Followers

Monday, June 23, 2014

MELONJAK REPUTASI PROTON


UMPAMA sirih pulang ke gagang, berkuat kuasa 16 Mei lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Proton Holdings Bhd.

Sebagai orang yang bertanggungjawab 'melahirkan’ syarikat kereta nasional itu, pelantikan beliau dilihat oleh banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mampu memberi kekuatan baru kepada Proton.

Pada masa sama, ia juga dilihat sebagai langkah paling berani DRB-Hicom Bhd. dalam usaha menangani kemerosotan Proton sejak ia mengambil alih syarikat itu pada 2012.

Antaranya pendirian untuk tidak lagi mengeluarkan model 'rebadge’ kereta asing, sasaran meningkatkan eksport dan memperkenalkan model baru akhir tahun ini, seperti disiarkan dalam beberapa siri berita Bisnes dalam Utusan Malaysia mulai Jumaat lalu.

MINGGUAN: Sebagai Pengerusi baharu Proton Holdings Bhd. (Proton) sejak Mei lalu, apakah strategi Tun bagi meningkatkan keuntungan syarikat?

DR. MAHATHIR: Saya jadi penasihat sudah lama dan saya tahulah sedikit sebanyak tentang Proton ini, tetapi tak semua. Sebagai penasihat, saya tak dapat maklumat sepenuhnya.

Tetapi apabila DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) mengambil alih, mereka memberi taklimat penuh kepada saya dan tiap-tiap minggu saya duduk bersama dengan pihak pengurusan membincangkan masalah Proton.

Semasa perbincangan ini, kita dapati banyak kelemahan dan kesalahan yang telah dilakukan di masa lepas dan kita cuba untuk mengatasi atau memperbetulkan kesalahan ini.

Tetapi saya sebagai penasihat, tak ada kuasa eksekutif dan Pengerusi (Tan Sri Mohd. Khamil Jamil) pula mempunyai banyak tanggungjawab kerana menjadi pengerusi hampir semua syarikat di bawah DRB-Hicom.

Kerana itu mungkin, saya diminta supaya menjadi Pengerusi dengan kuasa eksekutif. Jadi sekarang ini, saya lebih mengetahui tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh Proton.

Satu daripada hasrat saya adalah untuk memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang lama ini dan juga untuk mengubah strategi dan polisi Proton. Itulah yang saya harap, saya dapat lakukan.

Saya berpendapat pihak pengurusan yang ada sekarang ini adalah lebih baik daripada dulu dan falsafah pun berlainan. Saya mempunyai penuh harapan pihak pengurusan sekarang boleh membantu saya untuk menguruskan syarikat.

Apakah perkara pertama yang Tun nak ubah?

DR. MAHATHIR: Ia berkaitan reputasi Proton sebagai sebuah syarikat automatif yang mengeluar kereta berkualiti rendah dan dengan harga yang murah.

Jadi saya berpendapat ramai daripada orang Malaysia minat untuk membeli kereta daripada negara asing, kerana menganggap kereta Proton ini berkualiti rendah. Jadi kita kehilangan pasaran pasal itu.

Sekarang ini saya berharap kita dapat mengeluarkan kereta yang mempunyai kualiti hampir sama dengan kereta-kereta import lain dan kerana itu harganya akan meningkatlah.

Ini masalah yang kita hadapi. Sementara orang nak kereta Proton berkualiti baik, tetapi tak nak bayar harga lebih.

Jadi saya hendak cuba mengatasi masalah ini dengan terus mengeluarkan kereta yang berkualiti dan berusaha memastikan pasaran di Malaysia dapat menerima harga lebih tinggi.

Dakwaan kualiti rendah adalah lebih berpunca daripada persepsi yang salah. Macam Suprima S, ini kereta berkualiti dan harganya pun naiklah sikit. Tetapi kurang RM40,000 daripada harga kereta import yang sama taraf dengannya dan kadang-kadang kualiti kereta import ini lebih rendah daripada Suprima S.

Apakah cabaran lain yang sedang dihadapi Proton?

DR. MAHATHIR: Baru-baru ini, kita lihat sebuah syarikat di Malaysia yang dimiliki separuh oleh Jepun dan separuh oleh Malaysia. Dia dapat mengurangkan harga sehingga RM5,000. Ada kereta yang dijual dengan harga RM22,000 sebuah sahaja.

