Followers

Tuesday, December 21, 2004

Kenyataan Aman Malaysia mengutuk serangan kejam tentera Israel

Tindakan tentera Israel bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah sudah lama jauh keterlaluan, merupakan jenayah perang berterusan dan penghapusan etnik terancang yang mewujudkan krisis kemanusiaan (humanitarian crisis).
Mereka telah banyak kali mengulangi serangan seumpamanya selain merobohkan kediaman di kem pelarian dan perkampungan rakyat Palestin di bawah dasar rahsia penghapusan etnik oleh Israel.
Siri serangan, tindakan meroboh kediaman, pembunuhan pemimpin pejuang Palestin, rancangan bunuh Presiden Yaser Arafat dan rampasan tanah penduduk adalah penjajahan mereka untuk menguasai seluruh Palestin.
Sehubungan itu, AMAN Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Britain untuk memaksa Israel menghentikan penghapusan etnik itu kerana dua kuasa besar dunia itulah yang menjadi penaja utama pendudukan kuasa Israel di Palestin sejak 15 Mei 1948.
Israel secara berterusan mencabul hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan dalam Konvensyen Geneva dan konflik di Palestin itu menjadi punca utama pelbagai gerakan balas ganas kumpulan tertentu ke atas Israel dan kepentingan negara penajanya di seluruh dunia.
Selama tiga tahun gerakan Intifada yang melibatkan perletakan senjata pejuang Palestin, lebih 10,000 rakyat Palestin tidak berumah. Banyak kanak-kanak, wanita dan orang tua mati, cedera dan cacat akibat tindakan ketenteraan Israel.
Justeru gerakan rakyat Malaysia ini menggesa Israel menghentikan segera segala bentuk kezaliman, kekejaman, keganasan dan jenayah perangnya ke atas penduduk Palestin, sama ada yang beragama Islam mahupun Kristian.
AMAN Malaysia dengan ini menyeru seluruh masyarakat antarabangsa bangkit mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memaksa Israel menghentikan kezaliman dan tindakan ketenteraannya terhadap Palestin.
AMAN Malaysia kini memperkukuh jalinan dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di seluruh dunia untuk menggembleng gerakan sivil antarabangsa menentang dan menghentikan punca keganasan dunia oleh pentadbiran Israel.
DATO’ ZULKIFLI MOHD ALWI Penyelaras AMAN Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...