Followers

Monday, October 13, 2014

MENJADI DADO BENTONG - MEMOIR PAK SAKO


Catatan ini adalah antara satu bab didalam buku Memoir Pak Sako, terbitan tahun 1996. Memoir ini asalnya adalah tulisan Allahyarham Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) sendiri didalam Mingguan Malaysia pada tahun 1976.

Bandar Bentong, dari dahulu hinggalah sekarang pada hakikatnya ialah China Town, kerana sebilangan besar penduduknya ialah orang cina. Kaum cina telah datang ke daerah itu beramai ramai kerana disana ada banyak bijih timah dan luas kawasannya serta subur tanahnya untuk ditanam dengan getah. Saya ditukarkan ke Bentong kerana menggantikan seorang Pegawai Melayu yang bercuti panjang. Namanya Ibrahim., gelarannya Ibrahim Ah Chong, sebab rupanya macam cina. Beliau bercuti tiga bulan, balik ke Perak.

Pegawai Daerah Bentong, pada masa itu orang dari Perak juga, Raja Kamaruzzaman namanya. Tetapi lebih dikenali dengan gelaran Tengku Kem sahaja. Tengku Kem ialah seorang pegawai melayu MCS yang sangat baik, seorang anak raja yang betul betul berjiwa rakyat. Saya mudah sesuai dengannya dan telah mendapat banyak panduan serta petua bekerja daripadanya.

Lombong biji timah yang besar di Bentong pada masa itu ialah disekitar Pekan Ketari, simpang jalan hala ke Kuala Lumpur. Kini semua sudah habis bijihnya dan tinggallah kebanyakkan kawasan itu menjadiu tanah belukar, semak samun berbencah bencah.

Dibanding dengan masyarakat cinba, masyarakat melayu di Bentong amat kecil. Tetapi pada masa dahulu masayarakat melayu amat kuat perpaduannya. Dan daripada mereka itu telah timbul satu dua orang tokoh perjuangan kebangsaan melayu yang handal dan terkenal.

Seorang daripadanya ialah Encik Muhammad bin Baginda Besar, lebih terkenal dengan gelaran Encik Mat Tiga B. Anak lelaki Encik Mat bernama Encik Abdul Malik.


Di bandar Bentong dahulunya ada sebuah persatuan Melayu, Sri Persatuan Melayu Bentong namanya, yang banyak jasa memberikan banyak khidmat kepada kaum melayu di sana. Tetapi apakah persatuan itu masih wujud, saya tidak tahu.

Penduduk Melayu Bentong kebanyakkannya berasal dari Jambi atau Kerinchi, Sumatera dan sedikit sedikit dari Minangkabay. Kampung Ketari ialah kampung melayu yang terbesar di Bentong. Sebilangan besar orang orang melayu Bentong sudah berpindah ke Lembah Bilut, tanah rancangan FELDA dan juga ke dalam, iaitu Kampung Lebu, Ulu Kelau dan lain lain.

Saya telah telah ditukarkan ke Bentong, yang sebenarnya naik pangkat sedikit iaitu jadi Pemangku Timbalan Penolong Pegawai Daerah (DADO) atau Acting Deputy Assistant District Officer. Kawan kawan saya di Temerloh sangat hairan, kerana saya dua kali hendak dibuang kerja boleh naik pangkat ? Demikianlah mereka itu tertanya tanya.

Tengku Kem, Ketua dan Penasihat saya suka mengajak saya melawat ke kawasan kawasan tanah di sepanjang jalan hala ke Kuala Lumpur, menunjukkan kepada saya tanah tanah yang baru diluluskan, baru ditanam dan baru ditebang.

Biasanya beliau mengajak saya melawat pada hari Sabtu. Tetapi apabila sampai agak jauh, di Batu Enam atau Tujuh, beliau akan berkata: "Saya hendak ke Kuala Lumpur, awak tinggallah, jangan keluar dari daerah".

Ketika itu bagaimana kecewanya hati saya kerana tidak dapat pergi ke Kuala Lumpur pada malam minggu, sebab saya juga orang muda.

Pada suatu hari, iaitu hari Sabtu, sesudah membaca senarai kerja, pada hari isnin lusanya, maka pagi pagi lagi saya telah cabut ke Kuala Lumpur tanpa memberitahu Raja Kamaruzzaman, Pegawai Daerah Bentong, Ketua saya masa itu.

Mengikut peraturan dan displin pegawai pegawai kerajaan maka saya memanglah telah melakukan satukesalahan besar, iaitu meninggalkan daerah tanpa kebenaran, dan perbuatan itu bererti saya adalah pegawai yang tidak bertanggungjawab.

Akan tetapi niat saya tidask jahat. Perbuatan saya itu hanyalah satu bentuk bantahan kecil, iaitu protes halus bahawa saya juga patut diberikan hak untuk pergi ke Kuala Lumpur. Di bandar Bentong, tidak ada apa apa hiburan. Di Sri Persekutuan Melayu permainan yang ada hanya loto sahaja. Memanglah di sana suasana biasanya riuh, selalu ada gelak ketawa, ada gurau senda tetapi jarang jarang boleh bersua dengan seorang Melayu yang boleh bercakap berkenaan masalah tanah air, kaum bangsa atau tegasnya, masalah politik.