Cukup murah. Lebih murah daripada yang dikehendaki oleh kerajaan. Dia boleh buat demikian kerana kereta ini juga dibuat di negara asal mereka dan dipasar di sana. Misalnya, dia sudah keluarkan di Jepun 100,000 buah dan sudah amortize (melunaskan hutang).

Kita tak boleh masuk ke pasaran mereka langsung. Kita tak boleh jual kereta di Jepun dan tak boleh nak bersaing dengan syarikat di sana kerana mereka besar dan kita kecil.

Mereka mendapat economies of scale (pengurangan kos hasil peningkatan jumlah produk) dan kita tak ada kelebihan ini.

Kita juga tak boleh mengeksport ke China kerana sebagai model diimport sepenuhnya (CBU), cukai yang cukup tinggi dikenakan dan mereka juga tidak keluarkan lesen baharu untuk mengilang kereta di negara itu.

Di negara-negara lain walaupun dia tak kenakan cukai tinggi, tapi dia ada syarat kualiti tertentu yang harus dipatuhi. Macam di Eropah dia ada piawaian pengeluaran asap Euro 5. Ini semua memerlukan kita mengeluarkan enjin lebih canggih dan ini melibatkan perbelanjaan besar.

Kita pula mempunyai polisi sebaliknya, seolah-olah menggalakkan kereta asing masuk ke Malaysia. Kita nak masuk sana tak boleh kerana mereka melindungi industri kereta mereka.

Tetapi dia orang boleh eksport ke Malaysia kerana kita buka pasaran kita dan tak ada sekatan. Jadi tidak ada timbal balas.

Itu dasar kerajaan sekarang. Setelah saya berhenti, dasar kerajaan berubah. Dulu saya bagi perlindungan sebab saya sedar industri kita masih baharu lagi. Sekarang dasar bertukar. Segala kereta nak masuk ke sini. Jadi daripada menguasai 80 peratus pasaran di Malaysia, Proton kini hanya menguasai 20 peratus.

Dalam keadaan sekarang, berapa lama lagi Proton boleh bertahan?

DR. MAHATHIR: Saya ingat kita boleh bertahan. Sebenarnya kita lebih mampu bertahan berbanding kebanyakan syarikat automotif di Eropah. Macam di England, mati langsung. Dia tak boleh buat kereta. Kereta yang dia buat itu milik Jerman.

Jaguar dan Land Rover asalnya kereta British tetapi dimiliki oleh Tata Motors (dari India) dan dibuat di England. Yang lain seperti Rolls-Royce dan Bentley, semuanya dimiliki oleh syarikat dari Jerman. British tak upaya nak keluar kereta sendiri.

Kita masih boleh keluar kereta, jadi kita lebih berdaya tahan daripada British. Banyak negara lain, semua sudah putus asa dan tidak boleh mengeluarkan kereta. Kita masih boleh.

Jadi saya yakin, Proton ini mempunyai daya tahan dan tentulah kita terpaksa mengkaji pasaran dan menentukan kita boleh keluarkan kereta yang diterima oleh pasaran yang berlainan. Bukan kita boleh buat kereta macam itu sahaja, dan nak jual ke seluruh dunia.

Saya yakin Proton mempunyai jurutera yang sangat bagus, tetapi kalau tak bagi peluang dan duit, mereka tak boleh buat apa-apa juga.

Ada orang kata, tak payahlah kita buat kereta. Saya mulakan industri kereta ini kerana saya mahu rakyat belajar tentang bidang kejuruteraan. Bila kita boleh buat kereta, kita belajar banyak pasal kejuruteraan. Faedah sampingan daripada industri kereta ialah syarikat-syarikat tempatan boleh buat komponen, bukan untuk Proton sahaja malah untuk syarikat asing.

Ada persepsi bahawa Proton menggunakan duit rakyat untuk menghasilkan model baharu?

DR. MAHATHIR: Kita tak guna duit rakyat. Tak patut kata macam itu. Kita dapat pengecualian cukai dan duti eksais kerana kita membuat kenderaan ini dalam negara. Syarikat lain pun dapat kemudahan sama dan bukan Proton sahaja.

Orang kata kerajaan nak naikkan cukai kereta kerana nak melindungi Proton. Tak juga. Cukai kita ini rendah. Di negara lain, cukai kereta biasa ini 280 peratus. Kita di sini rendah tetapi untuk kereta berkapasiti besar sangat, tinggilah sampai 300 peratus. Tujuan kerajaan kutip cukai kerana dia nak duit dan bukan kerana nak melindungi Proton. Kalau dia hentikan cukai kereta, berapa bilion pendapatan kerajaan akan berkurangan?

