Followers

Thursday, December 01, 2011

Lelaki Gigi Rongak

Sehingga jam 11 malam, Razi masih belum membuat keputusan untuk pulang ke kampungnya di Pulau Sebang, Melaka. Tidaklah jauh sangat dari Kuala Lumpur. Dalam dua jam sudah sampai. Anak dan isterinya sudah balik seminggu lebih awal kerana persediaan adiknya yang akan berkahwin.

Dia sudah berjanji kepada isterinya bahawa dia akan balik pada malam tersebut. Walaubagaimanapun dia masih mempunyai urusan dengan seorang kontraktor yang juga rakan lamanya. Selesai urusan, dia diajak oleh rakannya untuk makan bersama.

Turut bersamanya adalah beberapa rakan niaga. Didalam masa makan, salah seorang daripada mereka menceritakan tentang pengalaman seorang rakannya yang terserempak dengan langsuir di Cheras. Tetapi Razi tidak berapa percaya dengan cerita demikian. Baginya cerita hantu syaitan semuanya adalah kisah dongeng semata mata.

Geli benar hatinya mendengar cerita rakannya itu. Tetapi untuk menjaga hati rakannya, dia tidaklah terus berhujah. Dia hanya tersengih sengih sahaja. Di Kuala Lumpurpun masih ada orang yang mempercayai cerita langsuir. Lainlah dikampung yang masih terdapat pepohon merimbun. Di Kuala Lumpur, cahaya lampu terang benderang. Mustahil ada langsuir atau hantu di fikirannya.

Akhirnya pada jam 12 lebih, Razipun bertolak ke Pulau Sebang. Dia terus ikut highway Seremban. Cuaca pada masa itu sejuk dan kereta tidak banyak lalu lalang di jalan raya. Selepas tol Sungai Besi, hujan mulai turun renyai renyai. Razi terpaksa memandu perlahan kerana bimbangkan jalan licin.

Walaubagaimanapun masih ada orang yang memandu laju sehingga memotong keretanya. "Hah, nak mampus agaknya bawa kereta laju laju malam begini", rungut Razi apabila sebuah kereta BMW memotong dengan begitu laju.

Dalam masa yang sama, sebuah motorsikal yang ditunggang seorang pemuda turut memotong keretanya. Berani sangat penunggang motorsikal itu memandu laju diwaktu hujan begini.

"Celaka motor ni.." rungut Razi lagi apabila motor itu hilang dari pandangan akibat terlalu laju. Dari cahaya lampu keretanya, kelihatan titik air hujan jatuh menitik halus dipermukaan cermin keretanya. Walaupun tengah malam, masih ada kereta yang lalu lalang di highway berkenaan.

Melepasi sebuah simpang, Razi nampak dari cahaya lampu keretanya, seorang pemuda menahan keretanya. Ternyata pemuda berkenaan didalam kesusahan kerana motorsikalnya rosak. Dia benar benar cam pemuda itu adalah penunggang motorsikal yang memotong keretanya tadi.

"Tolonglah saya bang," kata pemuda itu merayau. "Sampai kat Simpang Nilai cukuplah," ujarnya mahu menumpang kereta Razi. Mula mula Razi curiga jugalah Razi, mana tahu perompak yang menyamar meminta pertolongan.

Bagaimanapun dia sudah berhenti apabila ditahan oleh pemuda itu. Serba salah juga dia kalau menolak permintaan pemuda itu. "Jangan takut bang, saya bukannya budak jahat," dia semacam tahu apa yang difikirkan oleh Razi.

"Motor saya buat hal. Saya nak balik ke Nilai. Saya kerja polis bandaraya, janganlah abang bimbang," katanya sambil membuka jaket hitam yang dipakainya. Memang benar dia memakai uniform polis bandaraya. Setelah merasa yakin yang pemuda itu tidak menipu, maka Razipun membenarkan pemuda itu menumpangnya.

"Nanti saya letakkan motor saya ke dalam sikit," katanya tersengih sengih menampakkan giginya yang rongak. Kemudian dia menolak motorsikalnya itu ke lorong tempat menjual buah buahan. Setelah yakin motorsikalnya selamat, dia naik ke kereta Razi.

" Nama saya Jenal, duduk di Nilai. Berulang alik je kerja kat Kuala Lumpur." Jelasnya sambil membetulkan leher baju uniformnya.

"Saya Razi," beritahu Razi perlahan. "Abang ni nak kemana malam malam begini," tanyanya semula. "Balik kampung," ujar Razi.

