakit STD misalnya, jika menghidap jangkitan parasit trikomonas dijangkiti akibat menggunakan tuala lembap atau ketika membersihkan kemaluan di dalam tandas yang terpercik air kotor. “Walaupun mungkin tidak berasa sakit, penyakit itu perlu dirawat kerana lelaki terbabit akan merebak jangkitan itu kepada pasangan seks tanpa menyedarinya. Bagi wanita, jangkitan parasit trikomonas boleh menyebabkan lelehan cecair pada faraj dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan seperti bau ikan masin busuk,” katanya. Menerangkan penyakit sifilis beliau berkata, penyakit ini disebabkan oleh sejenis kuman iaitu Treponema Pallidum. Lazimnya, kuman itu dijangkiti melalui hubungan seks ataupun daripada ibu hamil kepada janin dikandungnya. Kuman itu boleh memasuki tubuh seseorang melalui faraj, mulut, dubur atau luka pada kulit. Jika tidak dirawat, penyakit itu boleh merebak ke organ lain seperti otak dan jantung, seterusnya kerosakan disebabkan kuman sifilis pada tahap terbabit tidak boleh dipulihkan. “Bagi primary sifilis, penghidap akan mendapat ulser atau luka yang tidak berasa sakit. Pada waktu penetasan bakteria antara dua hingga enam minggu, wanita sukar hendak tahu kehadiran penyakit itu kerana bakteria berkenaan berada dalam kemaluan. Berbanding lelaki, lebih senang untuk mengetahuinya kerana dia biasanya akan berasa sakit apabila ingin membuang air. “Apabila mencapai secondary sifflis, keadaan lebih teruk dan pada tahap ini, wujud ruam di kulit yang berwarna merah atau samar-samar, kulit menggelupas tetapi tidak menyebabkan gatal. Ia juga termasuk ruam yang wujud pada tapak tangan dan kaki. Pada tahap seterusnya, ada kelenjar yang bengkak dan pesakit kadangkala terasa tidak sedap badan kerana demam, sakit badan, letih dan kurang selera makan. Di bahagian badan yang lembap seperti dubur atau faraj, mungkin ada ketumbuhan seperti ketuat yang leper,” katanya. Beliau berkata, sifilis kongenital (jangkitan daripada ibu kepada bayi) ketika hamil jika tidak dirawat boleh menyebabkan bayi terkena penyakit sifilis ketika dilahirkan. Bayi mungkin dilahirkan pra matang ataupun meninggal dunia sewaktu masih di dalam rahim. Selain itu, bayi boleh mengalami kecacatan pada otak, mata dan tulang. Dr Kwa berkata, bukan semua STD berpunca daripada hubungan seksual. Jika seseorang ada penyakit kencing manis dia mungkin ada jangkitan seperti kandidiasis kerana daya pencegahan badannya telah kurang (reduced immunity). Begitu juga pesakit yang telah mengambil banyak antibiotic kerana kuman badan biasa dimusnahkan dan diganti dengan kuman "fungus". “Sesiapa saja yang mengesyaki dirinya menghidapi STD perlu mendapat pemeriksaan dan rawatan. Rawatan perlu juga diberi kepada pasangan. Semua STD kecuali jangkitan virus saperti HIV boleh disembuhkan. Rawatan awal dan sempurna boleh mencegah terjadinya komplikasi,” katanya. STD jika tidak dirawat dengan sempurna, katanya boleh mengakibatkan kemandulan bagi wanita dan juga juga lelaki serta boleh berlaku keguguran dan kandungan luar rahim di kalangan wanita yang hamil di samping, boleh membawa kematian. “Lebih malang, STD juga menjadi jangkitan kepada bayi yang menyebabkan kecacatan. Selain itu, STD memudahkan terjadinya jangkitan HIV (sehingga empat kali ganda). Jangkitan STD lain akan menyebabkan lapisan mukosa pada organ kemaluan mengalami kerosakan dan ini memudahkan virus HIV memasuki atau keluar,” katanya.

2 comments:

Anonymous said...

hey dude,can i print ur article???please,i have 2 do my school project....

Alan said...

sure

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...