Followers

Tuesday, December 21, 2004

Hentikan tohmaan melulu

Kuala Lumpur -- Kerajaan Thailand didesak berhenti membuat kenyataan mendakwa sebahagian militan Islam di selatan negara itu mendapat latihan ketenteraan di Malaysia jika tidak mempunyai bukti kukuh bagi menyokong tuduhan berkenaan, kata Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir.
Tegas beliau Pemuda mahu kerajaan Thailand berhenti membuat kenyataan tidak berasas itu kerana ia mampu menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Kenyataan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra bahawa kegiatan militan ini dilakukan tanpa pengetahuan dan sokongan kerajaan Malaysia menggambarkan seolah-olah kita tidak tahu apa yang berlaku di negara sendiri.
“Pemuda UMNO ingin menegaskan bahawa Malaysia sentiasa mengawasi keselamatan dalam negeri dan tidak mungkin membenarkan sebarang kegiatan melatih militan bertujuan menjejaskan keamanan negara jiran”, katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Kata beliau lagi jika Thailand ada bukti, serahkan kepada Malaysia, supaya tindakan dapat diambil.
“Pemuda UMNO juga kecewa dengan berita bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Thailand dalam laporan siasatan tragedi Tak Bai tidak mengesyorkan apa-apa tindakan undang-undang diambil terhadap pegawai kerajaan yang terbabit secara langsung dalam tragedi itu.
“Masalah di selatan Thailand dapat diselesaikan jika wujud keikhlasan pada kedua-dua pihak yang bersengketa untuk duduk semeja mengadakan rundingan”, ujarnya.
Justeru, beliau mengesyorkan kerajaan Thailand berlaku adil bagi membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa pihak bertanggungjawab menyebabkan kematian 87 penunjuk perasaan di Tak Bai dikenakan tindakan sewajarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...