Walaupun jalan di kawasan tanah sawah padi itu tidak sama seperti highway ke Ipoh atau ke Karak, atau ke Seremban, tetapi selalu juga kemalangan berlaku di situ. Kereta yang dipandu laju mudah terbabas kerana jalannya berhenjut-henjut, sebab dibina di atas tanah gambut. Manakala penunggang basikal atau motosikal tidak dapat mengelak sekiranya berselisih dengan kereta sebab tidak ada ruang di tepi jalan.
Di jalan itulah Sahar Dobok disondol kereta semasa pulang dari kedai pada suatu malam. Dia terhumban ke batu tanda di tepi jalan manakala basikalnya remuk. Kereta yang melanggarnya terus memecut lari. Sahar Dobok meninggal dunia di situ juga.
Walaupun abangnya, Jalit Bucu melilau ketika itu, tetapi Wak Tamin menyabarkan dia. "Jangan ikut perasaan Jalit," nasihat Wak Tamin. "Fasal kita selama ini sikit-sikit pukul orang, sekarang siapa pun tak berani nak berhenti, tak berani nak tolong," katanya macam menyesali sikap penduduk-penduduk kampung yang suka bertindak sendiri sehingga tidak mengikut saluran undang-undang. "Adik aku dah kena," rungut Jalit Jalit Bucu mengertap bibir.
"Betullah adik kau dah kena, tapi kita mesti selamatkan dia dulu, bukan nak tunjuk gila," kata Wak Tamin. "Kalau dapat aku bunuh dia!" gerutu Jalit Bucu tidak dapat menahan sabar. "Kau jangan jadi bodoh," ujar Wak Tamin mengingatkan dia. "Orang tu tak dapat lari ke mana, nombor keretanya aku dah ambil," jelasnya, tetapi tidak menunjukkan nombor yang dicatatkannya itu kepada Jalit Bucu.
Orang-orang tua yang sama menyerbu ke situ semuanya menyabarkan Jalit Bucu. Tetapi anak-anak muda yang sebaya dengan Jalit Bucu pula mengapi-apikannya. Masing-masing mendesak Jalit Bucu supaya jangan belas kasihan kepada pemandu kereta berkenaan. Mereka sanggup membantu Jalit Bucu kalau tenaga mereka diperlukan. Sebab itu ayah Jalit Bucu berdiri di tengah-tengah mereka mengibas-ngibaskan parang. Pak Regoh berdiri di situ mencabar mereka yang mengapi-apikan Jalit Bucu sejak berlakunya kemalangan tadi.
"Siapa biji mata yang garang sangat?" jerkah Pak Regoh menggenggam erat hulu parangnya. "Sabar Regoh, sabar kau..." Wak Tamin memujuknya. "Ini budak-budak ni," katanya keras. "Bukan dia orang nak tengok budak yang kena langgar, masing-masing nak tunjuk garang," ujarnya menyesali sikap anak-anak muda yang mengapi-apikan Jalit Bucu.
"Sahar dah kena langgar pun ayah nak marahkan kami semua, bukannya marahkan drebar kereta laknat tu," Jalit Bucu mempertahankan diri. "Kau diam!" bentak Pak Regoh memarahi anaknya. "Apa untungnya kau nak bunuh orang?" katanya bertambah geram. Siapa pun tak berani lagi menyanggah cakap Pak Regoh. Mungkin perbuatan anak-anak muda sebelum ini yang cepat naik darah menyebabkan pemandu kereta tidak berani berhenti untuk menolong mangsanya kerana takut kena pukul.
Pernah seorang pemuda Melayu menumpang kereta lelaki Cina, terlanggar budak sekolah perempuan. Budak itu tidaklah cedera sangat. Bagaimanapun pemuda Melayu itu menyuruh Cina kawannya itu lari kerana orang-orang kampung sudah datang menyerbu. Pada sangkaannya, disebabkan dia orang Melayu dan hanya menumpang kereta Cina berkenaan, tentulah orang-orang kampung tidak akan mengapa-apakan dia. Tetapi orang-orang kampung tidak menghiraukan niat baik pemuda Melayu yang hendak menyelamatkan budak perempuan yang luka lututnya itu. Mereka terus memukul dan menumbuk, melepaskan geram kepada pemuda tersebut. Mujurlah Wak Regoh dan Wak Tamin cepat sampai. Pemuda itu segera dibawa ke hospital oleh Pak Regoh.
