Followers

Friday, February 22, 2008

Pembangkang lidah bercabang

TARIKH pilihan raya umum berada di ambang pintu. Pelbagai manifesto dicipta, pelbagai tokoh bakal menjadi 'ayam sabung' mewakili parti masing-masing bagi menjuarai pertandingan yang dinanti-nantikan ini.

Melihat gelagat pembangkang, kita perlu ingat ini bukan beradu kekuatan tenaga, ini beradu kekuatan fikiran.

Strategi manakah yang dapat menarik pengundi dan dasar apakah yang menarik penyokong-penyokong?

Kerja menjahanamkan bendera parti lain bukanlah perangai yang baik. Kalau itulah yang mereka gunakan tentulah tidak wajar dalam proses pemilihan negara berdemokrasi ini.

Bagaimana hebatnya manifesto pembangkang, ia tidak lebih daripada manifesto lidah bercabang. Lidah bercabang maknanya, bercakap lain di depan khalayak yang berbeza atau waktu berbeza.
Kenyataan-kenyataan lidah bercabang ini tidak lain untuk mengabui para pengundi.
Satu ketika dulu, Pas melaungkan slogan negara Islam dan hukum hudud. Tapi kini manifesto itu sudah masuk ke bakul sampah.

Tiada lagi perjuangan negara Islam kerana negara Islam ditentang oleh sekutu Pas iaitu DAP. Pemimpin DAP pernah menyergah Pas dengan ugutan, "langkah mayat saya dulu kalau nak tubuhkan negara Islam." Dan Pas ternyata takut. Lalu slogan negara Islam dan hukum hudud tidak kedengaran lagi.

Dulu Pas mengkafirkan UMNO kerana bersekongkol dengan MCA dan MIC. Maka keluarlah hukum sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan dan tidak boleh berimamkan orang-orang UMNO.

Masyarakat Islam berpecah belah kerana fatwa Haji Hadi. Tetapi kini apa sudah jadi? Hadi sanggup berpeluk-peluk dengan Lim Kit Siang.

Sedangkan UMNO konsisten dalam soal bergabung dengan orang-orang Cina dan India. Tindak-tanduk Pas ini bolehlah kita madahkan begini, "bila sudah kenal orang lain, hukum hudud entah ke mana."

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula bertindak seolah-olah merekalah 'pembela atau juara' kuil.
Tetapi ketika kempen di kalangan orang Melayu di Ijok mereka menyoal orang Melayu, "Pilih kuil atau masjid?"

Orang-orang Melayu susah hendak menjawab, kerana andaian memilih BN bermakna menyokong kuil kerana calon BN dari MIC dan memilih PKR bermakna memilih masjid kerana calon PKR daripada kalangan orang Melayu.

Walaupun ini perbandingan yang salah tetapi cukup mengelirukan para pengundi. Begitulah mereka memainkan sentimen agama dan keturunan.

Baru-baru ini, Hadi merestui calon-calon bukan Islam PKR untuk mereka bersekongkol.
Di samping itu mereka berpakat dengan DAP supaya pertandingan BN dengan pembangkang menjadi satu lawan satu.

Ini satu lagi tanda lidah bercabang mereka, UMNO berpakat dengan bukan Islam dikatakan kafir.

Tetapi pakatan mereka dibolehkan atas alasan mencontohi Perjanjian Madinah.
Baru-baru ini, Pas marah-marah kerana bendera mereka diturunkan oleh pihak berkuasa tempatan di Terengganu kerana menyalahi peraturan yang dibenarkan.

Malah Pas berkata jika mereka memerintah, demonstrasi jalanan akan dibenarkan. Kepada saya ini tidak mungkin berlaku.

Ingatkah kita satu ketika dulu, Perdana Menteri kita melawat Terengganu, Pas yang ketika itu pemerintah Terengganu telah menurunkan bendera UMNO yang dipasang semata-mata bertujuan menyambut lawatan Perdana Menteri. Sedangkan Perdana Menteri diperlakukan demikian, apatah lagi rakyat biasa.

