Followers

Wednesday, March 01, 2006

Rahsia lawatan Presiden Iran

TIDAK banyak yang boleh dicungkil mengenai butir-butir terperinci berhubung lawatan pertama Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad ke Malaysia, yang bermula hari ini.

Hanya dua hari sebelum lawatan beliau, Wisma Putra ada mengeluarkan kenyataan ringkas mengenai lawatan Mahmoud itu.

Usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai lawatan Mahmoud yang julung kali ke Malaysia itu pula tidak berjaya apabila para pegawai di Kedutaan Iran di sini enggan mengulas mengenainya.

Pegawai-pegawai di kedutaan berkenaan ketika dihubungi hanya berkata: ``Butir-butir lawatan Presiden adalah rahsia.''

Semasa lawatannya selama tiga hari ke sini, pemimpin yang dipangkah majoriti penduduk Iran dalam pilihan raya negara berkenaan pada tahun lalu dan mengalahkan bekas Presiden, Akbar Hashemi Rafsanjani itu akan membincangkan pelbagai isu selain bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin Malaysia.

Mahmoud dijangka tiba di ibu negara pada pukul 6.30 petang ini dengan disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau diiringi oleh dua menteri, dua pegawai kanan kerajaan bertaraf menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta wakil media.

Wisma Putra dalam kenyataannya kelmarin menyebut, lawatan berkenaan menjadi peluang terbaik bagi Iran dan Malaysia membincangkan pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.

Lebih daripada itu, lawatan berkenaan sebenarnya juga akan membincangkan mengenai isu nuklear Iran.

Soal nuklear Iran menjadikan negara itu ditekan dengan kuat oleh Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat lain lebih-lebih lagi selepas Teheran bertegas untuk meneruskan program memperkayakan uranium baru-baru ini.

``Pemimpin Iran itu akan memberi taklimat mengenai program nuklearnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa lawatan nanti,'' kata kenyataan Wisma Putra itu.

Inilah sebenarnya yang menjadi `tarikan' banyak pihak tetapi begitu dirahsiakan sempena lawatan Mahmoud ke Malaysia.

Menjadikan lawatan berkenaan lebih menarik, Mahmoud mengadakan lawatan `tepat' dan `kena' pada waktu serta tempatnya pada masa ini Malaysia menjadi Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Iran menjadi anggota kedua-dua pertubuhan berkenaan.

Isu-isu dua hala dan hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Teheran tidak pernah dilanda masalah. Begitu juga dalam soal ekonomi dua hala. Ia hanya perlu diperkukuhkan sahaja.

Justeru, pada pandangan beberapa pihak, kesan perbincangan mengenai isu nuklear lebih menarik untuk diikuti.

Kenyataan oleh Wisma Putra menambah, selain membincangkan mengenai isu kepentingan bersama serta taklimat isu nuklear, Mahmoud juga akan memberi ceramah awam mengenai isu-isu antarabangsa dan peranan dunia Islam anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar.

Begitu juga dengan majlis rasmi lain, pemimpin Iran yang kontroversi itu dijadual menghadiri jamuan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia.

Pada masa ini, isu nuklear Iran menyebabkan Barat tidak sudah-sudah mahu memberi tekanan kepada Teheran.

Justeru ia menjadi satu perkembangan dunia paling mendesak untuk diselesaikan selain konflik di Asia Barat.

Hal itu dikatakan mengundang lebih tekanan buat Iran apabila Barat mahu membawa isu berkenaan ke perbincangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jika itu berlaku, ia boleh membawa kepada sekatan ekonomi di Iran, sebuah negara Islam yang boleh dianggap miskin selain bergelut dengan masalah ekonomi.

Sejak menjadi Presiden akhir tahun lalu, Mahmoud tidak pernah kering daripada membuat kenyataan kontroversi.

Nuklear

Mengenai isu nuklear Iran sendiri, beliau berulang kali bertegas bahawa Teheran dan rakyatnya tidak gentar menghadapi ugutan dari Barat dan `musuh-musuhnya' tetapi menggelarkan AS sebagai `syaitan besar'.

Barat sebelum ini berkata, tindakan ketenteraan boleh dikenakan untuk mengajar `kedegilan' Teheran dalam menggantung program nuklearnya.

Malahan AS melalui Presiden George W. Bush pernah menggelar Iran sebagai negara paksi kejahatan bersama-sama Iraq dan Korea Utara.

Sebagai hukumannya, Iraq telah diserang manakala Korea Utara berdepan dengan padah sekatan ekonomi sehingga menyukarkan kehidupan rakyat di negara komunis itu.

Rundingan yang turut disertai AS bersama lima negara lain berhubung program nuklear Korea Utara sehingga kini masih diteruskan.

Seperti Korea Utara, Iran dipencilkan kerana dikatakan cuba membangunkan senjata nuklear sekalipun telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Teheran.

Iran menyatakan program nuklearnya adalah untuk tujuan awam bukan berniat mencetuskan kemusnahan kepada dunia.

Dalam pada itu, Rusia dan China dikatakan tidak akan menyebelahi AS atau Britain jika negara kuasa besar itu mengundi di Majlis Keselamatan supaya sekatan dikenakan akibat program nuklear di Iran.

Walaupun dalam hal ini, Iran mendapat sokongan beberapa buah negara, itu barangkali tidak memadai.

``Justeru, lawatan kali ini memungkinkan ada peluang bagi Iran mengumpul sokongan, apalagi atas kapasiti Malaysia sebagai pengerusi OIC dan NAM.

``Iran sudah pasti menggunakan peluang keemasan ini meminta sokongan Malaysia dan meyakinkan Kuala Lumpur berhubung program nuklear mereka,'' kata seorang penganalisis politik Asia Barat yang enggan dikenali kepada Utusan Malaysia.

Jika Iran berjaya meyakinkan OIC dan NAM berhubung program nuklearnya pada lawatannya kali ini, sudah pasti ia akan menimbulkan sedikit kontroversi - ketika mana Barat beria-ia memberi tekanan berhubung soal sama.

Barangkali itu sebabnya, butir-butir lawatan Presiden Iran berkenaan dirahsiakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...