Followers

Friday, September 30, 2005

Pulau Pinang isytihar `perang' wabak denggi

BALIK PULAU 29 Sept. - Kerajaan negeri hari ini mengisytiharkan `perang' habis-habisan menentang wabak demam denggi yang sehingga hari ini telah mengorbankan lima nyawa.
Serentak itu, semua pejabat daerah dikehendaki mengadakan gotong-royong besar-besaran di daerah masing-masing dengan diketuai oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ketika mengumumkan perkara itu menggesa setiap keluarga serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya berkerjasama dengan memastikan kebersihan di kawasan persekitaran mereka.
Katanya, walaupun langkah pencegahan termasuk pengasapan dilakukan sebelum ini, namun kes-kes demam denggi terus meningkat kerana setiap keluarga tidak menjalankan peranan mereka dan mengambil mudah mengenai perkara itu.
``Kita mahu ada gerakan masyarakat secara besar-besaran untuk menentang wabak ini. Pengasapan bukanlah langkah tunggal dan paling berkesan mencegah denggi, tapi yang paling berkesan ialah menghapuskan punca pembiakannya.
``Oleh itu, saya rayu bantuan dan kerjasama semua pihak supaya berwaspada jika ada air bertakung, pastikan ia ditimbus atau dimasukkan ubat pencegah nyamuk iaitu `abate'.
``Penglibatan masyarakat amat penting. Inilah satu-satunya yang harus kita usahakan bersama,'' katanya selepas taklimat denggi dan melawat pesakit-pesakit demam denggi di Hospital Balik Pulau hari ini.
Selepas itu, beliau turut melawat kampung yang berisiko tinggi terhadap serangan wabak itu iaitu Kampung Paya dan Kampung Sungai Batu di Teluk Kumbar.
Ketika melawat Kampung Sungai Batu, Tsu Koon turut mengambil kesempatan menziarahi keluarga anggota polis yang menjadi mangsa terbaru denggi di Pulau Pinang, Lans Koperal Abd. Rahim Mohamad Nor, 46, yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 1 pagi ini.
Selain kedua-dua buah kampung itu, antara kawasan lain yang berisiko tinggi ialah Kampung Binjai, Bayan Lepas; Kampung Nelayan, Teluk Kumbar; Tingkat Nibung, Bayan Baru; Jalan Pantai Jerejak, Sungai Nibung, Persiaran Mayang Pasir, Bukit Gedong dan Blok A, Sungai Nibong Besar.
Tsu Koon memberitahu, pemerhatian mendapati kesemua kawasan yang berisiko tinggi mempunyai corak yang sama iaitu menghadapi masalah air bertakung akibat longkang tersumbat.
Sebab itu, beliau mengarahkan pejabat daerah, ADUN serta JKKK kawasan itu memastikan air yang bertakung dialirkan secepat mungkin dan jika tidak boleh, ia perlu ditimbus.
``Kita juga akan mengedarkan ubat `abate' dan kit COMBI untuk mengesan kehadiran larva nyamuk aedes dalam air kepada JKKK supaya pemeriksaan ke atas tempat-tempat pembiakan nyamuk itu akan lebih berkesan,'' ujarnya.
Tsu Koon memberitahu, bilangan pesakit demam denggi di Pulau Pinang yang masih menerima rawatan setakat hari ini ialah sebanyak 87 orang.
Katanya, 56 pesakit kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Balik Pulau (20 pesakit) dan seorang pesakit di Hospital Bukit Mertajam manakala 10 pesakit menerima rawatan di hospital-hospital swasta.
Sementara itu, statistik menunjukkan kes demam denggi yang dilaporkan di hospital-hospital dari Januari hingga semalam adalah sebanyak 244 kes iaitu 105 lelaki, perempuan (113 orang) dan kanak-kanak (26 orang).
Bagi kes yang disahkan mengikut daerah ialah 104 kes di kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), daerah Timur Laut (147), Barat Daya (267), Seberang Perai Utara (29), Seberang Perai Tengah (40) dan Seberang Perai Selatan (33).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...