Fikirkan secara rasional. Saya kasihan melihat penyokong-penyokong mereka yang mengharapkan kepimpinan ulama tetapi yang ada tidak seperti yang mereka harapkan. Ada di antara pemimpin pembangkang yang bercakap lain tetapi perbuatan lain.

Cukuplah sampai di sini, kita akan lihat cabang lidah pembangkang dengan cukup jelas. Selamat mengundi.

1 comment:

DaRk AnGeL said...

Maaf mengganggu tapi suka sekiranye saya ingin berkongsi pendapat dgn anda..

Pertamanya, kedua2 belah pihak parti sememangnye ada perangai menjatuhkan bendera parti lawan masing2. jadi tak boleh persoalkan attitude manusia yg nak rosakkan bendera parti lawan dan jangan dibandingkan sikap individu dengan mewakilkan perangai mereka terhadap parti. Pada saya, sama je dua2. Habis cerita.

Ni yg aku malas ni kalau org cakap takde fakta dan ilmu. Kalau dilihat semula kepimpinan nabi kita dahulu, dia menjadi pemimpin terhadap bangsa yg pelbagai bangsa dan pegangan. Tanpa mengira islam ke tidak, dia adil terhadap semua. Malah takde paksaan dlm menentukan pegangan rakyat2 dia masa tuh. Hebatnye kepimpinan baginda di bawah hokum hudud yg beliau amalkan.beliau juga bertepuk tampar dgn pemimpin puak yg bukan beragama islam. takde hal la tu.

Kepimpinan DAP berkata begitu adalah krana dia kurang faham dgn konsep hokum Islam yg ingin di bawa oleh Haji Hadi. Jangan salah faham kerana bukan PAS yg kafirkan orang BN tapi org2 BN yg kafirkan diri mereka sendiri. Dan kafir ini bukan dilihat dari mereka terkeluar dari Islam tapi cara mereka yg tak ubah seperti org kafir. Meluluskan perjudian, arak2 serta rasuah yg melata adalah cara hidup org kafir. Jadi mereka yg mengkafirkan diri mereka sendiri, bukan org PAS.

Pasal kuil atau masjid saya kurang pasti tapi pada saya, itu adalah sesuatu yg tak matang. Andai ada kes ini, saya rasa kan ianya agak remeh utk dilihat. Lebih baik lihat perkara2 yg lebih besar dari pekara ini seperti, mana perginye duit cukai rakyat?

Saya lihat di sini, anda byk persoalkan sikap2 pembangkang. Saya rasakan ini adalah perlakuan biasa yg dibuat oleh pembangkang andai mereka tak setuju dgn apa yg berlaku di dalam kerajaan. Cuba bayangkan PAS dan BN bertukar kedudukan iaitu BN adalah pembangkang dan PAS adalah kerajaan. Dan BN yg tak puas hati dgn PAS pasti akan melakukan perkara yg sama kerana luahan tak puas hati dgn kerajaan.

Setakat yg saya lihat, Kelantan adalah negeri dibawah Pas malah mereka hidup aman rukun damai. Jangan kata Kelantan adalah negeri termiskin kerana menurut statistic, Kelantan adalah negeri ke-6 termiskin dan negeri miskin adalah Sabah. Living cost di kelantan masih di tahap yg sederhana dan sehingga ke hari ini, kelantan kekal di tangan PAS walupun dah lebih 40 tahun. Takde hati nak tukar tampu kepimpinan. Pada pilihan raya lepas, Terengganu jatuh ke tangan BN bukan kerana sokongan rakyat tapi terlalu byk kes2 penyelewangan yg berlaku sewaktu pilihan raya. Itu pasal wujud DEMO BERSIH.

Akhir kata, andai kata betul lah kerajaan kini telus, kenapa di rangkaian2 media kita semuanye cerita pasal BN saje? Kenapa tak telus cerita pasal phak pembangkang jugak? Mesti lah adil kepada rakyat kan? Nama pun demokrasi…

Pikir2 kan lah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...