Followers

Saturday, July 19, 2008

Perpaduan kunci kekuatan bangsa

NEGARA yang kuat adalah negara yang mempunyai rakyat bersatu padu dan sentiasa bersama- sama membangunkan agama, bangsa dan negara itu. Negara yang bercirikan kesatuan yang utuh dan mapan pasti sukar digugat dan sama sesekali tidak akan gentar dengan pelbagai ancaman atau ugutan pihak musuh.

Bagi mencapai status negara kuat, tidak ada cara lain yang perlu dilakukan melainkan dengan bersatu. Ini bertepatan dengan hukum dan tuntutan Islam yang meletakkan perpaduan sebagai asas kekuatan negara.

Perpecahan, persengketaan, pergaduhan, permusuhan dan pertelingkahan amat dibenci Islam kerana akan membawa kepada kehancuran bukan saja kepada negara, malah seluruh rakyat, agama dan bangsanya.

Tidak hairanlah, perpecahan akan memberi peluang kepada musuh untuk melaga-laga dan menghancurkan apa saja yang diingini, tanpa me- ngambil kira perasaan dan hak mangsanya.

Bagi menghalang perpecahan, perpaduan hendaklah diutamakan, tidak hanya dalam aspek pertahanan, malah merangkumi semua aspek kehidupan. Perlu diingat, musuh tidak mengintai kelemahan sesebuah negara berdasarkan satu sudut saja, malah dalam banyak perkara yang boleh menguntungkan mereka.

Kunci perpaduan adalah persaudaraan sesama rakyat. Semakin erat persaudaraan, semakin kukuh perpaduan sesebuah negara atau ummah. Semangat persaudaraan perlu dipupuk dalam hati setiap rakyat, sebaliknya, permusuhan adalah virus utama kepada persaudaraan. Maknanya, jika sesebuah bangsa atau kaum sering permusuhan serta bersengketa, mereka sebenarnya tidak bersaudara, apatah lagi untuk membentuk kesatuan dan perpaduan.

Dalam pada itu, Allah memberi amaran kepada kita supaya jangan berpecah belah kerana ia boleh meleraikan persaudaraan dan kekuatan ummah. Kita hendaklah lebih mementingkan keutuhan umat daripada kepentingan diri sendiri.

Perpaduan dan kesatuan menjadikan kita ummah yang kuat dan teguh, sedangkan perpecahan menyebabkan kita menjadi ummah lemah dan mudah dipermainkan musuh.

Umat Islam di negara ini perlu menginsafi se- jarah umat terdahulu yang musnah angkara perpecahan sesama sendiri. Kejatuhan kerajaan Islam Abbasiyah, Fatimiyah dan Uthmaniyah adalah bukti jelas tiadanya elemen persaudaraan yang kukuh di kalangan rakyat.

Hal ini membawa kepada kemasukan pengaruh asing dan musuh Islam, khususnya Barat, dalam setiap diri rakyat lalu menjadikan mereka bangsa lemah serta sering ditindas hingga hari ini.

Soalnya, apakah kita mahu sejarah pahit itu berulang kembali dan menimpa negara ini?

SUMBER : Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...