Sekarang apa yang dibimbangkan oleh Pak Regoh itu berlaku ke atas dirinya. Kalaulah orang-orang kampung tidak bertindak liar, mungkin pemandu kereta itu boleh membawa anaknya, Sahar Dobok ke hospital. Tetapi perbuatan anak-anak muda di kampungnya telah menyusahkan orang lain. Sebab itulah dia berang bila Jalit Bucu melilau tidak keruan. "Seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit!" gerutu Pak Regoh lagi. "Kau orang yang tunjuk samseng, habis satu kampung orang tuduh samseng. Ayam kena gelek pun nak mengamuk!" katanya menggertap bibir.
"Sudahlah Regoh, sabarlah..." pujuk Wak Tamin sambil memerhatikan Sahar Dobok yang sudah kaku di atas jalan. Ketika itu jam sudah 9.00 malam. Tidak lama kemudian polis sampai ke situ bersama dengan pemandu kereta yang lari tadi. Pemandu kereta itu sendiri datang menemui Pak Regoh. Dia menerangkan, dia terlanggar basikal Sahar Dobok kerana tidak perasan disebabkan basikal itu tidak berlampu dan berjalan bersaing-saing dengan Wak Tamin. Bagaimanapun dia berjanji akan membayar semua perbelanjaan pengkebumian anaknya itu. Mayat Sahar Dobok kemudiannya dibawa ke hospital, tetapi dibenarkan dibawa balik dengan tidak payah dilakukan bedah siasat. Malam itu, pemandu kereta itu menghulurkan RM200.00 kepada Pak Regoh untuk belanja pengkebumian.
Pada tengah malam selepas Sahar Dobok dikebumikan, orang-orang kampung terdengar bunyi jeritan nyaring dari tempat Sahar Dobok kena langgar. Jeritan itu sungguh menggerunkan. Sejak itu, tiap-tiap malam orang terdengar jeritan nyaring di situ. Dua tiga malam selepas itu, sebuah kereta terbabas dan terhumban ke parit ketika melalui tempat kemalangan itu berlaku. Mujurlah orang-orang di dalamnya tidak mengalami kecederaan. Pemandu kereta berkenaan memberitahu penduduk kampung, dia ternampak seorang lelaki berdiri di atas batu tanda jalan. Kemudian, tiba-tiba sahaja dia meluru ke hadapan kereta, menyebabkan dia segera menekan brek dan keretanya langsung tercampak ke parit.
Besok malamnya, sebuah lori berisi kelapa sawit pula terhumban ke dalam parit. Kalendan lori itu patah kaki kerana tercampak ke tepi jalan. Mujurlah dia tidak ditimpa oleh lori berkenaan. Cerita pemandu lori itu juga sama dengan cerita pemandu kereta sebelumnya, iaitu ternampak seorang pemuda berambut panjang duduk di atas batu tanda di tepi jalan. Sebaik-baik sahaja lori hampir, pemuda itu tiba-tiba sahaja menerpa ke hadapan lori, menyebabkan pemandu lori menekan brek dan lori itu terhumban ke parit. Budak-budak yang balik mengaji Quran di surau pun menjadi takut apabila melintasi batu tanda di tepi jalan itu. Mereka pernah melihat seorang pemuda duduk mencangkung di atas batu jalan dengan kepalanya menangkup ke lutut. Tetapi apabila mereka suluh dengan lampu picit, lembaga itu melayang dan hilang, menyebabkan budak-budak itu terjerit ketakutan dan ada yang demam. Akibatnya, budak-budak berkenaan mulai takut mengaji Quran ke surau. Terpaksalah Haji Burhan yang mengajar mengaji menukar jadual mengaji Quran pada sebelah petang.
