Followers

Friday, February 25, 2005

Hak personal umat Islam

Islam memberi kebebasan kepada penganut lain mengamalkan ajaran agama mereka walaupun terdapat ketidakadilan dalam agama tersebut. Umat Islam tidak ada hak menghalang penganut agama tersebut daripada melakukan sesuatu amalan yang bertentangan dengan fitrah manusia atau mengambil tindakan terhadap penganut agama yang melanggar ajaran mereka.
Malaysia ialah sebuah negara yang bebas di mana kerajaan dan umat Islam tidak menunjukkan sikap campur tangan dalam hal ehwal keagamaan masyarakat bukan Islam. Masyarakat bukan Islam bebas menghayati dan bertindak berdasarkan ajaran mereka. Konsep kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islam adalah lengkap dan tidak perlu dipertikaikan oleh umat Islam dan bukan Islam.
Masalah utama yang menyebabkan golongan tertentu di negara ini kurang berpuas hati dengan undang-undang yang berkaitan dengan peribadi umat Islam ialah kurang kefahaman mengenai konsep hidup kemasyarakatan dalam Islam.
Apabila Islam memberi kebebasan kepada masyarakat bukan Islam melaksanakan undang-undang agama mereka tanpa sebarang campur tangan daripada pemerintah Islam, ini menunjukkan bahawa hal ehwal perundangan peribadi umat Islam adalah dalam bidang kuasa umat Islam. Tidak ada seorang pun individu atau organisasi bukan Islam boleh mencampuri urusan peribadi umat Islam.
Setiap agama mempunyai undang-undang peribadi yang berbeza. Masyarakat yang mempunyai pelbagai agama dan tradisi perlu menghormati undang-undang peribadi masyarakat lain walaupun pada realitinya terdapat unsur-unsur tidak perikemanusiaan dalam ajaran tersebut.
Umat Islam tidak perlu ghairah mempertonjolkan sikap terlalu terbuka dalam hal ehwal undang-undang peribadi orang Islam. Mereka perlu memahami bahawa konsep persaudaraan Islam memberi hak kepada institusi Islam mengambil tindakan terhadap dosa peribadi orang Islam.
Islam juga meminta umat Islam mengawasi setiap tingkah laku individu Islam supaya setiap individu itu berada dalam jiwa keislaman dan bertingkah laku menurut syariah Islam. Tindakan institusi agama dan juga sikap prihatin umat Islam terhadap individu seagama dalam soal peribadi merupakan salah satu cara untuk membentuk satu masyarakat Islam yang ideal dan bermaruah.
Ia bukan merupakan satu penyeksaan dan penghinaan apabila undang-undang peribadi dilaksanakan ke atas setiap individu Islam yang melanggar peraturan syariah yang berkaitan dengan dosa peribadi.
Konsep hidup umat Islam yang lengkap merangkumi hal ehwal keduniaan dan ukhrawi perlu dijadikan asas kehidupan orang Islam. Tindakan undang-undang peribadi dilaksanakan ke atas individu Islam bertujuan untuk menyelamatkan setiap individu daripada diseksa di hari akhirat.
Konsep kefahaman terhadap syurga dan neraka bagi setiap masyarakat beragama di dunia ini adalah berbeza. Jika penganut agama Hindu menyatakan Sungai Gangga itu adalah suci di mana berjuta umat Hindu mandi di sungai tersebut dengan tujuan untuk membersihkan dosa, maka pakar perubatan dunia tidak ada hak untuk melarang dan bertindak terhadap penganut agama Hindu kerana apa yang dilakukan oleh mereka merupakan ajaran agama.
Begitu juga dengan undang-undang peribadi yang dilaksanakan oleh Islam. Dosa-dosa peribadi mempunyai perundangan tertentu yang hanya khusus dilaksanakan ke atas umat Islam.
Umat Islam diberi garis panduan mengenai hukum-hakam peribadi dan seumpamanya. Campur tangan penganut agama lain atau institusi bukan Islam dalam hal ehwal perundangan peribadi Islam boleh disamakan dengan penentangan terhadap Islam. Ini disebabkan agama Islam mengharamkan kerajaan Islam dan umat Islam mencampuri perundangan peribadi umat bukan Islam.
Proses globalisasi yang melanda dunia hari ini memainkan peranan penting dalam penghapusan identiti beragama masyarakat dunia. Kegiatan ini boleh disamakan dengan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama seperti yang disarankan.
Umat Islam perlu sedar bahwa penubuhan suruhanjaya ini bukan sahaja boleh menghapuskan identiti agama di kalangan masyarakat Islam, malah ia juga merupakan proses penghapusan agama. Kegiatan ini begitu aktif di seluruh dunia dan percubaan untuk penghapusan agama tersebut sudah mula bertapak dalam negara ini.
Pergerakan ini menumpukan perhatian utama kepada agama Islam di mana mereka telah berjaya membentuk ahli-ahlinya di kalangan umat Islam yang berfikiran cetek terhadap ajaran Islam. Mereka tidak berani menonjolkan diri secara terang-terangan di negara Islam.
Oleh itu ejen-ejen mereka yang beragama Islam memainkan peranan yang penting bagi membangkitkan jiwa membenci agama dengan pelbagai kegiatan yang berbentuk ilmiah, tetapi hakikatnya mereka terdiri daripada orang yang tidak pernah terdedah kepada pengajaran ilmu wahyu dan disiplin ilmu Islam.
Umat Islam di negara ini perlu sedar dan meneliti setiap perubahan dan kegiatan pergerakan ini. Pihak gereja di Rom telah lama maklumi perkara ini dan mereka begitu gigih memperkukuhkan ajaran agama mereka dengan cara memperkukuhkan kerohanian keagamaan di kalangan ahli gereja dan penganutnya.
Mereka cuba bekerjasama dengan umat Islam membina jiwa beragama dalam diri masyarakat dunia. Universiti Vatican dan pusat latihan paderi menjemput profesor Islam yang pakar dalam ilmu sufi mengajar paderi-paderi dan pelajar-pelajar mereka mengenai ilmu sufi Islam.
Oleh itu umat Islam perlu perkukuhkan keperibadian dan jiwa Islam supaya virus perosak agama tidak dapat telus dalam jiwa umat Islam. Umat Islam perlu memberi sokongan moral terhadap institusi agama dalam melaksanakan perundangan peribadi.
Kakitangan institusi agama mesti lebih aktif dalam menyebarkan hukum-hakam Islam di kalangan umat. Mereka juga perlu berhemah dalam melaksanakan tugas keagamaan kerana kesilapan mereka boleh menimbulkan rasa kurang hormat orang awam terhadap institusi agama.
Masyarakat awam perlu memberi teguran yang membina terhadap kesilapan yang dilakukan oleh institusi agama. Sikap begini bukan sahaja boleh memperkukuhkan institusi agama, malah ia juga merupakan simbol kekuatan umat Islam dalam membentuk keperibadian dan personaliti ummah yang ideal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...