Followers

Tuesday, July 15, 2008

Janganlah kita menjadi bangsa jalanan

BUNYINYA memang keji lagi hina. Bangsa jalanan ialah bangsa yang merempat, bersimpang siur dan tidak terurus, yang pepat di luar rencong di dalam di kalangan masyarakatnya. Bukan menghina atau menafikan peranan dan hak ahli-ahli politik untuk menggunakan segala macam cara untuk mendapatkan perhatian; tetapi hanya ingin menyedarkan bahawa demonstrasi atau menunjuk perasaan secara tidak sah adalah demokrasi jalanan.

Perhimpunan atau demonstrasi adalah pakej yang didatangkan bersama dengan sistem demokrasi ala Barat yang dipaksakan ke atas negara-negara lain termasuklah Malaysia. Jika tidak mendapat persetujuan pemerintah atau pihak penjaga keamanan negara, ia digelar perhimpunan haram yang tidak diberikan permit berhimpun. Walaupun sejarah demonstrasi bermula daripada perjuangan orang Melayu menuntut pembatalan Malayan Union pada 1946 di Tanah Melayu, saya berpendapat budaya ini bukanlah budaya pemakaian demokrasi yang baik untuk demokrasi mahupun menghormati sistem raja berperlembagaan yang mementingkan undian majoriti.

Memang tidak adil mengaitkan pakej yang dibenarkan dalam demokrasi dengan pemikiran, tetapi tindak tanduk pelaku atau peserta demonstrasi kadangkala sukar diramal. Dalam keadaan tanpa permit atau izin, pelaku akan bertindak dengan emosi. Keadaan baik boleh menjadi luar kawalan, keadaan yang awalnya betul dan lancar kadangkala 'bak mencurah api' pada sekam mengakibatkan kejadian luar jangka mengundang. Di Singapura, demonstrasi ini memang dihalang sehingga dikatakan mencemuh pakej demokrasi tersebut. Tetapi apakan daya, banyak penakatan penting di sebalik pengharaman ini membuahkan kesan yang baik. Lebih banyak baiknya diharamkan demonstrasi haram daripada dibenarkan.

Kita dapat menyorot kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia pada 1998 akibat demonstrasi jalanan yang dianjurkan pejuang reformasi. Demokrasi jalanan tersebut telah mematikan sistem demokrasinya dengan cara yang paling keji - pemimpin dijatuhkan dengan 'suara jalanan' tanpa ideologi dan kepimpinan pelapis. Akibatnya, Indonesia sehingga kini 'meratapi' krisis tersebut.

Apakah dengan ideologi Barat itu dianggap semuanya baik? Apakah pakej demokrasi itu boleh menjamin keluhuran sistem demokrasi yang diamalkan. Memang bukan semuanya berpuas hati dengan segala benda yang dilakukan oleh pemerintah. Tetapi demonstrasi bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Pemikiran ini harus dipancung daripada fikiran kita terutamanya bagi yang mementingkan jati diri dan sopan santun adat Timur. Kita tidak perlu terkinja-kinja untuk didengarkan idea politik kita. Tetapi bahaslah semasa kempen, dalam ruang lingkup politik kita. Banyak saluran yang ada untuk meluahkan pandangan kita, Parlimen sehinggalah ke forum terbuka.

Demonstrasi tidak menyelesaikan semua benda, bahkan bakal mengundang pelbagai implikasi. Bagi yang berkepentingan semuanya akan menyatakan demonstrasi haram adalah jalan terakhir yang perlu diambil untuk menyedarkan pihak yang ditentang. Terfikirkah kita khalayak yang menyertai demonstrasi? Sebungkus nasi menjanjikan segala-galanya? Sekali atau sekerap mungkin demonstrasi itu bakal mengubah senario semasa? Jika begitu demonstrasi bakal meranapkan segala cita warganegara yang inginkan keamanan.

Ramai yang akan berkata pemikiran penulis adalah pesimis. Tetapi sedar atau tidak demonstrasi haram tidak mengundang kebaikan langsung melainkan cita-cita politik pihak tertentu yang memperalatkan bangsanya demi cita-citanya yang tersendiri. Khalayak yang menyertainya pula diperalatkan. Setelah berjaya cita-citanya, apa yang akan diganjarkan kepada penyokong atau juak-juaknya? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah janji retorik yang mana mungkin dilaksanakan dalam masa yang sesingkat seperti sebelum demonstrasi.

Janganlah sokongan jalanan menjadi budaya kita. Akan rosaklah sistem kita sejak 50 tahun dahulu. Janganlah bangsa kita menaikkan pemimpin melalui jalanan bak orang tak bertamadun. Janganlah memaksa rakyat terhibur dengan aksi-aksi sarkas. Tidak maju pun dengan berdemonstrasi bahkan menunjukkan kelemahan berfikir serta tindak tanduk yang meluru atau membuta tuli dengan memaksa ideologi anda ke atas orang lain. Kami berhak menentukan apa yang kami cita dengan kertas undi, bukannya pemikiran sempit dan sokongan sorak di jalan.

Sumber Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...