Berbalik kisah saya ke Kuala Lumpur, maka pada pagi hari isnin, lusanya baliklah saya ke Bentong, tetapi saya tidak terus ke pejabat. Sebaliknya saya pergi berjumpa dengan pegawai perubatan, Dr Vytilingam namanya.

Dr Vytilingam tersenyum senyum melihat saya. Mungkin beliau sudah tahu saya mahu minta cuti satu hari.

"Selamat pagi, Tuan Doktor. Saya mahu cuti Medical Leave, satu hari," kata saya.

"Apa sakit ?" tanya Dr Vytilinga.

"Tidak sakit apa apa tuan, tapi saya tidak cukup tidur sudah dua malam, saya makan angin pergi Kuala Lumpur, tuan".

"Ada bikin apa apa boleh dapat sakit punya ? Kalau ada saya boleh bagi satu enjection"

"Tidak bikin apa apa tuan. Saya pergi tengok wayang, tengok bangsawan, makan makan, pergi dansa dan jumpa kawan kawan sahaja, tuan."

"O.K, satu hari sahaja cukup, ya ?" Kata Dr Vytilingam terus senyum senyum.

Apabila dapat surat cuti, saya terus balik ke rumah saya, sebuah banglo besar di puncak bukit, dan sepanjang hari Isnin saya tidur cukup cukup.

Begitulah mudah dan indahnya hidup pada masa itu. Doktor yang bertugas cukup mengerti masalah pegawai muda dan juga masalah orang kampung, kaum buruh dan sebagainya.

Kerana perkhidmatannya yang cemerlang Dr Vytilingamtelah dikurnia pangkat JP, dan setelah bersara beliau membuka klinik sendiri di bandar itu yang sangat popular kepada orang ramai.

Pada pagi Selasa, apabila saya bekerja, Tengku Kem saya lihat berkerut kerut dahinya. Tetapi beliau tidak marah teranbg terang kepada saya.

"Hari Isin semalam cukup banyak kerja, dan mike tidak ada pulak di pejabat," katanya mengadukan hal hal pejabat. Nampaknya mike balas dendam ye," katanya lagi sambil tersenyum.

Raja Kamaruzzaman seperti yang sudah saya katakan, adalah seorang yang baik hatinya. Sesiapa yang pernah bekerja dibawah tangannya akan menyokong kata kata saya. Pegawai pegawai melayu MCS masa dahulu kebanyakkannya memang begitu. Mereka suka bercampur gaul dengan orang kampung, dengan rakyat jelata. Orang orang lama yang membuat jasa kepada tanah air dan kaum bangsanya sudah tidak ada lagi.

Cerita cerita yang saya dengar zaman ini amat lain bunyinya. Ketika saya menulis bab ini, saya mendengar berita di TV, tiga pegawai RISDA baru ditangkap oleh BSN kerana terlibat dalam rasuah 10 juta ringgit iaitu wang bantuan menanam semula bagi pekebun pekebun kecil di Perak Utara.

Daerah Bentong adalah satu kawasan yang sangat luas. Sempadannya dengan Negeri Selangor adalah Genting Sempah, di simpang jalan naik ke Genting Highlands. Terpencil hala ke dalam, di depan Kamnpung Baru Bukit Tinggi, ada sebuah perkampungan Melayu, tetapi sehari demi sehari tanah tanah kampung di situ banyak yang telah dijual kepada orang orang kaya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Hampir lima puluh tahun selepas darurat, bandar Bentong tidak banyak berubah. Yang bertambah ialah panggung panggung wayang gambar. Bentong mempunyai sebuah pasar baru yang besar, rumah moden dua tingkat. Yang saya tahu hanya ada seorang sahaja peniaga Melayu dapat gerai di dalam pasar itu, bekas tahanan darurat, Ustaz Yunus bin Haji Muhammad Nor.

Dekat perhentian bas di bandar itu, Lembaga Kemajuan Negeri Pahang telah mendirikan beberapa buah kedai dua tingkat untuk bumiputera. Semuanya telah berisi, perniagaannya nampak maju. Tidaklah seperti Bandar Baru Chenor. Empat puluh pintu telah didirikan tetapi yang berisi hanya empat lima sahaja.

Di Simpang Ketari kini ada sebuah masjid baru yang besar, yang kubah dan menaranya dicat dengan warna emas. Dekat masjid itu ada sebuah restoran kecil comel yang diusahakan Tengku Jara dari Kuala Terengganu, isteri seorang guru Sekolah Kebangsaan. Pada suatu masa dahulu, di Kampung Ketari ada sebuah pekan minggu, yang bermula petang Sabtu hingga pagi Ahad. Lebuh raya yang melencong dari Kuala Lumpur terus ke Pekan Karak, menyebabkan bandar Bentong semakin terpencil dari lalu lintas orang ramai.

Setelah cukup tempoh tiga bulan saya menjadi DADO, dalam tahun 1932, saya telah ditukarkan ke daerah Rembau. Disanalah bermulanya baqbak baru hidup saya yang memeranjatkan orang ramai di seluruh Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...