Followers

Sunday, January 29, 2006

Islam hormati orang lain

SEJAK tercetusnya kes M. Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah, isu ini terus menjadi bahan perbualan dan perbahasan pelbagai komponen masyarakat.

Apa yang lebih mendukacitakan ada cubaan menggambarkan seolah-olah Islam adalah agama yang tiada tolak ansur dan kompromi terhadap masyarakat bukan Islam. Ini cuba dijustifikasikan oleh segelintir melalui keputusan Mahkamah Syariah yang kononnya dikatakan tidak adil dalam memaksakan status keislaman Allahyarham Mohamad Abdullah.

Bagi segelintir lain berkepentingan pula cuba menangguk di air yang keruh dengan mencetuskan polemik baru melalui provokasi dan tuntutan tidak wajar yang lebih terdorong kepada nilai perkauman sempit dan berkepentingan politik tertentu.

Sikap segelintir masyarakat ini lebih jelas terpancar apabila dalam kes Nyonya Tahir yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban sebagai kekal status bukan Islamnya, mereka yang sinis tadi tidak pula memberi reaksi malah membisu semacam hilang pertimbangan objektif dalam menilai sesuatu keputusan.

Penulis tidak berhajat untuk merungkai episod ini melalui perspektif perundangan kerana ia telah banyak dibahaskan sebelum ini. Namun apa yang pasti, hakikat yang harus diterima oleh semua pihak ialah sesuatu hukuman tidak kira oleh mahkamah Sivil mahupun Mahkamah Syariah dibuat berasaskan fakta yang dikemukakan.

Dalam kedua-dua kes Mohamad Abdullah dan Nyonya Tahir umpamanya, Mahkamah Syariah hanya membuat keputusan berdasarkan fakta dan keterangan saksi yang dikemukakan.

Masalahnya bukannya isu keadilan yang dipertikaikan sangat tetapi sikap segelintir berkepentingan yang cuba mensensasikan dan mempolemikkan isu-isu membabitkan agama dan kaum seperti ini dengan mencetuskan provokasi-provokasi yang hanya boleh menjejaskan struktur kemajmukan yang selama ini terbina secara harmonis.

Persoalannya benarkah Islam agama diskriminasi yang tidak memberi ruang keadilan kepada minoriti bukan Islam? Mengapakah selepas hampir 50 tahun merdeka masih timbul permasalahan dan pertikaian mengenai isu-isu perlembagaan yang disepakati bersama?

Atau apakah integrasi nasional yang ada hanyalah ungkapan kosmetik yang tidak pernah tercerna di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini?

Dalam konteks inilah, sejarah harus kembali ditelaah oleh generasi pewaris negara hari ini agar lebih menghargai suasana keharmonian kaum yang wujud, sekali gus memaksa semua pihak bertolak ansur dan berlapang dada antara satu sama lain.

Jika ditelusuri dan difahami faktor sejarah, dasar mempertahankan Islam sebagai agama rasmi sebagaimana terangkum di dalam perlembagaan berkait rapat dengan kontrak sosial atau kompromi politik yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan.

Persepakatan atau perjanjian antara kaum dan agama ini menetapkan bukan bumiputera yang layak akan diberi kewarganegaraan dan mereka bebas mengamalkan agama dan budaya mereka serta mempelajari bahasa ibunda masing-masing. Pada masa yang sama syarat balas yang diterima ialah kaum bumiputera berhak mendapat beberapa pertimbangan istimewa dalam bidang pekerjaan, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi ialah bahasa Melayu, agama persekutuan adalah agama Islam dan institusi kesultanan dikekalkan.

Kesediaan kepemimpinan Melayu pada waktu itu menerima masyarakat majmuk sebagai teras pembentukan negara merdeka adalah pengorbanan yang cukup besar walaupun terpaksa mengetepikan impian pejuang nasionalis Melayu terdahulu untuk mewujudkan negara Melayu sejati.

Antara faktor terpenting yang mendasari perubahan sikap dan orientasi kepemimpinan Melayu pada waktu itu adalah sedikit sebanyak terkesan daripada nilai universal Islam yang menjadi tema perjuangan nasionalisme Melayu Islam pada ketika itu.

Islam sebagai sistem akidah dan falsafah hidup sememangnya menekankan prinsip keadilan dalam setiap perkara. Keadilan dalam Islam tidak pernah mendiskriminasi kaum mahupun masyarakat berlainan agama. Malah Islamlah satu-satunya agama yang merumuskan secara tuntas prinsip penerimaan terhadap golongan bukan Islam, asal saja mereka tidak memusuhi masyarakat Islam.

Sikap akomodatif Islam ini terungkai melalui firman Allah dalam surah al-Mumtahinah ayat 8 yang bermaksud; Allah tidak menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu dan tidak menghalau kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah itu kasihkan orang yang berlaku adil dan saksama.

Sejarah awal perkembangan Islam banyak mencoretkan fakta membuktikan betapa nilai akomodatif dan prinsip keadilan Islam inilah yang menjadi teras kekuatan tamadun Islam berabad lamanya. Malah penghayatan dan pemartabatan Islam dalam kehidupan bermasyarakat menatijahkan suasana harmonis walaupun berlainan agama, bangsa, budaya dan pola pemikiran.