"Berjalan malam macam ni saya tak takut perompak," kata Jenal tersengih sengih menghadapkan mukanya pada Razi. Jelas pada Razi giginya rongak apabila dia tersengih sengih begitu. "Habis apa yang awak takut?" Razi menduga.

"Saya takut kalau ada hantu. Macam mana kita nak lawan dia sebab dia tu makhluk halus." Jelas Jenal kepada Razi. "Jangan awak percayakan benda benda karut tu Jenal" Razi menasihatinya. Jenal terdiam apabila Razi berkata yang dia tidak percaya kepada cerita hantu.

"Dekat simpang Nilai itulah kawan saya kena bang. Dia pakai motor sayalah, lalu situ waktu malam begini," katanya menyeringai menampakkan gigi rongak berkarat. Apabila dia membuka mulut terbau juga bau busuk wap mulutnya oleh Razi.

"Dekat simpang itulah orang selalu jumpa. Kawan saya ditahan seorang perempuan. Dia bawa perempuan tu naik motor saya." Tersingih sengih Razi mendengar cerita Jenal. Mahu juga dia menempelak Jenal tetapi bimbang pula akan mengecilkan hati kawan yang baru dikenalinya.

"Mulanya perempuan tu elok sahaja. Tiba tiba dia mengilai, perempaun itu terus hilang dari pandangan. Terus kawan saya terbabas ditepi jalan." ujar Jenal.

"Sekarang dah dekat simpang Nilai bang," Jenal menepuk bahu Razi. "Abang tak payah hantar saya kedalam, turunkan saya kat simpang tu cukuplah," dia merendahkan diri.

"Tak apa, kalau jauh kedalam biarlah saya hantarkan," Razi menawarkan khidmatnya. "Tak apalah bang, terima kasih sangatlah. Rumah saya dekat je dengan simpang tu," katanya.

"Awak tak taku apa apa ke?" Razi sengaja mengusikya. Jenal ketawa terbahak bahak mendengar usikan Razi. Dia seolah olah tahu Razi mempersendakan ceritanya tadi. "Kalau langsuir perempuan, lebih baik saya pinang je," dia masih ketawa terkekeh kekeh. Razi turut ketawa mendengar jawapan Jenal itu.

"Awak tak takut ke kalau ada hantu yang menunggu kat simpang tu?" Razi tersengih sengih mengusiknya. "Ah, saya dah biasa sangat dengan hantu hantu ni bang." dia secara tiba tiba ketawa terbahak bahak. "Awak pernah ke tengok hantu, Jenal?" tanya Razi selamba. "Memang pernah bang," beritahu Jenal masih lagi ketawa.

"Macam mana rupanya?" soal Razi mengusik lagi. "Macam sayalah." katanya ketawa lebih nyaring. Razi berpaling melihat Jenal kerana pemuda itu mengatakan hantu itu seperti rupanya. Ketawa nyaring tidak sama seperti mula mula tadi. Apabila Razi melihat Jenal, hatinya mula berdebar debar.


Pemuda yang berada disebelahnya tadi sudah berbau lebih busuk. Matanya macam api bola di kaca. Tulang pipinya tersembul keluar. Rambutnya ada tompok tompok darah berbau hanyir. Kepalanya seolah olah tengkorak yang mengerikan.

Terkejut Razi melihat kawan disebelahnya. DIa tidak dapat mengawal keretanya lagi lalu merempuh batu divider di tengah jalan. Keretanya melambung sehingga lima enam kali terbalik. Akhirnya Razi dimasukkan ke hospital Seremban.  Rupanya tempat dia terjumpa pemuda itu, adalah kawasan orang meninggal eksiden motorsikal. Selainnya, sudah beberapa orang yang mengalami kejadian sepertinya.

Kini barulah sedar bahawa tak semua cerita hantu yang didengarnya adalah karut. Sejak itu Razi mula percaya dan tidak lagi mentertawakan orang lain apabila dia diberitahu mengenai kisah seram.

Dipetik daripada Siri Berkelahi Dengan Syaitan (Tok Awang Ngah) Cetakan Pertama 1986

5 comments:

shaFazie said...

meremang2 + seram....

Mermaid Ungu said...

ok dh penah baca citer ni bro..

Alan said...

kak jijah: alahai....

Alan said...

ayunda panda: bila lak ko baca..

Afzainizam said...

oohhhh gambo tu perrgghhhh meremang tengkok aku... insaf beb

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Story terbaru blog kami...
claim insurans motorsikal langgar kereta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...