Followers

Thursday, July 27, 2006

Hizbullah halang Israel tawan Bint Jbail

BEIRUT 26 Julai – Sekurang-kurangnya 13 askar Israel terbunuh dalam pertempuran sengit dengan pejuang Hizbullah yang menghalang mereka daripada menawan bandar Bint Jbail di selatan Lebanon hari ini.

Kematian askar Israel itu dilaporkan oleh beberapa stesen televisyen Arab.
Korban jiwa tersebut adalah yang terbesar dialami oleh tentera Israel sejak melancarkan serangan terhadap Hizbullah lebih dua minggu lalu.

Di Baitulmaqdis, tentera Israel hanya melaporkan beberapa askarnya cedera dalam pertempuran sengit di Bint Jbail.

Radio Israel dalam laporan tengah harinya menyebut sekurang-kurangnya 13 askar Yahudi terkena tembakan dalam pertempuran hebat dengan 200 pejuang Hizbullah di bandar itu.
Stesen televisyen Dubai, Al-Arabiya melaporkan sekurang-kurangnya 12 askar Israel terbunuh pada hari keempat pertempuran untuk menguasai Bint Jbail.
Stesen televisyen satelit Qatar, Al-Jazeera pula menyebut sembilan askar Israel maut dan 25 lagi cedera.

Stesen televisyen Hizbullah, Al-Manar pada awalnya memetik sumber bebas sebagai berkata, seorang askar Israel terbunuh dan lima lagi cedera dalam pertempuran untuk menguasai bandar yang terletak 4 kilometer ke utara sempadan Israel-Lebanon itu.
Menurut seorang pegawai kanan Hizbullah, Mahmoud Komati, tentera Israel berjaya menawan beberapa kedudukan di Bint Jbail tetapi belum dapat menawan pusat bandar.

Hizbullah berkata ‘konfrontasi ganas’ berlaku antara pejuangnya dengan askar Israel yang cuba mara ke arah sebuah hospital di Bint Jbail, bandar Syiah terbesar di kawasan sempadan.
Pertempuran sengit berlarutan sejak beberapa hari lalu di sekitar bandar-bandar sempadan Aitaroun, Maroun Al-Ras dan Bint Jbail di mana askar Israel cuba menghapuskan pejuang Hizbullah yang melancarkan roket ke utara Israel.

Kawasan tinggi itu terletak di bahagian tengah sempadan Israel-Lebanon.
Bint Jbail yang bermaksud ‘anak perempuan gunung’ dalam bahasa Arab, secara simboliknya penting bagi Hizbullah kerana pernah menjadi pusat perjuangan menentang pendudukan Israel di selatan Lebanon dari 1982 hingga 2000.

– AP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...