Ini dibuktikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. ketika membina dan mendirikan kerajaan Islam terawal di Madinah. Ketika itu, mengikut sesetengah riwayat, hanya ada beberapa ratus sahaja umat Islam, sedangkan penduduk Madinah dianggarkan sekitar 5,000 hingga 10,000 orang. Orang Yahudi pula dikatakan separuh daripada jumlah tersebut.

Dalam upaya Nabi Muhammad mewujudkan persefahaman antara pelbagai kelompok dalam masyarakat Madinah pada waktu itu, terbentuklah perlembagaan pertama yang dikenali sebagai Sahifah iaitu kanun tingkah laku atau piagam yang memperincikan hak dan kewajipan pemerintah dan rakyat. Catatan mengenai Perlembagaan ini banyak diterangkan oleh Ibn Ishaq, Abu Ubaid, Ibn Kathir, Ibn Abi Kyathaman dan lain-lain.

Menurut Ibn Ishaq, Perlembagan Madinah turut merangkumi asas hubungan dan penyatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar, termasuk juga beberapa fasal penting mengenai perjanjian dengan kaum Yahudi. Antara lain fasal mengenai jaminan agama dan harta serta peruntukan mengenai kewajipan masing-masing terhadap negara dan kaum lain.

Jumlah keseluruhan fasal yang terkandung di dalam Piagam Madinah ini adalah 47 fasal. Dua puluh empat daripadanya menyentuh peruntukan hak dan kewajipan orang Yahudi yang merupakan kelompok minoriti bukan Islam.

Perlembagaan pertama dalam sejarah peradaban Islam ini adalah manifestasi pendirian Islam berteraskan prinsip keadilan yang tercermin melalui sikap dan peribadi Rasulullah yang bersedia berunding dan menjamin hak masyarakat bukan Islam di Madinah berpandukan ayat 159 dari surah Ali-Imran; Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau bersikap lemah lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan pohonlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan sosial keduniaan itu.

Dasar akomodatif yang menerima dan menjamin hak masyarakat bukan Islam ini juga turut dipraktikkan dan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin Islam selepas Rasulullah. Sebagai contoh, Khalifah Umar pada tahun 638 Masihi telah membenarkan kaum Yahudi kembali ke bumi Palestin buat sekian kalinya setelah berabad lama dihalau, diseksa dan dipinggirkan oleh empayar Rom.

Begitu juga pada tahun 1099, apabila puak Kristian menawan Palestin, disebutkan oleh para sejarawan betapa bumi Palestin pada ketika itu senantiasa dibasahi darah orang yang tidak berdosa. Sebaliknya, apabila Salahuddin al-Ayubi berjaya menakluki kembali Palestin pada 1187, bukan sahaja kaum Yahudi sekali lagi terbela, malah rakyat beragama Kristian turut dijamin hak sebagai rakyat dan diberi kebebasan beragama dan berbudaya seperti kelompok masyarakat lain.

Pemerintahan Islam di Andalusia dari tahun 711 hinggalah kejatuhan Granada pada tahun 1492 turut digambarkan oleh sejarawan bukan Islam seperti Jeffrey Lee, sebagai zaman keemasan di mana masyarakat berbilang agama dapat hidup secara harmonis tanpa diskriminasi. Ini berbeza sama sekali apabila kerajaan Kristian Katolik mengambil alih di bawah pimpinan Raja Ferdinand dan Isabella yang bukan sahaja menghalau orang Islam dan Yahudi dari bumi Sepanyol malah turut membunuh mereka yang ingkar keluar.

Ini adalah sebahagian coretan sejarah yang membuktikan betapa percikan Islam yang terpancar melalui sikap dan tindakan masyarakat Islam yang mendukung prinsip keadilan untuk semua memungkinkan Islam tersebar luas dan diterima seantero dunia.

Sikap berlapang dada dan penuh hikmah berteraskan nilai Islam inilah yang turut mewarnai prinsip dan budaya kepimpinan Melayu Islam dari dulu hingga sekarang dan memungkinkan kerjasama kaum sejak merdeka lagi. Bahkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu Islam dalam menangani polemik perkauman dari semasa ke semasa telah menatijahkan suasana harmonis yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Justeru, untuk meneruskan kesinambungan persefahaman yang sedia terjalin di antara pelbagai kaum di Malaysia hari ini, sebarang unsur-unsur provokasi mahupun tuntutan tidak wajar yang membelakangi prinsip toleransi dan kesepakatan yang telah lama dipersetujui bersama haruslah dielakkan.

Ini pastilah memerlukan ketelusan dan ketulusan semua pihak bagi menjamin keharmonian masyarakat Malaysia terus terjana dan dipertahankan. Apa yang penting sebarang masalah haruslah ditangani secara hikmah, beradab dan tidak terlalu taksub meletakkan kepentingan kelompok melebihi kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya.

- Dr. asyraf wajdi DUSUKI ialah Pensyarah Kulliyyah Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...