Followers

Tuesday, July 19, 2005

Cuba menabung bukan berhutang

Sejak kebelakangan ini perhatian kita sering tertumpu kepada isu kebolehpasaran graduan dan juga isu daya saing serta peluang pelajar Melayu ke insitusi pengajian tinggi.
Rata-rata meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas bahu dasar meritokrasi pendidikan tinggi dan juga keterbukaan peluang pinjaman pendidikan terhadap pelajar Melayu.
Antara cadangan yang sering kita dengar dan lihat di kaca televisyen dan juga di dada surat khabar menyatakan bahawa kerajaan perlu mengkaji semula dasar meritokrasi agar persaingan sama rata perlulah diberikan kepada pelajar Melayu.
Selain itu terdapat sesetengah individu yang berpendapat bahawa peluang pinjaman pendidikan perlulah diperluaskan melalui penglibatan institusi kewangan yang menyeluruh selain usaha kerajaan menambah peruntukan melalui PTPTN dan juga Mara.
Ramai yang menyatakan bahawa terdapat banyak IPTS milik bumiputera yang terpaksa gulung tikar disebabkan kebanyakan pelajar tidak dapat menampung kos perbelanjaan pendidikan yang tinggi di institusi tersebut.
Sebenarnya jika kita perhalusi fenomena ini dapatlah kita lihat bahawa permasalahan yang sebenar dan sering kita lupakan iaitu masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu ialah kurang menabung.
Terpengaruh
Dalam era globalisasi tidak dapat tidak masyarakat telah disogokkan dengan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang diuar-uarkan sebagai berteraskan teknologi terkini dan menyebabkan ramai yang terpengaruh dan ada segelintir yang membeli produk atau perkhidmatan ini walaupun ia tidak memberi apa-apa kesan positif terhadap kehidupan individu terbabit.
Status, nama dan taraf kehidupan yang tinggi menjadi kayu pengukur masyarakat moden dan menyebabkan ramai yang terbeban dengan hutang yang tinggi.
Kebanyakan masyarakat memandang tabiat menabung adalah hanya untuk hari tua sedangkan tabungan pada teorinya bolehlah dikategorikan kepada tabungan jangka masa pendek dan panjang.
Secara kognitifnya, setiap individu wajar mempunyai tabungan tidak kira sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek. Ini adalah kerana dunia senantiasa berubah dan begitu juga dengan cabaran dan dugaan seperti pepatah Melayu `langit tak sentiasa cerah'.
Bagaimana untuk kita menggalakkan masyarakat Melayu untuk menabung. Jalan mudah adalah dengan mendepositkan simpanan ke dalam amanah saham dan juga skim takaful untuk pendidikan.
Sebagai contoh Takaful Siswa dan Amanah Saham Didik. Terlebih dahulu saya ingin memuji usaha institusi kewangan, insurans dan takaful yang proaktif dalam menjalankan usaha mereka menyediakan skim-skim pendidikan tersebut.
Kesedaran
Cuma yang kurangnya adalah kesedaran daripada masyarakat dan fenomena ini mungkin disebabkan kurangnya kempen untuk membangkitkan kesedaran bahawa skim dan produk kewangan tersebut itu wujud.
Kita tidak akan menabung jika kita tidak dipaksa. Sebagai contoh, adalah amat berat untuk saya mendepositkan wang sebanyak RM200 setiap bulan sebagai simpanan untuk pendidikan anak tetapi jika saya menyertai skim takaful melalui potongan gaji sebanyak RM50 sebulan, maka hendak atau tidak saya terpaksa menyimpan.
Kita berasa berat untuk mendepositkan wang ke dalam bank sebagai simpanan kerana kita nampak aliran duit itu melalui poket tetapi melalui skim potongan gaji dan arahan tetap bank maka proses itu akan berlaku tanpa kita sedari.
Selain itu, disebabkan keberkesanan kerajaan dalam mewujudkan serta mengurus Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, adalah wajar kerajaan menubuhkan satu lagi badan untuk menangani simpanan dan pelaburan pendidikan.
Mungkin kerajaan boleh menggunakan konsep pendekatan salah satu dari badan di atas sebagai kayu pengukur dan seterusnya mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap PTPTN dan institusi kewangan yang lain.
Ramai yang menggesa kerajaan agar menambah peruntukan PTPTN dan Mara serta menggalakkan penyertaan institusi kewangan ke arah menyediakan lebih banyak pinjaman kepada masyarakat Melayu untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Tetapi, jika kita perhalusi - fenomena ini menggalakkan lagi masyarakat Melayu untuk terus terbelenggu dalam beban hutang.
Sebenarnya penyelesaian yang bijak adalah dengan menggalakkan masyarakat Melayu supaya menanamkan tabiat menyimpan untuk pendidikan diri sendiri dan anak-anak dan juga berbelanja dengan berhemat.
Jangan biarkan masyarakat menambahkan beban hutang yang semakin hari semakin bertambah.
- Mohammad Noorizzuddin Nooh, Kolej Universiti Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...