Followers

Thursday, July 14, 2005

Punca remaja menjadi penjenayah

SATU hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah jumlah pelajar yang terlibat di dalam jenayah kini semakin meningkat.Barangkali kita masih belum lupa dengan peristiwa penangkapan seorang pelajar berumur 16 tahun yang ponteng sekolah selama 88 hari dan berjaya menembusi masuk 35 rumah serta mencuri.
Menurut perangkaan, sehingga Mei lalu, 605 daripada 1,048 pelajar sekolah yang ditangkap terbabit dengan kegiatan jenayah.
Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Negara (YPJN) mendedahkan bahawa pada tahun 2004 jumlah tahanan remaja untuk tempoh 10 bulan ialah seramai 4,674 dengan 2,377 adalah pelajar.
Namun angka sebenar agak sukar diperoleh kerana tidak kesemua kes dilaporkan.
Perlu diingatkan bahawa statistik polis adalah berdasarkan kepada bilangan yang ditangkap atau ditahan tetapi bukan kesemuanya didapati bersalah oleh mahkamah manakala bilangan statistik dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) merupakan kes di mana laporan pemulihan diperlukan. Dalam tempoh 10 tahun lepas ia memperlihatkan corak perubahan yang ketara apabila kes juvana meningkat daripada 4,931 pada tahun 1994 kepada 5,562 pada tahun 2003, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus.
Siapa yang bertanggungjawab sehingga jumlah pembabitan remaja di dalam kancah sebegini meningkat merupakan soalan biasa ditujukan baik kepada ibu bapa atau kerajaan.
Ada baiknya jika diselidiki punca berlaku jenayah di kalangan mereka apabila membincangkan soal tersebut.
Jenayah di kalangan remaja mewakili fenomena yang berbeza-beza.
Tetapi, apabila kesemua faktor dianalisis, ia secara langsung dan tidak langsung terikat dengan persekitaran keluarga.
Ini merangkumi corak keluarga bermasalah yang boleh membawa kesan kepada anak-anak remaja.
Kehilangan ketua keluarga turut menyumbang terhadap hal-hal melibatkan mata pencarian, kasih sayang dan idola mereka.
Remaja boleh merasa tertekan secara emosi disebabkan kekurangan kasih sayang ibu bapa. Anak-anak yang diabaikan dan seolah-olah merasakan dirinya ditolak oleh keluarga sememangnya dahagakan kasih sayang.
Justeru, kehadiran ahli kumpulan di luar rumah sebagai sumber baru memenuhi ruang tersebut menyebabkan mereka merasakan ada sokongan emosi baru.
Malangnya, kumpulan di luar ini selalunya gagal menyediakan sokongan sewajarnya tetapi menggunakan kelemahan remaja ini untuk menarik mereka ke kancah kurang menyihatkan.
Faktor lain yang perlu diberi perhatian adalah kemahiran didikan ibu bapa.
Mengikut kajian-kajian terdahulu, kemahiran didikan ibu bapa yang positif, bersesuaian dengan prinsip membesarkan anak mereka di dalam persekitaran yang baik, mempunyai persefahaman, memiliki sifat sayang-menyayangi, bertanggungjawab serta mengutamakan disiplin dapat mengembangkan kendiri anak di dalam proses membesarkan anak mereka.
Ibu bapa yang bertindak kasar terhadap anak mereka dan sering menggunakan komunikasi yang kurang berkesan serta tidak mempunyai disiplin diri memperlihatkan kelemahan ke atas anak mereka sekali gus menyebabkan anak mengambil sikap sambil lewa terhadap hubungan kekeluargaan.
Selebihnya, sikap sesetengah ibu bapa yang mengambil kesempatan di atas kelemahan anak mereka dari segi fizikal dan emosi sehingga melakukan gangguan seksual juga merupakan faktor penyumbang di sisi lain.
Begitu juga dengan idola yang kurang sesuai.
Sesetengah remaja terikut-ikut dengan perwatakan idola masing-masing baik daripada kalangan juruhebah radio, penyanyi dan pelakon sehingga pada tahap serius menjejaskan kehidupan mereka. Kebelakangan ini pula, pembabitan artis di dalam budaya penyelewengan agak ketara iaitu ajaran sesat dan penagihan dadah.