Kerajaan tak boleh turunkan cukai, tapi dia suruh kita buat kereta murah. Kita kena bersaing dengan sebuah lagi syarikat, Perodua (Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd.) umpamanya.

Dia pasang kereta Jepun, macam Thailand juga. Dia bukan betul-betul kereta nasional. Jadi bila suruh turun harga, dia boleh turun harga kerana sudah untung di Jepun. Kita tak untung, di mana nak turun harga, macam mana? Itu pun kita sudah turun juga.

Orang selalu membandingkan harga kereta Proton dengan Perodua yang dikatakan lebih murah?

DR. MAHATHIR: Syarat kita bagi kepada Perodua dulu, dia kena buat macam Proton buat. Dia kena jadi kenderaan tempatan sepenuhnya, tetapi dia tak buat. Tetapi dia masih dianggap sebagai kereta nasional.

Kalau dia buat semua macam Proton, kos akan meningkat. Kita buat reka bentuk, bina model tanah liat dan uji kereta ini kadang-kadang satu-satu kereta sampai 100,000 kilometer (km). Kemudian kita kena hantar ke Sweden dan negara Arab untuk uji dalam cuaca sejuk dan panas.

Bukan mudah nak buat kereta, lebih 3,000 komponen berlainan kita kena siap. Sesetengah komponen itu kita tak boleh buat sebaliknya kita kena import.

Kadang-kadang vendor pun, dia nak cari makan juga. Jadi kualiti jatuh, kita yang kena marah. Macam kes tingkap tak boleh turun. Orang salahkan Proton. Sebenarnya vendor yang buat salah, bukan kita.

Adakah Proton masih mengharapkan sokongan daripada kerajaan?

DR. MAHATHIR: Kita tak minta sokongan tetapi kerajaan ada geran untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diberi kepada semua. Proton pun sepatutnya dapatlah geran ini walaupun kadang-kadang duit ini tertahan dekat mana-mana.

Kita memang dapat geran untuk R&D kereta hibrid dan kenderaan cekap tenaga (EEV), tetapi duit ini tak sampai lagi. Penyelidikan ini kita tidak boleh jamin, sekian-sekian bulan. Tetapi orang yang keluar duit geran R&D ini dia nak tahu apakah perolehan pulangan balik (ROI). Penyelidikan ini, kita tak boleh tahu, dapat atau tak dapat. Jadi kita terlewatlah sikit. Tetapi kita masih teruskan. Nasib baik kita sekarang ini sudah menjadi syarikat swasta. Adalah duit daripada sumber bukan kerajaan yang masuk. Kita teruskan dengan R&D.

Harapan saya bila penyelidikan siap, kerajaan dapat menyalurkan duit geran R&D itu.

Jurutera kita ada kebolehan tetapi yang tak ada hanya fulus. Orang belanja RM5 bilion, kita belanja RM200 juta, mana boleh bertanding?

Geran R&D yang diberi kerajaan hanya kira-kira satu persepuluh daripada yang dibelanjakan Samsung untuk penyelidikan. Jadi hasil lambat sikitlah.

Boleh komen tentang permit import (AP)?

DR. MAHATHIR: Mengikut sejarah kita mulakan AP kerana orang Melayu tak boleh langsung masuk dalam bidang jual beli kereta. Sebab ia dikawal pengedar untuk seluruh Malaysia dan Singapura.

Kita wujudkan AP untuk kereta terpakai dari Jepun sahaja. Itu pun mereka boleh untung banyak. Satu kereta dia boleh untung RM8,000. Dapat 10 AP, boleh buat RM80,000. Tetapi yang jadi masalah, penerima kemudahan ini tak buat apa pun, dia jual AP sahaja. Jadi saya kena hentikan. Kalau mereka tak ada kedai menjual kereta, saya tak bagi AP.

Kemudian bila saya sudah berhenti, AP ini diberi kepada semua orang dan untuk semua jenis kereta terpakai termasuk dari Eropah.

Kita patut kaji setakat mana kita boleh bagi AP ini. Okeylah kalau orang itu betul-betul berniaga. Macam Naza, dia berjaya. Dia jadi besar sekarang ini sebab dapat AP. Kalau orang Melayu betul-betul guna peluang ini, mereka boleh jadi macam Naza.

