BOLA sepak Malaysia merudum ke lubuk paling dalam dengan kekalahan 1-4 kepada Indonesia dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin dan buat seketika, peminat mungkin hilang kepercayaan terhadap keupayaan pemain negara.Siapa sangka – di gelanggang sendiri dengan sokongan lebih 70,000 penyokong setia dan bekalan semangat hasil kemenangan 2-1 di Jakarta seminggu lalu, pemain negara terkulai dengan empat gol dalam tempoh setengah jam, memadam terus impian yang dicanang untuk beraksi di pentas final buat kali pertama sejak 1996.Pelbagai persoalan timbul sebaik wisel penamat ditiup pengadil untuk Indonesia menang dengan agregat 5-3 tetapi mudah bagi kita tanpa dipengaruhi emosi, membuat kesimpulan masih ada yang tidak kena dengan skuad yang dilatih jurulatih Hungary, Bertalan Bicskei (gambar) ini.Satu aspek paling ketara dan turut menjadi persoalan kepada Bicskei ialah kelemahan mental yang masih ada pada pemain iaitu sikap mudah hilang semangat apabila lawan menjaringkan gol dan mendahului kedudukan, biarpun pemain pernah berdepan situasi itu ketika bertemu Thailand dan Indonesia di Jakarta tempoh hari.Biarpun ketika rakyat negara ini berharap dan yakin Malaysia mampu bangkit semula dengan perwatakan yang ditunjukkan sebelum ini sesudah Indonesia merapat, menyama dan mendahului agregat gol, malangnya pemain sendiri memilih untuk mengalah pada situasi itu.“Saya malu kepada diri saya dan pasukan ini juga harus berasa malu dengan diri sendiri terhadap apa yang berlaku malam ini (kelmarin). Saya tidak mengerti mengapa kita harus mengalah selepas mendahului dan akhirnya tewas dengan jurang yang besar kerana tidak pernah melihatnya sepanjang karier saya.“Sikap ini tiada sewaktu di Jakarta dan memanglah kita tewas malam ini tetapi sikap dan mentaliti seperti ini sukar diubah. Saya hanya mampu mengucapkan tahniah kepada pasukan lawan yang bermain lebih baik dan menang malam ini,” kata Bicskei merumuskan apa yang tersirat di sebalik wajah suramnya pada sidang media selepas perlawanan.Namun yang jelas di atas padang, jurulatih Indonesia Peter Withe dilihat lebih bijak mencatur strategi selepas anak buahnya gagal bertindak mencari gol sebaik tamat babak pertama.Kemasukan penyerang veteran, Kurniawan Dwi Yulianto untuk membantu Ilham Jaya Kesuma dan Boas Salossa, serta menukar corak hantaran pendek kepada hantaran jauh untuk dimanfaatkan pemain yang masih bertenaga untuk mengejar bola, memberi ganjaran besar buat Indonesia ketika tahap kecergasan pemain negara mula kendur.Seperti kata Withe, dia terpaksa melakukan rombakan yang dapat memberikan jaringan ketika itu dan kehadiran tiga penyerang serentak mungkin menjadi strategi terbaik, berbeza dengan Bicskei yang bertindak mengeluarkan penyerang yang mengalami kecederaan, Liew Kit Kong dan memasukkan pemain pertahanan Nor Fazly Alias untuk mempertahankan kedudukan yang tampak semakin rapuh.Buat seketika, pasti ramai peminat tidak dapat memaafkan Bicskei kerana bertindak menggugurkan penjaring terbanyak Liga Super Malaysia (MSL), Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar selepas kehilangan Akmal Rizal Rakhli dan terbaru V Saravanan dalam senarai penyerang negara.Luka hati peminat pasti mengambil masa panjang untuk sembuh, lebih-lebih lagi selepas mereka disogok dengan harapan dan impian menggunung untuk mengakhiri penantian cukup lama menggenggam kejuaraan besar di pentas antarabangsa.Apapun, pemain kebangsaan mampu menagih semula simpati, mengubat kekecewaan itu dan menarik semula kepercayaan peminat dalam perlawanan merebut tempat ketiga bertemu Myanmar di Stadium Nasional Singapura, 16 Januari ini. Tetapi sekali lagi, pilihan di tangan Bicskei dan anak buahnya.
No comments:
Post a Comment