Followers

Thursday, January 18, 2007

Pelajar lelaki tidak suka sekolah?

MELIHAT beberapa pelajar sekolah menengah yang berpakaian seragam minum-minum di kedai mamak sambil merokok, penulis cuba menyelami perasaan mereka.

Kepada soalan ‘‘Mengapa kamu tidak pergi ke sekolah?” penulis ini dapat menanggapi perspektif mengapa ada pelajar lelaki yang tidak suka sekolah.

Menurut mereka, sekolah adalah tempat yang membosankan bagi banyak pelajar-pelajar lelaki kerana suasana persekitarannya memihak dan lebih mesra kepada kaum perempuan.

Pelajar-pelajar lelaki itu berpendapat, oleh kerana majoriti penghuni sekolah adalah perempuan, maka persekitaran yang diwujudkan memihak kepada kaum hawa.

Hakikatnya adalah kebanyakan pengetua terdiri daripada perempuan. Begitu juga majoriti guru adalah wanita. Bukan itu saja, kepimpinan persatuan sekolah juga didominasi oleh pelajar perempuan. Begitu juga dengan golongan pelajar cemerlang adalah terdiri daripada pelajar perempuan.

Maka tidak hairanlah persekitaran sekolah mewujudkan budaya yang memihak kepada cita rasa wanita. Sekolah menjadi cantik, daripada landskapnya seperti halaman rumah hinggalah kepada hiasan dalaman kelas. Bukan saja bilik guru mempunyai langsir dan alas meja dan kuntuman bunga yang menampilkan cita rasa keperempuanan, tetapi juga bilik-bilik darjah.

Malah ada bilik darjah yang dihiaskan dengan langsir. ‘‘Meja pun dipakaikan skirt,” kata pelajar itu.

Budaya yang cenderung kepada cita rasa perempuan ini menimbulkan perasaan terpinggir bagi sebahagian daripada pelajar lelaki. Mereka berasakan kegiatan lasak dan sukan diabaikan.

Walaupun sekolah-sekolah aktif dalam pertandingan seperti debat, kuiz, nasyid dan choral speaking, tetapi bidang sukan dalam berbentuk permainan seperti bola sepak, hoki apatah lagi ragbi dirasakan mereka terabai.

Maka tidak dapat dibayangkan bagaimana guru perempuan mempunyai minat untuk menggalakkan pelajar-pelajar lelaki aktif dalam aktiviti fizikal seperti bola sepak dan acara perlawanan antara sekolah.

Mungkinkah ini adalah antara punca mutu bola sepak negara merosot dengan begitu teruk?

Sementara itu, kegiatan kokurikulum yang bersifat kelelakian seperti pengakap juga merosot.

Mungkin antara punca adalah persatuan-persatuan ini dipimpin oleh guru wanita kerana tidak ada guru lelaki. Untuk kegiatan berkhemah juga kurang digalakkan. Ini kerana ia melibatkan guru wanita yang kadangkala berasa sukar untuk aktif dalam kegiatan luar seumpama ini.
Cara mengajar guru wanita dan guru lelaki juga tertentu berbeza.

Ada pelajar lelaki yang mengadu bahawa mereka bosan dengan cara berleter yang menjadi sifat sesetengah guru wanita.

‘‘Sudahlah di rumah kena leter dengan emak, di sekolah kena leter pula dengan guru wanita,” kata pelajar lelaki itu.

Banyak pelajar lelaki pula cenderung dan lebih gemar terhadap pembelajaran berbentuk amali, teknikal dan di luar kelas. Tetapi kini cara pembelajaran seumpama itu sudah berkurangan.

Eksperimen sains yang dahulu menjadi perkara penting tetapi kini tidak begitu banyak diadakan. Pembelajaran bersifat akademik dan menelaah lebih memihak kepada sifat pelajar perempuan.

Akhirnya pelajar-pelajar lelaki ini akan berasa terpinggir di sekolah dan mereka akan mencari kepuasan di luar.

Apabila mereka tidak dapat meraih kejayaan di sekolah dan terus dipandang serong serta dilayan serong oleh komuniti guru wanita,tidak ada sebab untuk mereka melihat sekolah sebagai tempat yang menarik.

2 comments:

Amiene Rev said...

boleh jadi. lelaki umumnya sukakan aktiviti yang lebih mencabar kemampuan fizikal.

kajian terbaru mendapati, berdasarkan genetik otak, kaum lelaki lebih lambat menerima sesuatu yang baru berbanding wanita... ini dr. fadzilah kamsah pernah bagi tau...

sebab tu ramai wanita cemerlang dalam akademik.

Anonymous said...

pelajar lelaki malas bermula di rumah.bapa mereka gagal menjadi role model yg baik.Kalau bapanya malas, balik rumah tidur,makan dan menonton tv sahaja,maka itulah juga yang akan dilakukan oleh anak lelaki.berbeza dengan ibunya yang bekerja sepanjang masa. Jadi kesimpulannya:pelajar perempuan rajin kerana ibunya rajin.Jadi tak perlulah salahkan kepada guru parempuan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...