Apa akan berlaku kepada remaja yang meletakkan artis ini sebagai idola mereka?
Begitu juga dengan bahan bacaan picisan dan majalah yang menyiarkan elemen kurang sesuai untuk tatapan remaja.
Remaja wajar bertanggungjawab ke atas persekitaran baru mereka.
Lantaran itu, mereka mesti memiliki jati diri yang kuat untuk berdepan dengan segala bentuk cabaran dan perubahan supaya tidak hanyut. Timbul pula persoalan apakah yang harus dilakukan untuk menangani remaja bermasalah sebegini.
Dalam hal ini, pendekatan yang terbaik adalah pencegahan. Terdapat tiga tahap pencegahan iaitu di peringkat rendah, menengah dan atasan.
Pencegahan rendah dirujuk kepada jumlah penduduk secara keseluruhannya.
Ia bertujuan mengubahsuai dan melakukan perubahan ke atas persekitaran fizikal serta sosial yang menyumbang kepada masalah ini.
Pencegahan menengah pula ditujukan terhadap kumpulan sasaran atau individu tertentu iaitu mereka yang bermasalah dengan tujuan mengubah corak tingkah laku terutama mereka yang berisiko untuk terlibat di dalam jenayah.
Ketiganya, pencegahan atasan disasarkan kepada remaja yang dikenal pasti sudah menyeleweng.
Ini kita boleh anggap sebagai pencegahan berbentuk pemulihan supaya sikap mereka dapat diubah dan akhirnya membawa mereka ke jalan sebenar sebagai seorang yang berguna.
Masyarakat harus menerima, memberi peluang kedua dan tidak melabel mereka sebagai `budak jahat' kerana stigma ini bukan membantu sebaliknya menambahkan tekanan ke atas mereka.
Lazimnya, kita mahu remaja memahami kedudukan kita, tetapi kajian menunjukkan sejajar dengan perkembangan semasa, keluarga atau ibu bapa memainkan peranan yang lebih dominan untuk mendengar, memahami dan mendekati anak-anak mereka supaya remaja ini merasakan `suara mereka penting'.
Didikan agama juga penting supaya perkembangan kendiri seseorang itu seimbang, bukan semata-mata mengutamakan pencapaian di dalam bidang tertentu sehingga mengabaikan pembentukan akidah.
Dalam pada itu, ibu bapa perlu peka dengan keperluan serta persekitaran remaja ini.
Hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih baik jika ibu bapa kepada rakan sebaya anak turut dikenali, mengetahui apakah aktiviti yang mereka jalankan dan sejauh mana perkembangan semasa turut mempengaruhi minat dan perbualan mereka.
Pemantauan berterusan akan membolehkan remaja yang berkualiti, bukan sahaja cemerlang di dalam bidang akademik tetapi seimbang dari segi memiliki peribadi unggul. Pembabitan remaja terutamanya pelajar sekolah di dalam jenayah perlu diterokai secara lebih mendalam.
Semua pihak harus memainkan peranan yang saksama tanpa menyalahkan mana-mana pihak termasuk ibu bapa.
Amalan agama mesti dijadikan sebagai asas ke arah pembentukan keluarga yang bahagia kerana ia tidak mengenal latar belakang sosioekonomi sesebuah keluarga.
Jenayah di kalangan remaja dapat dibendung sekiranya transformasi nilai dapat dilakukan ke arah melahirkan remaja yang berkebolehan dan cekap di dalam bidang yang dipelopori.
- DR. SIVAMURUGAN PANDIAN ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

1 comment:

Intan Bayuti said...

Jenayah yang dilakukan oleh remaja dewasa ini sememangnya menjadi satu kebimbangan kepada masyarakat, terutamanya ibu bapa.Sebenarnya, kehilangan jati diri dan juga kurangnya perhatian dari ibu bapa terhadap anak-anak merupakan faktor yang menggalakkan perkara ini berlaku.Apa tang perlu di lakukan adalah cuba mendalami konflik yang berlaku kepada anak-anak dan cuba memahaminya. Jangan membandingkan corak kehidupan kita dengan mereka,kerana zaman mereka mempunyai cabaran yang lebih hebat dari kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...