Followers

Thursday, January 06, 2005

Kebaya Nyonya kontemporari

Satu ketika dulu, fesyen kebaya Nyonya seakan dilupakan masyarakat yang lebih cenderung menggayakan busana tradisional diberi nafas baru khususnya kebaya moden. Namun, apabila isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Endon Mahmood tampil dengan buku mengenai genre fesyen berkenaan tiga tahun lalu, kebaya Nyonya kembali mendapat tempat dalam masyarakat.
Bagi menyemarakkan pemakaian genre berkenaan pada zaman moden ini stesen televisyen unggul negara, TV3, menganjurkan promosi Nyonya Kebaya Splendour merangkumi pelbagai acara termasuk makan malam amal dan pameran selain pembabitan beberapa pereka fesyen tempatan yang menghasilkan rekaan berilhamkan kebaya Nyonya. Antaranya, pereka fesyen kian meningkat naik, Nazleen Noor. Beliau yang dianggap barisan pereka fesyen generasi muda tempatan, menghasilkan rekaan kebaya Nyonya yang diberi nafas baru sesuai untuk pemakaian kasual. Apa yang menarik, beliau bukan sekadar menampilkan rekaan berkenaan khusus untuk pertunjukan fesyen, bahkan mengaplikasinya dalam pemakaian harian dengan rekaan lebih segar dan santai. "Kebaya Nyonya sering dianggap hanya sesuai untuk digayakan pada majlis rasmi lebih-lebih lagi jika dihiasi beberapa elemen seperti kerawang dan corak yang sarat menghiasi rekaan berkenaan. Jadi, bagi menarik lebih ramai generasi muda hari ini untuk bergaya dengan busana berkenaan saya menghasilkan rekaan lebih praktikal. "Hitam dan putih menjadi tema himpunan kebaya Nyonya saya ini. Setiap rekaan kebaya diperbuat daripada fabrik polos hitam atau putih supaya boleh digayakan sama ada dengan sarung, skirt, seluar mahupun celana kain," katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Selain sering dianggap warna selamat untuk tampil bergaya tanpa mengira majlis, hitam dan putih juga boleh dipadan suaikan dengan pelbagai warna ataupun genre fesyen lain seperti seluar jeans dan skirt khakis. Mungkin ada yang menganggap kaedah padan suai itu merosakkan keaslian busana tradisional, tetapi perlu diingat setiap fesyen itu sendiri melalui proses evolusi selama beratus-ratus tahun dengan gabungan ilham pelbagai kebudayaan untuk disesuaikan dengan cita rasa masa kini. Malah, bagi himpunan berkenaan Nazleen turut mengambil ilham rekaan busana negara lain seperti Oriental dan juga kimono supaya rekaan yang dihasilkan tampak lebih pelbagai dan menarik. "Jika menghasilkan rekaan, kebanyakan pereka lebih suka berkarya dengan idea kreatif dan tidak terhad dengan rekaan asal. Jadi, untuk himpunan ini saya tambahkan dengan pelbagai elemen lain seperti lengan kimono dan kolar Mandarin. "Bagaimanapun, saya pastikan potongan yang dihasilkan tidak lari daripada rekaan asas kebaya Nyonya supaya tidak menjejaskan ciri tradisionalnya. Selain itu, untuk motif pada sarung saya gunakan corak bunga besar bagi membangkitkan seri," katanya. Sebagai hiasan, Nazleen turut tampil dengan aksesori yang direka sendiri. Diperbuat daripada dawai dan batu permata berharga yang menampilkan warna pastel, aksesori berkenaan sesuai digayakan dengan rekaan kasual rekaannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...