Followers

Thursday, August 10, 2006

BERTINDAK SEGERA TANGANI BAHAYA SYABU

KITA amat prihatin dengan ancaman serius berhubung penyalahgunaan dadah rekaan jenis syabu atau Amphetamine Type Stimulant (ATS) seperti mana yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam.

Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah berbanding dadah tradisional seperti ganja, heroin, candu dan morfin, ‘musuh baru’ ini telah menjadi pilihan semua peringkat umur dan kerjaya.

Kita sebenarnya telah pun mati akal dalam mencari penyelesaian terbaik untuk membanteras penyalahgunaan dadah tradisional, yang berakar umbi sejak sekian lama di kalangan generasi muda.

Pendek kata, dalam menghadapi dadah jenis tradisional sekalipun, kita memerlukan pendekatan yang sangat efektif untuk membendungnya daripada terus menular. Inikan pula jenis rekaan seperti syabu dan ATS dan secara terang-terangan ia lebih berbahaya daripada dadah jenis tradisional.

Kesan khayal akibat pengambilan dadah rekaan akan menyebabkan seseorang itu merasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas.
Akibat buruk pengambilan dadah rekaan di kalangan remaja pada hari ini boleh dibuktikan dengan menularnya pelbagai gejala sosial termasuk keskes jenayah seperti bunuh, rogol, samun rompak dan sebagainya.

Lebih tragis, ada segelintir pengguna syabu atau ATS yang hilang kewarasan dan menjadi sangat agresif sehingga dilaporkan sanggup bertindak membunuh anggota keluarga mereka sendiri.

Mengambil kira senario penyalahgunaan dadah jenis ATS yang dikatakan semakin berleluasa di kalangan generasi muda ini, ia bukan saja mengejutkan tetapi lebih daripada itu ia turut menuntut supaya tindakan dilakukan segera oleh semua pihak yang bertanggungjawab.
Bagi kebanyakan remaja hari ini khususnya daripada golongan menengah dan atasan, syabu atau ATS dicipta untuk memenuhi keperluan mereka – ia memberi rasa gembira, menyeronokkan, lebih bertenaga, menghilangkan rasa mengantuk selain meningkatkan tumpuan, perhatian dan aktiviti fizikal mereka.

Justeru, kita mengharapkan pihak-pihak yang bertanggungjawab lebih sedar dan mengambil serius masalah syabu dan ATS demi mengatasi masalah yang cukup meresahkan ini.
Bagi membendung masalah ini juga, kita meletakkan harapan agar jabatan perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meneliti semula undang-undang yang ada berhubung perkara seumpama itu.

Ini kerana sehingga hari ini pengedar dadah rekaan tidak dapat dikenakan hukuman berat ekoran tiada undang-undang tertentu khusus buat mereka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...