Pak Regoh rasa bertanggungjawab untuk mengatasi masalah itu. Lagipun, ada penduduk kampung menuduh Sahar Dobok anaknya sudah menjadi hantu kerana hendak membalas dendam sebab dia mati dilanggar kereta. Sudah masuk sepuluh malam kejadian itu berlaku dan sudah empat buah kereta dan lori terbabas akibat gangguan lembaga berkenaan. Pak Regoh mengajak Wak Tamin menyiasat, siapakah yang sebenarnya dilihat orang tercangkung di atas batu jalan berkenaan.
Mereka berdua mengendap di dalam rumpun padi berhampiran batu tanda jalan itu. Hampir satu jam setengah Pak Regoh dan Wak Tamin mengendap, mereka terdengar bunyi orang mengayuh basikal di bawah cahaya bulan terang-terang membalam. Tiba-tiba, bunyi kereta memecut kencang dengan lampu menyilau menuju ke arah batu tanda jalan. Sekali gus terdengar bunyi berdentum seperti kereta melanggar basikal. Kemudian satu jeritan nyaring seperti orang kesakitan jelas menusuk-nusuk perasaan Pak Regoh dan Wak Tamin.
"Aduhhh, aduhhh, aduhhh..." suara itu langsing memecah kesunyian malam. Tetapi mereka yang mengendap di balik rumpum padi tidak nampak sesiapa pun di situ. Tiba-tiba sahaja lampu kereta itu padam sebaik sampai ke batu tanda.
"Aduhhh, aduhh..." suara itu berulang-ulang. Setelah lama suara itu menjerit, kawasan di sekitarnya diserkup kabus memutih. Apabila kabus menghilang, barulah Pak Regoh dan Wak Tamin nampak seorang pemuda bertenggong di atas batu tanda jalan. Dia mengeliat-ngeliat sambil menjerit kesakitan. "Huss, apa kau buat di sini?" jerkah Pak Regoh lantas melompat keluar dari tempat persembunyiannya. Belum sempat Pak Regoh mendekati batu tanda, lembaga itu sudah menghilang ke dalam kabus. Bertambah hairan Pak Regoh melihat kejadian tersebut. Dia dan Wak Tamin balik ke rumah pada malam itu dengan perasaan hampa.
Tidak lama kemudian, suara jeritan nyaring itu kedengaran lagi memecah kesunyian malam. Apa yang dilihatnya dengan Wak Tamin diceritakan oleh Pak Regoh kepada Haji Burhan. Hairan juga Haji Burhan mendengar cerita itu kerana tidak mungkin jelmaan Sahar Dobok boleh bertenggek di situ. "Saya tak tahu nak buat macam mana," beritahu Haji Burhan secara ikhlas.
"Tak taulah kalau Wak Tamin boleh halau jelmaan tu jauh dari sini," katanya sambil memandang Wak Tamin. Wak Tamin hanya menggelengkan kepala. Masuk hari ke-15 dua buah lagi kereta terbabas hanya selang satu jam sahaja. Pemandunya tidaklah cedera parah, tetapi memberitahu dia terlihat seorang lelaki yang bertenggek di atas batu tanda jalan menerpa ke arah keretanya, menyebabkan dia menekan brek dan keretanya terhumban ke dalam parit.
"Kita panggillah Wak Aji di Sungai Besar," cadang Wak Tamin selepas kejadian itu. Dia teringatkan Wak Aji, kawannya yang dikenalinya sebagai dukun. "Terpulanglah kepada Wak Tamin nak buat macam mana pun," ujar Haji Burhan. Dia tidak sanggup lagi membiarkan kejadian seperti itu terus berlaku kerana jelmaan itu sudah benar-benar mengganggu.
"Cubalah Wak Tamin panggilkan," ujar Pak Regoh pula. "Mudah-mudahan tidaklah kampung kita ni kacau-bilau," keluhnya perlahan. Esoknya, Wak Tamin ke Sungai Besar mencari Wak Aji. Bagaimanapun Wak Aji ke Lumut hari itu. Wak Tamin hanya berpesan melalui isteri Wak Aji mengenai hal mustahak di Tanjung Karang. Dia berharap Wak Aji akan datang ke rumahnya jika balik dari Lumut. Hampir dua minggu selepas Wak Tamin ke Sungai Besar, Wak Aji tidak juga muncul.