Masalahnya, ada yang seronok nak jual AP ini kepada orang lain. Dapat duit banyaklah. Mereka dapat percuma dan dapat jual RM8,000. Kita nak tolong orang Melayu, tapi mereka tak mahu tolong diri sendiri.

Bukankah Tun sudah mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Penasihat Petronas bermula 1 Disember 2013?

DR. MAHATHIR: (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) suruh saya tarik balik, jadi saya tarik baliklah.

Saya hantar surat letak jawatan sebab kalau saya jadi penasihat tetapi tak boleh beri nasihat, saya jadi macam penasihat Melayu. Dia apabila bagi nasihat, orang tak ikut. Kalau penasihat British bagi nasihat, orang kena ikut.

Saya sekarang masih Penasihat Petronas pada nama sahaja. Saya dipanggil kadang-kadang, diberitahu perkara sudah lepas. Benda sudah lepas, tak guna. Nak nasihat apa, benda itu dah buat.

Bagaimana dengan keadaan ekonomi Malaysia?

DR. MAHATHIR: Ekonomi Malaysia, kalau kita banding dengan Eropah, kita masih baik. Kita masih ada pertumbuhan. Ini adalah sesuatu yang baguslah kerana kalau dibanding dengan Eropah dan Amerika Syarikat (AS), pertumbuhannya tak ada. Pasal dia tak berniaga betul-betul, asyik main judi dengan duit, itu sahaja.

Tetapi angka-angka seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita kena tahu apa asasnya. Apakah faktor yang dijadikan sebahagian daripada KDNK.

Kalau kita ambil industri pembinaan yang dilaksanakan di Iskandar Malaysia yang diberi kepada orang lain untuk dibuat dan penjualan tanah sebagai salah satu faktor, saya rasa tak berapa baiklah.

Kita kena tahu apakah yang dijadikan asas kepada KDNK.

Satu lagi ialah pendapatan per kapita yang tidak menggambarkan situasi sebenar. Kalau dalam satu kumpulan 1,000 orang, seorang mendapat pendapatan RM1 juta, purata pendapatan per kapita adalah RM1,000 bagi setiap orang, tetapi hakikatnya yang lain tak ada satu sen pun. Kalau bilionair kebas semua kekayaan, yang miskin tetap miskin juga. Sebab yang digunakan adalah purata.

Umpamanya, anda boleh lemas dalam sungai yang mempunyai purata kedalaman cuma dua kaki, sebab ia purata. Jika anda ke tengah (yang lebih dalam) anda mungkin tenggelam.

Jadi kita kena menganalisis makna sebenar pendapatan per kapita ini.

Saya bukan ahli ekonomi dan kewangan tetapi bila sudah menjadi Perdana Menteri, sedikit sebanyak kita kena tahulah. Kalau tidak orang tipu kita. Kita kena tahu asas di sebalik angka-angka yang nampak bagus ini.

2 comments:

Asrul said...

Perodua milikan saham macam ni:
Daihatsu : 20%
PNB : 20%
UMW : 40%
MBM Resource : 20%

Tengok, cuma 20% saja milik Jepun. Lain milik Malaysia. Kenyataan Dr. Mahathir mengelirukan dan lebih bias pada proton.

Dalam blog Dr. Mahathir kat komen tu ada sorang Businessman tulis pengalaman dia dealing dengan proton. Mamat ni berunding dengan Sanyo untuk bekalkan radio untuk Proton, radio tu harga asalnya RM99 seunit, tapi dapat kurang pada RM49 saja seunit.

Sebelum tu Proton pakai radio harga RM150 seunit. Mamat businessman ni berunding la dengan proton pulak minta gantikan radio RM150 tu dengan radio jenama Sanyo harga RM49 tu, kurangnya boleh cut harga proton. Tapi proton tak mau sebab konrak RM150 tu dengan kroni, tetap kena kekalkan.

Tengok.. banyak ruang nak kurangkan harga proton, ni baru satu radio, tapi takdak usaha.

Anonymous said...

Tun memanglah lebihkan Proton sebab Proton adalah projeknya dahulu. Bab radio tu aku tak tahulah. Ye memang ada ruang untuk kurangkan kos. Tapi terpulanglah pada dorang nak ikut ke tak.

hurmm keta mana yang guna radio jenama sanyo ?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...