Followers

Tuesday, June 20, 2006

Di Sebalik Pembebasan Abu Bakar Basyir

AMERIKA Syarikat (AS) dan Australia sekali lagi cuba dilihat mencampuri urusan undang-undang Indonesia apabila kedua-dua negara itu tidak begitu menyenangi dengan pembebasan pemimpin Majlis Mujahidin Indonesia (MMI) Abu Bakar Basyir pada Rabu lalu.
Perdana Menteri Australia, John Howard dikatakan mengirim surat kepada Presiden Indonesia, Bambang Susilo Yudhoyono meminta pihak pemerintah negara itu mengawasi kegiatan Abu Bakar.

Sementara itu, media-media utama di AS menyuarakan perasaan kecewa dengan pembebasan pemimpin MMI berkenaan kerana menyifatkan hukuman yang dikenakan kepada Abu Bakar terlalu ringan bagi seorang yang terlibat dengan keganasan.

Walaupun Howard menyatakan Australia menghormati proses undang-undang di Indonesia, tetapi negara kanggaru itu seolah-olah mahu mengajar negara lain untuk mengikut telunjuk mereka.

Sebagai negara yang berdaulat dan memperjuangkan hak asasi manusia, Indonesia berhak untuk menentukan undang-undang di negara mereka dipatuhi bukan sahaja oleh rakyatnya sendiri tetapi orang luar.

Kritikan itu dibuat kerana Australia belum dapat melupakan peristiwa pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang termasuk 88 rakyat negara itu.
Abu Bakar yang juga pemimpin sebuah sekolah agama di Solo dikaitkan dengan peristiwa keganasan di Indonesia walaupun beliau mendakwa dia telah difitnah.
Dia sendiri tidak bersetuju keganasan digunakan di kawasan yang aman untuk menentang orang yang memerangi agama Islam sebaliknya menggunakan dakwah untuk menentang mereka.

Hukuman

Abu Bakar yang merupakan pemimpin sebuah gerakan Islam itu dibebaskan oleh Mahkamah Cipinang, Rabu lalu selepas menjalani hukuman penjara selama 30 bulan.
Kritikan yang dilontarkan Australia itu juga sebagai tindak balas terhadap Indonesia yang mengecam negara itu kerana memberikan suaka politik kepada pelarian Papua tidak lama dulu hingga Indonesia menarik sementara duta besarnya dari Canberra.

Australia bimbang, pembebasan Abu Bakar akan menyebabkan berulangnya aktiviti keganasan dan atas alasan itu negara itu meminta pemerintah Indonesia “mengawasi” Abu Bakar selepas pembebasannya.

Menurut Howard, Indonesia perlu mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membekukan aset yang dimiliki dan membataskan pergerakan mereka yang terlibat dalam keganasan.
Indonesia perlu memahami reaksi keras masyarakat Australia terhadap pembebasan Abu Bakar dan peristiwa bom Bali, katanya.

Susilo dalam reaksi balasnya menegaskan bahawa pembebasan Abu Bakar adalah berdasarkan undang-undang Indonesia dan tidak boleh dikaitkan dengan komitmen pemerintah untuk membanteras keganasan.

Menentang

Katanya, perang terhadap keganasan tidak boleh diukurkan dengan pembebasan pemimpin MMI itu.

Beliau menyatakan Indonesia selama ini telah bekerjasama dengan negara lain di dunia untuk menentang sebarang bentuk keganasan bagi menjamin keamanan rakyat asing dan para pelabur di Indonesia.

“Abu Bakar menjalani hukumannya berdasarkan sistem undang-undang kita dan dia sudah menjadi warganegara yang bebas mengikut undang-undang Indonesia.

‘‘Memerangi keganasan adalah hal yang berbeza dan komitmen pemerintah terhadap perkara itu tidak pernah berubah,” kata Susilo.

Dalam perkembangan yang sama Menteri Luar Negeri Hassan Wirayuda meminta pihak asing agar menghormati sistem pengadilan di Indonesia seperti mana negara ini menghormati undang-undang di negara lain.

Howard dijadual mengadakan pertemuan dengan Susilo di Batam 26 Jun ini selepas hubungan kedua-dua negara itu dingin berhubung pelbagai isu kebelakangan ini.

Isu memerangi keganasan dijangka dibangkitkan oleh Australia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...