Dalam tempoh itu juga sudah enam buah kereta, sebuah van dan sebuah lori terhumban ke dalam parit. Bagi mengelakkan kemalangan berterusan, JKR memasang lampu kuning supaya kereta dipandu perlahan di kawasan tersebut. Bagaimanapun, berlaku juga kemalangan selepas itu. Pemandu kenderaan mendakwa, mereka tidak nampak lampu kuning di situ. Lagipun jalan itu dipenuhi kabus tebal, kata mereka. "Macam mana ni Wak Tamin?" Tanya Pak Regoh.
"Tak taulah saya nak buat macam mana... entahlah, mengapa pula Wak Aji tu tak datang?" keluhnya sambil menghela nafas panjang. Masuk minggu ketiga, Wak Aji tidak juga muncul-muncul. Pak Regoh dan Wak Tamin semakin gelisah kerana sebuah lagi kereta terbabas berpunca daripada perkara yang sama. "Kalau begitu, malam ini kita berkumpul di surau. Kita baca Yassin 41 kali," cadang Haji Burhan setelah Wak Aji tidak juga muncul-muncul.
Cadangan Haji Burhan itu dipersetujui oleh Pak Regoh, Wak Tamin dan penduduk kampung. Pada malamnya, mereka berkumpul di surau membaca Yassin khaifiat 41 kali dengsan diketuai oleh Haji Burhan. Malam itu mereka menunggu sehingga jam 11.00 malam, tetapi tidak terdengar jeritan sampai ke subuh. Tetapi jeritan itu kembali melangsing pada malam berikutnya, apabila mereka tidak lagi berkumpul membaca Yassin.
"Nampaknya, kita kena baca Yassin tiap-tiap malam, sampai tak ada lagi bunyi suara menjerit tu," cadang Haji Burhan kepada penduduk kampung. Mereka semua sanggup berkumpul di surau untuk membaca Yassin 41 kali. Pada hari mereka berbincang hendak membaca Yassin itulah Wak Aji, saya dan Usup Martala sampai di rumah Wak Tamin. Lepas Asar baru Wak Tamin balik ke rumah.
Terlalu riang dia apabila mendapati Wak Aji sudah datang. Wak Aji pun menceritakan sebab-sebab dia lambat datang. Wak Tamin segera menyuruh anaknya memberitahu Pak Regoh dan Haji Burhan bahawa Wak Aji akan datang ke surau waktu Maghrib. Bacaan Yassin 41 kali itu diteruskan juga selepas menunaikan fardu Maghrib. Kami dipelawa makan malam di rumah Haji Burhan.
Kira-kira jam 10.00 malam, Wak Aji pun menepuk paha saya. "Ustaz, bolehlah cuba-cuba, nampaknya orang di sini berhajatkan Ustaz," katanya tersengih-sengih sambil mengerling Wak Tamin. "Iyalah Ustaz, ini hajat..." kata Wak Tamin tersenyum. "Silalah Wak Aji," saya menolak kepada Wak Aji semula. "Tak apalah, sama-samalah kita sampaikan hajat orang-orang di sini," ujar Wak Aji lalu mengajak saya mengambil wuduk. Serba-salah juga saya bila didesak oleh Wak Aji. "Kita pergi ke jalan?" tanya Pak Regoh bila melihat saya dan Wak Aji kembali selepas mengambil wuduk. "Tak apa, kita buat dari sini dulu," jelas Wak Aji.
Dia mula berdoa memohon pertolongan Allah supaya dihindarkan dari mala petaka yang mengganggu penduduk kampung. Kemudian barulah dia mengajak beberapa orang penduduk kampung mengikutnya pergi ke jalan berkenaan. Manakala yang lain disuruh sahaja menunggu di rumah Haji Burhan. Kawasan kejadian rupanya berdekatan dengan rumah Haji Burhan.
