Followers

Monday, February 08, 2010

Kura Kura Yang Degil

Di tengah-tengah sebuah hutan terdapat sebuah kolam. Di situlah tempat semua haiwan dalam hutan itu datang menghilangkan dahaga. Mereka dapat meneguk air dengan sepuas-puasnya.

Pada suatu ketika, berlakulah musim kemarau panjang. Air di dalam kolam semakin kering. Semua haiwan berasa sangat susah hati. Kalau kolam itu kering, matilah mereka kerana tidak dapat minum air.

Semakin hari, air semakin kering. Ikan dan kura-kura semakin susah hati. "Matilah kita kalau air ini kering!" kata kura-kura kepada ikan dan ketam. Oleh yang demikian, haiwan dalam hutan itu mulai berpindah ke tempat lain. Mereka pergi mencari kolam yang belum kering. Akhirnya, semua haiwan itu sudah berpindah. Hutan itu menjadi sunyi sepi kerana tiada berpenghuni lagi.



Hanya sepasang burung bangau masih belum berpindah. Mereka sangat gembira kerana dapat menangkap ikan. Mereka dapat makan ikan dengan sepuas-puasnya. Selang beberapa hari kemudian, air di dalam kolam itu benar-benar sudah kering. "Air di dalam kolam ini sudah kering. Marilah kita pergi ke tempat lain!" kata bangau jantan. "Yalah!" kata bangau betina, "kalau kita tidak berpindah, kita akan mati kehausan."

Sebelum sempat bangau jantan dan bangau betina itu terbang, tiba-tiba mereka terdengar suara haiwan menangis. Suara itu datang dari dalam kolam. Mereka berasa hairan kerana semua ikan sudah mati. Rupa-rupanya Sang Kura-kura.

"Tolonglah! Jangan tinggalkan aku di sini," kura-kura itu menangis. "Bawalah aku berpindah bersama-sama kamu," kura-kura itu merayu. "Tetapi bagaimana kami hendak membawa kamu?" tanya bangau jantan. "Kamu tidak boleh terbang seperti kami," ujar bangau betina pula.

Kura-kura itu menangis. Kedua-dua ekor bangau itu berasa sungguh kasihan. Mereka tidak sampai hati hendak meninggalkan kura-kura. Akhirnya, bangau jantan mendapat suatu akal. Ia segera pergi mencari sebatang kayu kecil. "Wahai Sang Kura-kura! Engkau gigit batang kayu ini kuat-kuat. Kami akan membawa engkau terbang bersama kami," kata bangau jantan. Kura-kura sangat gembira. "Terima kasih!" ujar kura-kura.

"Tetapi engkau mesti berjanji. Engkau tidak boleh bercakap. Jikalau engkau cuba bercakap, tentulah engkau akan jatuh ke bumi," pesan bangau jantan kepada kura-kura. Kura-kura lalu menjawab, "Baiklah! Aku berjanji tidak akan bercakap apa-apa.

"Akhirnya terbanglah kedua-dua ekor bangau itu. Masing-masing menggigit hujung kayu tersebut. Manakala kura-kura pula menggigit bahagian tengah kayu itu. Semakin lama semakin tinggilah mereka terbang.

Kura-kura sangat gembira kerana dapat terbang di udara. Terlupalah ia pada pesanan burung bangau. "Wah! Aku dapat terbang," kata kura-kura. Apa lagi! Terlepaslah mulut kura-kura daripada batang kayu itu. Kura-kura itu berasa sungguh menyesal. Namun, sesal kemudian sudah tidak berguna lagi. Matilah kura-kura itu kerana jatuh terhempas ke bumi. Demikianlah akibat tidak patuh pada nasihat.

4 comments:

iEn said...

akibat terlalu syok sendiri sgt, leh bawa padah.. Innalillah..

alan said...

aku penah baca masa kecik cite ni dulu..x silap dlm majalah jelita akhir tahun 80an..moral cerita ni sebenarnya kalau banyak cakap banyaklah masalah..

sebab dlm majalah tu story dia kekura ni suka sgt bercakap. tu bila terbang dia buka mulut juga lalu jatuh.

iEn said...

tu laa.. aku pon mcm penah baca je citer ni.. kat sekolah kot..

Alan said...

cite lame..bebudak sekarang mana nak baca citer camni dah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...