Followers

Wednesday, January 05, 2005

Kami masih harap sokongan penonton: Syamsuri

“MAAF...kami sudah memberikan yang terbaik tetapi Indonesia ternyata lebih hebat dan tidak terlintas langsung untuk kami menipu penyokong yang bersusah payah memberi sokongan,” kata penjaga gol negara, Syamsuri Mustafa.Penjaga gol yang dibolosi empat kali dalam tempoh 30 minit di separuh akhir kedua bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin, menegaskan semua pemain negara sudah berhempas pulas mengekang asakan lawan dan masih berkeyakinan untuk mengekalkan rentak permainan seperti biasa.Namun, katanya, sebaik Indonesia mendapat jaringan kedua yang mengikat kedudukan agregat, pemain negara mula cemas kerana lawan ‘kian berhantu’ dan mengasak bertali arus sehingga sukar dikekang.Malaysia yang mencipta kejutan ke atas Indonesia 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno di Senayan, tewas 1-4 dan terpaksa berpuas hati untuk merebut tempat ketiga dan keempat bertemu Myanmar, dalam perlawanan di Stadium Nasional Singapura, 16 Januari ini.“Semua pemain turut sedih dengan kekalahan ini. Tetapi percayalah, kami sudah mencuba sebaik mungkin dan adalah tidak adil untuk membuat tuduhan kami menipu penyokong,” katanya.Syamsuri berkata, kemenangan menjadi matlamat utama anak buah Bertalan Bicskei setiap kali turun ke gelanggang dan mana-mana pasukan sekali pun tidak mahu menyerah kalah dalam satu perlawanan selepas berbulan-bulan menjalani latihan.Sambil tetap berterima kasih dengan sokongan padu yang diberikan lebih 70,000 penonton kelmarin, Syamsuri berkata skuad kebangsaan ketika ini tetap mengharapkan sokongan, lebih-lebih lagi kerana mereka masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan berbanding pencapaian barisan 2002 yang sekadar menduduki tempat keempat.“Pada awal kejohanan ini, tidak ramai yang datang ke stadium kerana tidak yakin skuad ini akan dapat melepasi peringkat kumpulan. Tetapi kami membuktikannya dengan melangkah ke separuh akhir. Kami juga berupaya bermain dengan baik dan dapat menewaskan Thailand dan Indonesia di gelanggang keramat mereka. “Tidakkah itu satu perkembangan menggalakkan? Mengapa kami dikecam sebegini teruk dan dituduh dengan pelbagai gelaran yang tidak enak didengar dan dibaca di akhbar,” kata Syamsuri yang menjadi penjaga gol simpanan di belakang Azmin Azram Aziz ketika kempen Piala Tiger 2002.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...