Followers

Friday, January 28, 2005

Budi bahasa cermin peradaban bangsa

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita perlu disambut dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Bermula dari kempen, ia perlu dibudayakan secara berterusan dan seterusnya dijadikan sebagai warisan yang hidup kembali malah seharusnya menjadi darah daging masyarakat kita.
Selanjutnya, pertuturan yang penuh budi bahasa perlu disambut dan dibalas dengan budi bahasa juga. Sebaliknya, jangan memperleceh atau menganggap orang yang berbudi bahasa itu kecil dan lemah.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berbicara dengan baik atau diam.
Tidak mengendah atau memandang kecil pada mereka yang menegur dengan sopan demi menjaga air muka dan nama baik, hanya menjelaskan ketidakmatangan dan sikap yang kurang bijaksana. Dan ini berlaku lazimnya apabila keangkuhan telah menguasai diri. Rentetan itu, akan terbitlah di hati, ibarat menyiram air di daun keladi.
Perlu diingat bahawa di sebalik tutur kata yang manis dan sopan serta budi bahasa yang lemah lembut, orang Melayu sangat mementingkan harga diri.

Walaupun perahu sedang berlayar;

Dilanda ombak karam terbalik;

Walaupun Melayu terbilang sabar;

Apabila diinjak, pitamnya naik.

Maka, sebelum `pitam anak Melayu naik,' maka sahutlah budi bahasa dengan adab dan sopan-santun, dan bukan itu sahaja ia perlu diterima dengan akal budi yang tinggi.
Meminjam puisi Usman Awang (1988), yang dirakamkan oleh Lim Swee Tin dalam kertas kerja beliau semasa seminar di Melaka lebih seminggu lalu, yang antara lain mengungkap, Melayu itu maknanya bijaksana; Jika menipu pun bersopan; Kurang ajarnya tetap santun; Dajalnya cukup selamba; Budi bahasa jangan dikira; Beraninya cukup benar; Tunduk bila bersalah; Lembutnya cukup jantan; Berkelahi cara Melayu; Menikam dengan pantun; Menyanggah dengan senyum; Marahnya dalam tertawa; Merendah bukan menyembah; Meninggi bukan melonjak.
Begitu unik dan istimewa bangsa ini sekalipun ketika bertarung, mereka masih boleh berpantun walaupun dalam bentuk yang sungguh sinikal.
Budi bahasa juga cerminan budaya. Budi bahasa yang indah mencerminkan kebudayaan yang indah yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Budaya diterbitkan oleh kebijaksanaan, maka budaya sesuatu bangsa melambangkan sebahagian daripada peradaban bangsa. Lantas budi bahasa orang Melayu telah mewakili peradaban orang Melayu, yang sifatnya sangat indah. Bukan sahaja untuk dilihat malah untuk kita semua menjadi sebahagian daripadanya.
Budi bahasa mempunyai peranan yang sangat penting dalam memelihara tamadun bangsa yang dibina. Mungkin ada benarnya bila ada yang berpendapat bahawa kempen ini menunjukkan tanda peradaban yang mula goyah. Ribut taufan dan gempa bumi adalah faktor yang menghancurkan peradaban dari aspek fizikalnya, namun bangsa yang jiwanya penuh peradaban mampu membina semula kehancuran ini. Akan tetapi apabila satu-satu bangsa sudah tidak memiliki elemen ini, maka kehancuran sesuatu peradaban akan berlaku sehingga ke akar umbi.
Dalam Musnad Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, beliau meriwayat ``Sesungguhnya aku hanya diutus untuk menyempurnakan budi pekerti yang luhur.'' Dan ini menunjukkan bahawa Islam sangat mementingkan budi bahasa sebagai antara elemen yang menyempurnakan Islam seseorang selain dari aspek akidah dan syariahnya
.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...