Followers

Tuesday, October 04, 2011

Orang Melayu Terus Diperbodohkan


Hanya bermodalkan RM100 hingga RM300, sebuah laman web kini dikesan cuba mempromosi ajaran khurafat kepada sesiapa saja yang berkeinginan untuk memiliki ilmu kebatinan seperti ilmu tujuh silat ghaib, kebal, berjalan atas air, ilmu khadam dan beberapa ilmu lain tanpa perlu melalui proses pertapaan dan latihan selama bertahun-tahun.

Setiap ilmu yang ingin dipelajari mempunyai harga yang sudah ditetapkan, asalkan pelanggan sanggup membayarnya dan segala ilmu yang dihajati akan diperturunkan, tetapi peliknya hanya melalui panggilan telefon pada waktu tertentu di samping menyediakan bahan termasuk kemenyan, limau nipis dan air telaga.

Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh untuk mendapatkan ilmu yang ditawarkan laman web itu. Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Abdul Ladzim Al Azhari, berkata orang ramai usah terpedaya dengan ilmu ditawarkan laman web terbabit kerana ia boleh memesongkan akidah.

Katanya, meminta pertolongan atau berdamping dengan khadam hukumnya haram di sisi syarak dan bertentangan ajaran Islam.

“Tindakan seseorang itu kononnya jika ilmu itu ingin berjaya perlu mendirikan solat dan berzikir satu tindakan untuk mengaburi mata orang ramai termasuk menghalalkan helah mereka sedangkan itu bertentangan dengan Islam.

“Solat dan zikir ialah cara untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, bukan satu cara untuk berdampingan dengan khadam sedangkan manusia tidak layak memohon pertolongan daripada jin kerana itu akan menambahkan kesombongan mereka,” katanya mengulas mengenai ilmu ditawarkan laman web terbabit. Selain pelbagai ilmu kebatinan, laman web itu turut menawarkan pelbagai barangan yang dikatakan mempunyai khasiat tersendiri seperti geliga lipan yang ditawarkan dengan harga RM10 juta, keris berdiri (RM80,000), minyak pengasih (RM450), minyak pengasih lidah jin yang dikatakan hanya ada sembilan botol di dunia ini yang dihantar melalui alam bunian oleh jin (RM300), minyak air mata bunian untuk penunduk dan pengasih (RM300), minyak harimau putih yang dikatakan mampu menggerunkan musuh pemakainya (RM250) dan beberapa koleksi barangan tembaga dan koleksi senjata lama pada harga yang tertera pada laman web itu. - Harian Metro

Orang melayu sebenarnya masih lagi berpegang kepada benda benda karut lagi syirik. Tak tahulah apasal orang melayu ni masih lagi percaya pada benda macam ni. Aku dah banyak tengok website atau blog yang jual benda bodoh macam ni.

Bila baca dan fikir betul betul, nampak sangat tak logiknya barang barang yang dijual. Tapi malang masih ada orang melayu yang percaya kononnya barang tu boleh bawa tuah dan kekayaan. Taksub dengan alam ghaib. Nak sangat tengok alam ghaib baik masuk kubur teruslah. Itu baru betul alam ghaib.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...