Followers

Sunday, December 09, 2012

KBS Sediakan Peruntukan RM 3.9 Juta Untuk Sukan Rekreasi


BENTONG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membelanjakan hampir RM3.9 juta untuk membangunkan sukan rekreasi darat, air dan udara serta bermotor sepanjang tahun di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Timbalan Ketua Setiausaha Strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Zaidon Asmuni berkata, selain itu pihaknya juga turut menganjurkan kursus kejurulatihan rekreasi luar bagi tahap 1, 2 dan 3.

Katanya, kursus dijalankan itu bertujuan melahirkan sumber tenaga mahir untuk keperluan dan kehendak industri rekreasi.

“Sijil yang dikeluarkan KBS dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan sukan kebangsaan, institut pengajian tinggi serta syarikat swasta boleh diterima pakai untuk memohon pekerjaan.

“Mereka yang ada sijil itu boleh memohon kerja di  pusat rekreasi swasta, hotel, resort, dan kem latihan khidmat negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sport Rec Challenge 2012 bertempat di Air Terjun Chamang, dekat sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Dr Mohd Ghani Mohd Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan program yang dijalankan itu adalah perhimpunan dan pertandingan sukan rekreasi terbesar kerana berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta.

Menurutnya, penyertaan melibatkan lima aktiviti sukan iaitu kayak, sukan mendaki, basikal, pacuan empat roda dan motorcross.

“Keadaan muka bumi di kawasan ini sesuai untuk lima aktiviti sukan dinyatakan.

“Ketahanan fizikal dan mental diperlukan peserta untuk menjayakan aktiviti dijalankan," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...