Jam 11.00 malam, kami sampai ke tempat kejadian. Saya lihat Wak Aji sudah mula membaca doa berhampiran dengan batu tanda. Ketika inilah kedengaran bunyi basikal dikayuh orang datang menuju ke arah batu tanda. "Kurung saja..." bisik Wak Aji kepada saya. Saya mengangguk. Setelah dikurung barulah Wak Aji akan menyoal apa tujuan syaitan itu mengganggu penduduk-penduduk di situ. Kalau tidak dikurung dan disoal, tentulah dia akan datang lagi mengganggu.
Selepas bunyi basikal dikayuh orang sudah dekat, kelihatanlah silau lampu kereta dari jauh meluru laju ke situ. Kemudian terdengar bunyi perlanggaran diikuti oleh bunyi jeritan nyaring. "Innahu min Sulaiman wa innahu Bismillahir rahmanir rahim," saya terdengar Wak Aji membaca ayat berkenaan berulang-ulang kali. Kebetulan pula ketika itu tidak ada sebuahpun kenderaan lalu di situ. Maka senanglah Wak Aji menghadapi syaitan berkenaan.
Wak Tamin, Haji Burhan dan Pak Regoh sentiasa mendekati Wak Aji kerana ingin tahu siapakah sebenarnya yang mengganggu itu. Apabila Wak Aji sudah membaca doa, saya pula membacakan, "sum mum buk mum um mum fahum layarji'un, sum mum buk mum um mum fahum laya'kilun..."
Kabus tebal tidak turun, kecuali satu lembaga tercangkung di atas batu tanda jalan. Rambutnya panjang memutih seperti perempuan tua. Dia tidak dapat melompat seolah-olah kakinya sudah melekat pada batu tanda jalan itu.
"Lepaskan aku, lepaskan aku..." rintihnya terketar-ketar. "Baru kau tau ye!" jerkah Wak Aji garang. "Hah, selama ini, inilah kerja kau," Wak Aji membentak memarahi dia. "Ampunlah, tolonglah lepaskan aku," perempuan tua itu merayu-rayu. Suaranya jauh ke dalam kerengkung seperti bergaung bertali-tali. "Aku tak mau lepaskan selagi kau tak beritahu apa tujuan kau ke sini!" tegas Wak Aji.
"Aku malu pada Ustaz tu, dia dah tahu aku," sahut perempuan tua itu menggigil-gigil. Pak Regoh menjadi hairan kerana menyangka itu adalah jelmaan anaknya Sahar Dobok. Perlahan-lahan dia berbisik ke telinga saya, "Apa yang Ustaz tahu mengenai dia?" Saya tersengih-sengih. "Syaitan memang begitu, dia sengaja babitkan nama kita, fasal nak berdalih," saya memberitahunya.
Wak Aji kemudian menyerang lembaga itu dengan ayat Kursi, sampai terjerit-jerit perempuan tua itu minta dilepaskan. "Aku mesti hukum kau kerana berani buat kerja terkutuk ini," kata Wak Aji tidak menghiraukan rintihan perempuan tua itu. Akhirnya dia terbakar hangus akibat diserang dengan Ayat Kursi oleh Wak Aji tidak putus-putus. Kira-kira jam 12.30 malam baru semuanya selesai.
Pada masa itu juga ada sebuah dua kereta melalui tempat itu, tetapi mungkin tidak menyedari apa yang berlaku. Kami balik malam itu juga.
Wak Aji mengingatkan saya supaya tidak memberitahu apakah kejadian sebenarnya kepada Pak Regoh, Wak Tamin dan Haji Burhan. Ketika orang ramai kelam kabut melihat Sahar Dobok ditimpa kemalangan, ada seorang pemuda di situ telah mengambil darah Sahar Dobok. Dia membawa darah berkenaan kepada seorang dukun perempuan untuk tujuan tertentu. Tetapi pada malam Wak Aji datang itu, dia sudah menangkap 'suruhan' dukun perempuan itu.
Sebulan selepas itu, Usup Martala mendengar cerita daripada Wak Tamin bahawa seorang dukun perempuan mati terbakar dalam rumahnya pada malam Wak Aji berada di kampung itu. Seorang pemuda yang cuba menyelamatkannya juga meninggal dunia tiga minggu kemudian.
No comments:
Post a Comment