Followers

Thursday, October 13, 2005

Lagu lama raya pilihan kami

SEMINGGU puasa bermula, lagu-lagu raya mula menjadi pilihan penyampai radio dan semakin rancak dengan ketibaan Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan, sekaligus membangkitkan suasana raya. Dendang Perantau, Selamat Hari Raya, Cahaya Aidilfitri, Suara Takbir dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf antara lagu-lagu yang tidak dinafikan sebagai penyeri sambutan setiap kali lebaran.Kehebatannya melodi, lirik dan sinonim suara penyanyi dulu dengan setiap lagu, sukar dipisahkan. Sehingga hari ini, karya lama masih menjadi pilihan ‘mood’ raya.Bagaimanapun, lagu-lagu baru untuk sambutan setahun sekali itu tetap ada keistimewaannya, termasuk Suatu Hari Di Hari Raya nyanyian M Nasir, Sesuci Lebaran (Siti Nurhaliza) dan Ku Pohon Doa Restu (Mamat).Baik yang muda atau tua, pasti ada lagu raya yang disukainya, sama ada kerana lirik atau melodi yang mungkin berkaitan dengan mereka atau keluarga.Setiap mereka ada cerita tersendiri, seperti Mohamad Khairul Nizam Mohamad Wahi (Khai) yang menyukai lagu nyanyian Allahyarham Saloma, Selamat Hari Raya yang disifatkannya berjaya membangkitkan ‘selera’ sambutan Hari Raya. Selain muzik, kata Khai, suara latar kanak-kanak yang meminta sepotong kuih.“Itu antara yang menggambarkan suasana lebaran. Sejak darjah tiga lagi, saya sukakan lagu itu. Susah untuk saya katakan, tetapi Selamat Hari Raya nyanyian Saloma benar-benar membangkitkan kemeriahan Hari Raya. Kalau tiada lagu itu, rasanya kurang berseri sambutan raya.“Satu lagi lagu ialah Dendang Perantau oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjaya mengimbau kehidupan perantau. Syahdu sungguh lagu itu,” kata Khai ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran MIG di Petaling Jaya, minggu lalu.Turut berkongsi minat terhadap Dendang Perantau ialah Umie Aida, yang membuatkannya terbayangkan keindahan desa.“Saya cuma dapat membayangkan keindahan beraya di kampung sebab saya tiada kampung, kampung saya hanyalah Kuala Lumpur,” katanya.Pengacara kontroversi, Azwan Ali, juga antara peminat Dendang Perantau kerana liriknya yang banyak simbolik di sebalik kata-kata ringkas.“Kalau kita tafsir lirik Dendang Perantau, maknanya sangat mendalam mengenai kasih sayang, semangat dan ikatan. ‘Hanya rangkaian kata dengan lagu, dendang perantau’... Lagu ini sesuai ditujukan kepada mereka yang jauh,” kata Azwan.Lain pula dengan Serina Redzuawan yang memilih lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang disifatkannya sebagai ucapan keinsafan. Lagu sentimental ciptaan S Atan dan Haron Abdul Majid itu menceritakan mengenai insan di perantauan yang tidak pulang beraya di kampung.“Entahlah, setiap kali mendengar lagu itu, ia cukup menyentuh dan bererti buat saya. Sejak dulu saya meminati lagunya, nyanyian Sudirman pula memang mendayu,” kata Serina yang turut menyukai lagu Sesuci Lebaran nyanyian Siti Nurhaliza.Selain Khai, Siti Nurhaliza dan Misha Omar juga antara peminat lagu Dendang Perantau yang dianggapnya mampu menyuntik semangat Aidilfitri di kalangan anak-anak muda yang berhijrah ke kota. Lirik mengenai keindahan kampung halaman juga menggamit untuk mereka pulang ke kampung, menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara.Seorang lagi bekas pelajar Akademi Fantasia 1, Adi Fashla, yang kini bertugas sebagai penyampai radio X-Fresh, juga meminati lagu Dendang Perantau yang disifatkannya lagu tema Hari Raya.“Lagu ini cukup menyentuh, lebih-lebih lagi kepada perantau. Ketika saya belajar di kolej, lagu Dendang Perantau menjadi pengubat kerinduan keluarga di kampung.“Suara Saloma juga sedap didengar melalui lagu Selamat Hari Raya, inipun seperti lagu tema juga. Ingat lagi ketika kecil, lagu ini antara yang membuat saya gembira menyambut raya,” kata Adi.Temannya, Sahri, menyukai Kepulangan Di Hari Raya oleh Aman Shah. Muzik dan lirik lagu itu memberinya suasana baru untuk menyambut raya.“Saya juga suka lagu Sanisah Huri, Suasana Di Hari Raya. Lagu-lagu dulu berjaya menceritakan suasana kemeriahan Hari Raya,” kata Sahri.Orang lama seperti Norlia Ghani pula berasakan, lagu Selamat Hari Raya nyanyian Fazidah Joned bagaikan suatu kemestian menyambut Hari Raya.“Aidilfitri hari bahagia, hari yang mulia. Bila dengar lagu itu, saya dapat rasakan kemeriahan Hari Raya, sama juga lagu dengan Jingle Bells untuk Krismas. Bukan saya tidak suka lagu baru, tetapi ia tidak bertahan lama, tidak akan jadi evergreen seperti lagu raya lama.“Mungkin seni kata lagu lama betul-betul menjiwai suasana raya. Kalau lagu baru pun, saya suka Sesuci Lebaran oleh Siti Nurhaliza,” katanya.Bagi Anita Sarawak, lagu raya kegemarannya ialah Suara Takbir oleh Tan Sri P Ramlee yang turut dinyanyikannya dalam program Rumah Terbuka terbitan Astro. Kata Anita, melodi dan muzik Suara Takbir cukup syahdu yang mampu meresapi makna Aidilfitri.Manakala Siti Nordiana meminati irama Senandung Rindu nyanyian Dayang Ku Intan. Katanya, lagu itu sesuai sangat dengan suara Dayang dan akan kedengaran lain jika orang lain nyanyikan.Rakannya, Syura, menyukai lagu Ku Pohon Doa Restu (Mamat) kerana dirasakan mampu menonjol keinsafan dan kesedihan di hari lebaran.“Hari Raya tidak semestinya kita bergembira, tetapi lagu itu mengingatkan kita kepada restu ayah ibu. Lebih terasa kerana ayah Syura sudah tiada lagi,” katanya.Ku Pohon Doa Restu turut bermakna buat pelakon baru, Que Haidar. Hidup sebagai perantau yang jauh daripada ibu bapa dan keluarga membuatkannya amat ‘terasa’ setiap kali mendengar nyanyian Mamat itu.Minat Irwan Shah kepada lagu Suasana Hari Raya oleh Anuar Zain dan Ellina Razak bertambah apabila sering kali disuruh menyanyikan lagu itu ketika membuat persembahan Aidilfitri di Sabah.Menurut Syafinaz Selamat, dia dibesarkan dengan lagu-lagu raya lama, tetapi yang cukup terlekat di hatinya ialah Selamat Hari Raya (Saloma).“Bukan lagu baru tidak bagus, tetapi mungkin sejak kecil saya didedahkan dengan lagu-lagu itu. Saya cukup suka dengan Selamat Hari Raya oleh Saloma,” katanya.Selamat Hari Raya!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...