Followers

Saturday, January 28, 2006

Pelajar hilang ditemui mati dipercayai dirogol

JOHOR BAHRU 27 Jan. - Seorang pelajar perempuan yang hilang semasa menunggu bas sejak dua hari lalu ditemui mati di dalam longkang dipercayai dirogol sebelum dibunuh di Bandar Baru Uda (BBU) di sini hari ini.

Mayat Safiqah Mohd. Borhan, 15, pelajar Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) ditemui di dalam longkang sedalam kira-kira dua meter di Jalan Padi Huma di sini oleh seorang pelajar sekolah kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Mangsa merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya dan pernah mendapat keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2003.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, seorang pelajar sekolah yang dalam perjalanan dari rumahnya ke sekolah berdekatan ternampak mayat mangsa berada di dalam longkang.
Beliau berkata, pelajar terbabit terus berlari ke sekolah dan memberitahu gurunya bahawa dia terlihat mayat di dalam longkang tersebut.

Menurut beliau, guru sekolah terbabit telah menghubungi polis bagi memaklumkan perkara itu dan pihak polis telah menghantar sepasukan anggota bagi menyiasat mayat tersebut.

``Siasatan awal mendapati terdapat kesan luka di kepala, lebam di leher dan lutut mangsa.

``Selain itu, mangsa yang masih lengkap berpakaian sekolah ditemui dalam keadaan kain terselak ke atas manakala seluar dalam terlucut ke bawah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rahim berkata, pihaknya juga turut menemui kesan seret di atas jalan berhampiran tempat kejadian.
Beliau memberitahu, dua hari lalu, mangsa sedang menunggu bas sekolah di jalan tersebut awal pagi selepas keluar dari rumahnya di Jalan Barli 2/3 di sini.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga petang pada hari tersebut, mangsa tidak pulang ke rumah dan menimbulkan keresahan ibu bapanya yang bimbang dengan keadaan keselamatan anaknya.

Tambahnya, berikutan itu bapa mangsa telah membuat laporan polis pada Rabu lalu berhubung kehilangan anak mereka.

Jelas Rahim, setakat ini pihaknya masih belum lagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan dipercayai ia dilakukan lebih daripada seorang.
Kata beliau, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian pelajar itu dan mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan bedah siasat akan dijalankan esok.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan terhadap kes itu.

Sementara itu seorang rakan mangsa, Fairuz Amalina Baharuddin berkata, Allahyarham Safiqah telah berjanji dengan kawannya untuk pergi bersama-sama ke sekolah dan bertemu di tempat kejadian kerana meraikan persaraan guru besar sekolah itu pada hari Rabu lalu.
Katanya, dia mengambil keputusan menaiki bas sekolah seorang diri selepas rakannya itu tidak muncul di tempat biasa.

Bagaimanapun tambahnya, dua hari sebelum kejadian itu, mangsa telah memberitahu kepadanya bahawa dia tidak mahu ke sekolah tanpa menyatakan sebarang alasan.
``Saya pun hairan mengapa Safiqah menghilangkan diri selama dua hari kerana Allahyarham merupakan rakan karib dan duduk di sebelah meja saya,'' katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...